Thursday, August 27, 2009

Giliran Chandra tawan Malaysia


SHEILA Majid turut hadir memberikan sokongan pada majlis pelancaran album Chandra di ibu negara, baru-baru ini.


BERPENGALAMAN menjadi penyanyi latar kepada penyanyi ternama Indonesia dan Malaysia seperti Kris Dayanti, Ruth Sahanaya, Titi DJ dan Datuk Sheila Majid sudah cukup meyakinkan Chandra Satria atau Chandra mengorak langkahnya sebagai penyanyi solo.

Bahkan, dia juga pernah mengiringi penyanyi R&B terkenal Eric Benet sewaktu Festival Jazz Jawa beberapa tahun lalu.

Jauh di sudut hatinya, sudah lama juga dia mengidam untuk merakamkan album solo.

Dan mimpinya itu hanya menjadi realiti pada tahun 2007 menerusi album perdananya, Dari Hati Yang Terdalam.

Menyifatkan keseluruhan albumnya itu curahan jiwa dan hatinya tetapi entah di mana silapnya, nasib tidak memihak kepadanya.

Kelahiran album itu dilihat tidak berupaya untuk meletakkan namanya di puncak biarpun dia memiliki kualiti vokal yang cukup membanggakan.

Namun, Chandra tidak pernah berasa kecewa dengan kegagalan itu dan untuk itu, dia pantas mengatur strategi untuk memperkasakan namanya di persada seni tanah air.

Selain mengimpikan memiliki album sendiri, Chandra juga sudah lama mahu berduet dengan Sheila yang menjadi pujaannya sejak sekian lama.

Maka, dengan itu muncullah lagu duetnya bersama Sheila yang berjudul Ingatlah Diriku yang juga merupakan judul album keduanya.

"Alhamdulillah. Saya tidak pernah menyangka impian saya untuk berduet dengan Sheila menjadi kenyataan. Kalau mengikut perancangan asal, saya mahukannya untuk album pertama saya.

"Tetapi, ketika itu saya telah merakamkan lagu Rahasia Pengagum bersama Ruth yang juga merupakan idola saya. Lantas, saya simpan hasrat itu dan bertanyakan kembali kepada Sheila.

"Tanpa berfikir panjang, dia bersetuju dan lahirlah Ingatlah Diriku. Saya rasa bertuah sangat kerana dia telah menyempurnakan impian saya selama ini. Saya amat menghargai komitmennya," ujar Chandra penuh berhemah.

Jejaka kelahiran Kota Padang, Indonesia ini ditemui sewaktu majlis pelancaran album Ingatlah Diriku di Bangkok Jazz, Chulan Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk pengedaran album Ingatlah Diriku di sini, tanggungjawab itu diserahkan kepada syarikat rakaman Metadome.

Lebih istimewa lagi apabila album Ingatlah Diriku turut memuatkan 10 buah lagu yang dipetik dari album pertamanya.

"Semuanya adalah untuk peminat di Malaysia bagi mengenali diri dan muzik saya dengan lebih mendalam," tuturnya yang mengharapkan peminat di negara ini dapat menerima bakatnya seadanya.

Sebagai langkah pertama untuk mempopularkan Chandra, lagu Ingatlah Diriku sudah pun dijadikan sebagai lagu tema untuk drama bersiri Kala Hati yang kini hangat ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3.

Namun, Chandra tidak menafikan pemilihan Sheila adalah sebagai batu loncatan untuk terus memperkasakan namanya di persada seni serantau.

Sementelah populariti yang dikecapi oleh Sheila sehingga kini masih belum pudar baik di Malaysia mahupun di negaranya, Indonesia.

"Tetapi, pokok pangkalnya semua adalah tentang minat saya terhadap muzik dan kekaguman saya terhadap Sheila. Saya benar-benar menyanjung bakat yang dimilikinya," ujarnya yang tidak henti-henti memuji penyanyi pujaannya.

Menyingkap sejarah, Chandra pernah menjadi penyanyi latar sewaktu penyanyi lagu Pengemis Muda itu mengadakan konsert di Jakarta di bawah pimpinan Erwin Gutawa sekitar lewat 90-an.

Kemudian, Chandra diundang sekali lagi oleh Sheila untuk mengiringinya sewaktu persembahan di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada tahun 2001.

Dari situ, penyanyi berusia 37 tahun itu sudah meluahkan hasrat hatinya untuk merakamkan sebuah lagu bersama Sheila.

Malah, dia juga tanpa segan silu berkongsi rahsia dengan media tempatan apabila dia mempunyai koleksi album-album Sheila dari album Emosi sehinggalah Cinta Kita.

Sementara itu, Sheila yang ditemui pula berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk berduet dengan Chandra kerana menyifatkan penyanyi itu memiliki kualiti vokal yang bagus.

Apatah lagi, sudah lama mengenali Chandra sekali gus menganggapnya sebagai seorang adik, agak mustahil untuknya menolak tawarannya.

"Tetapi saya tidak faham mengapa saya tidak dipilihnya sewaktu merakamkan album pertama kalau benar-benar dia meminati saya. Ini Ruth pula yang dipilihnya," kata penghibur tersohor itu berseloroh.

Chandra hadir dengan bakatnya yang tersendiri. Vokalnya yang lunak dan enak didengar terus membawa fikiran melayang mengingati kehebatan dan keampuhan vokal Harvey Malaiholo.

Saat diajukan kepadanya tentang posisinya sekarang yang dilihat mampu menggantikan penyanyi unggul itu, anak kedua daripada empat beradik itu hanya mampu menyimpul senyuman.

"Mana mungkin saya menggantikan tempat Harvey yang pada hemat saya dia sudah layak digelar seorang legenda. Saya tidak menafikan ada yang berpendapat bahawa vokal saya menyamai Harvey.

"Tetapi, hadirnya saya di sini adalah dengan imej dan bakat saya yang tersendiri. Saya tidak mahu dibayangi oleh sesiapa dan biarlah orang mengenali saya sebagai Chandra," katanya berdiplomasi dan menganggap pujian itu sebagai satu penghargaan.

Biarpun industri muzik serantau mengalami kemeruduman, Chandra yang mempunyai pendidikan dalam bidang kejuruteraan ini begitu optimis dan yakin dengan langkahnya.

Tidak gentar bersaing dengan penyanyi solo dan kumpulan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di Indonesia, apa yang penting bagi Chandra adalah kualiti muzik yang ditampilkan.

Malah, dia kini sedang merangka projek untuk album ketiganya yang kini di peringkat pra produksi yang bakal menyaksikan sisi barunya kelak.

"Saya gemar bereksperimen dengan muzik kerana tidak mahu peminat berasa bosan. Itu sudah saya tanamkan sebaik sahaja bergelar penyanyi solo.

"Saya akan cuba memberikan yang terbaik dan muzik yang berbeza dalam setiap album saya kelak," kata penggemar muzik Kenny Loggins dan Stevie Wonder ini lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: