Wednesday, August 12, 2009

'Asyik orang sama menang'


AYU bangga dengan anugerah kemenangan yang diraihnya sewaktu Anugerah Planet 2009 di Jakarta, Julai lalu.

Ayu Damit gembira Anugerah Planet Muzik iktiraf bakatnya

SUARANYA pernah diiktiraf sebagai bernilai RM1 juta apabila dia memenangi pertandingan realiti One In A Million setahun lalu. Sejak itu, ramai yang mengagumi bakat semula jadi dan vokal milik penyanyi bernama Ayu Damit ini.

Meskipun penyanyi di Malaysia tumbuh bagai cendawan selepas hujan, namun realitinya mereka yang benar-benar mempunyai mutu vokal yang mantap, bertenaga dan sedap didengar, boleh dibilang dengan jari.

Salah seorang daripadanya adalah penyanyi yang berasal dari Putatan, Sabah ini. Biarpun ramai yang mempertikaikan imej dan rupa fizikalnya namun Ayu mempunyai kelebihan menerusi kekuatan vokalnya. Malah, setiap kali ada pertandingan yang membabitkan vokal, nama Ayu tidak pernah tercicir dari senarai finalis.

Pun begitu, entah di mana silapnya, setiap kali nama Ayu tersenarai sebagai calon finalis, nasib tidak pernah menyebelahinya. Walaupun ada ketika terbit perasaan terkilan di hati, namun dia percaya satu hari nanti, kejayaan akan berpihak padanya. Nyata, doa penyanyi ini terjawab apabila gelaran vokal terbaik Artis Baru Wanita Anugerah Planet Muzik 2009 yang berlangsung di Jakarta baru-baru ini.

Bertemu si pelantun Hanya Di Mercu ini pada satu majlis meraikan kemenangannya di Delicious, One Utama baru-baru ini, Ayu kelihatan cukup teruja menceritakan detik kemenangannya itu. Maklumlah, selepas dinobatkan sebagai pemenang OIAM musim kedua, Ayu bagaikan kontang dengan anugerah kemenangan.

Sambil memegang anugerah kemenangan, Ayu berkata dia terharu kerana hasil usaha serta bakatnya itu akhirnya mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

“Sebelum ini, memang nama Ayu ada tersenarai sebagai finalis untuk kategori vokal terbaik dalam beberapa pertandingan. Namun, nasib nampaknya tidak berpihak pada Ayu. Pun begitu, Ayu tak kisah sangat cuma ada kala tertanya-tanya juga apakah Ayu tak cukup bagus? Dan apabila APM memilih Ayu sebagai pemenang untuk kategori vokal terbaik Artis Baru Wanita, Ayu gembira sangat kerana ada juga pihak yang nampak bakat dan kebolehan Ayu,” ujar penyanyi yang baru saja muncul dengan album sulung ini.

Apabila Ayu berkata demikian, bukanlah bermaksud dia begitu mengharapkan kemenangan. Bagi Ayu cukuplah sekadar bakat yang dimilikinya itu dinilai dengan sewajarnya.

“Bukanlah Ayu nak mempertikaikan keputusan sebelum ini cuma kadang-kadang Ayu terfikir juga, dari segi apakah yang mereka nilai? Bakat atau fizikal? Kadang-kadang asyik orang sama saja menang, apa salahnya jika berlaku perubahan sedikit, barulah industri kita ini penuh variasi,” kata Ayu yang kini semakin berani dan yakin dalam mengeluarkan pendapat.

Bukan niat untuk mendabik dada atas kemenangan itu, Ayu berkata dia menaruh harapan semoga kemenangannya itu dapat membuka mata banyak pihak bahawa kehadirannya dalam industri ini bukanlah sekadar tempelan semata-mata.

Dalam pertandingan anugerah peringkat serantau itu, Ayu yang mempertaruhkan lagu Hanya Di Mercu mendapat saingan Aura Kasih/Mari Bercinta Cinta, Laura/Oh Baby, Nana/Lafaz, Stacy/Aku Stacy dan Yuna/Dan Sebenarnya.

Mengulas perkembangan dunia nyanyiannya, Ayu berkata ketika ini dia sedang sibuk dengan siri road show bagi mempromosikan album sulungnya itu.

“Selain sesi bertemu peminat, Ayu juga kini dalam peringkat perancangan untuk menjalani penggambaran klip video untuk single kedua Ayu berjudul Inspirasi Abadi. Ayu gembira dengan apa yang Ayu lalui ketika ini. Harapan Ayu moga peminat Ayu akan terus menyokong kerjaya seni Ayu sampai bila-bila,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: