|
|
BAKAL bersiaran di Discovery Channel (saluran 551, Astro) pada 29 Ogos ini, Eye On Malaysia merupakan program yang mampu mengangkat karya anak tempatan dan khazanah negara di pentas antarabangsa.
Disiarkan sempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara ke-52, empat karya hasil sentuhan empat pengarah berwibawa terpilih untuk diketengahkan membabitkan kisah rakyat di negara ini.
Empat karya tersebut ialah Wind Chucker oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba; The Seasmiths (Ikhwan Rivai); The Joss Stick Maker (Chew Han Tah); dan Honey Hunters (Abdul Hamid Abdullah).
Mereka merupakan antara insan bertuah daripada 103 pemohon yang berlumba-lumba untuk menempatkan diri dalam Eye On Malaysia.
Eye On Malaysia merupakan hasil kerjasama Discovery Networks Asia-Pacific dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan ketika itu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).
Kerjasama kedua itu selain mengangkat karya Malaysia untuk tontonan luar, ia sedikit sebanyak membantu membangunkan kemahiran penghasilan dokumentari kalangan penggiat seni atau perfileman negara.
Di bawah projek Eye On Malaysia, setiap peserta diberikan peruntukan sebanyak AS$50,000 (RM175,000) bagi menghasilkan karya masing-masing.
Dokumentari selama 30 minit setiap satu itu akan disiarkan menerusi slot Eye On Malaysia yang akan ditayangkan pada 29 Ogos pukul 6 petang di saluran Discovery Channel.
Siaran ulangan pula akan disiarkan pada 31 Ogos dan 7 September pada pukul 8 pagi dan 8.30 malam.
Timbalan Presiden Dan Pengarah Urusan Discovery Networks Asia-Pasifik, Tome Keavany berkata, beliau berasa kagum dengan bakat-bakat bidang perfileman yang ada di Malaysia.
"Di Discovery Channel, penonton kami sentiasa mengharapkan yang terbaik dan kami percaya empat dokumentari yang terpilih ini mencapai jangkaan mereka,'' ujarnya.
Kepada Hits, empat pengarah yang berjaya terpilih berkongsi kisah rakyat yang menjadi intipati dalam penerbitan dokumentari mereka.
Shuhaimi dekati wanita istimewa
Merupakan graduan Universiti Malaya dan menerima latihan profesional di BBC TV, pengalaman serta kekuatan wanita besi ini dalam perfileman dan penerbitan sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.
Di bawah syarikat produksi Pesona Pictures Sdn. Bhd. yang diasaskannya pada tahun 1993, beberapa filem arahannya tidak pernah mengecewakan dan menjadi perhatian ramai pihak.
Selubung, Ringgit Kassorga, Layar Lara, Mimpi Moon sehinggalah kepada Pontianak Harum Sundal Malam dan Pontianak Harum Sundal Malam 2, banyak kejayaan telah ditempuh Shuhaimi Baba.
Bercakap mengenai pembabitannya di dalam projek Eye On Malaysia, beliau memilih tajuk Wind Chucker yang merujuk kepada kebolehan seorang wanita dikenali sebagai Ida melakukan urutan singkir angin.
Singkir angin atau buang angin, menurut Shuhaimi, merupakan kebolehan yang diwarisi Ida, wanita berusia 46 tahun dari Pengkalan Chepa, Kelantan, daripada nenek dan ayahnya.
"Dia (Ida) memiliki 'kuasa' untuk membuang angin pada badan seseorang. Ini bukannya fiksyen dan ia perlu ditonjolkan sebagai satu khazanah bangsa.
"Kalangan rakan-rakan saya pun sudah menggunakan khidmat Ida. Sepanjang tiga jam urutan, Ida akan mencari titik-titik tertentu di bahagian badan untuk urutan buang angin.
"Sejak dari kecil lagi dia telah biasa mengikut dan melihat ayahnya melakukan urutan yang sama,'' kata Shuhaimi pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.
Ujar Shuhaimi, penggambaran mengenai Wind Chucker dilakukan pada 11 hingga 21 Mei lalu di negeri kelahiran Ida.
Jelasnya, sebelum penggambaran dijalankan, pihaknya perlu melakukan penyelidikan terlebih dahulu mengenai Ida dan kebolehannya.
"Sepanjang penggambaran, saya menekankan soal skrip dan menghasilkannya seakan-akan sebuah drama.
"Meskipun kita berada di zaman moden, saya percaya elemen-elemen tradisional bangsa akan terus hidup,'' ujarnya.
Pengalaman pertama Ikhwan
Bagi Ikhwan pula, biarpun sudah banyak terlibat dalam kerja-kerja penerbitan, The Seasmiths merupakan hasil arahan pertamanya untuk karya bercorak dokumentari.
Menganggapnya sebagai cabaran yang cukup besar, The Seasmiths katanya, menceritakan kehidupan masyarakat Bajau Laut di Semporna, Sabah.
Bagi masyarakat Bajau Laut, ujar Ikhwan, laut merupakan dunia mereka.
Selain cara hidup 'di atas air' yang merupakan lambang kehidupan Bajau Laut, satu lagi identiti masyarakat itu ialah pesta air atau lebih dikenali sebagai Regatta Lepa.
Lepa dalam bahasa Bajau bermaksud perahu. Bagi Regatta Lepa yang diadakan saban tahun, pesta itu merupakan sambutan penting dalam kalendar Bajau Laut pada setiap April dan disifatkan mereka seperti 'hari raya'.
"Dalam Regatta Lepa, masyarakat Bajau Laut akan mengadakan perarakan kapal layar yang dibuat dengan tangan serta pelbagai acara menarik lain.
"Sebagai orang Sabah, saya cukup berbangga kerana Sabah memiliki pelbagai khazanah yang mampu untuk diketengahkan,'' jelasnya.
Memulakan penggambaran selama 10 hari bermula 18 April lalu, The Seasmiths sebenarnya merupakan karya pilihan kedua Ikhwan selepas pilihan pertamanya mengenai Gunung Kinabalu ditolak oleh Discovery Channel.
Keberanian pencari madu lebah
Sementara itu, bagi Abdul Hamid yang mengangkat karya berjudul Honey Hunters pula bukanlah individu asing dalam dunia dokumentari.
Sebagai seorang yang bertanggungjawab dalam membina konsep dan menerbitkan Majalah 3 ketika era Wan Zaleha Radzi sebagai pengacara satu ketika dahulu, elemen-elemen dokumentari sememangnya sudah sebati dalam jiwanya.
Membentuk sebuah syarikat produksi Gunung Daik Sdn. Bhd. pada 1992, Honey Hunters mengisahkan seorang pesawah berusia 85 tahun, Salleh Mohd. Nor dan rakan-rakannya menempuh hutan di Pedu, Kedah untuk mencari madu lebah dari pokok tualang.
"Amat mengujakan apabila menyaksikan kerja-kerja Salleh dan kumpulannya memanjat pokok tualang untuk mencari madu lebah.
"Tanpa memakai baju pelindung, anehnya, walau dikelilingi beribu lebah, tiada seorang pun yang terkena sengat,'' ujarnya yang turut aktif menerbitkan video korporat dan dokumentari televisyen.
Kisah pembuat colok tradisional
Dalam pada itu, bagi Han Tah yang juga bekas jurukamera TV3, dia memilih subjek The Joss Stick Maker dengan latar kisah seorang lelaki berusia 80 tahun, Lee Beng Chuan yang masih menghasilkan colok menggunakan tangan di Georgetown, Pulau Pinang.
Walaupun pasaran kini sudah sarat dengan colok yang dihasilkan di kilang-kilang, Han Tah berkata, kesungguhan Beng Chuan menghasilkan colok menggunakan tangan merupakan khazanah dan kemahiran yang harus diteruskan.
"Kemahiran ini hampir pupus. Sepanjang hidupnya, Beng Chuan telah menghasilkan colok dengan tangan dan rumah yang didudukinya selama 72 tahun juga telah diiktiraf sebagai kawasan bersejarah.
"Menariknya, dokumentari ini juga merakamkan cabaran Beng Chuan menghasilkan colok gergasi setinggi lebih tiga meter,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: