Tuesday, August 4, 2009

Enggan ulangi kesilapan...Farah Asyikin


SELEPAS ikatan perkahwinan dibina bersama Dr Fariz Yahya, 31, berakhir di tengah jalan, Farah Asyikin Zulkifli tidak lepas daripada dihambat pelbagai cerita negatif.

Apa dilakukan wanita cekal ini sering tidak kena hingga akhirnya menjerat 'kontroversi' pada diri sendiri.

Lemas dengan gosip liar yang tidak diundang itu, dia tertekan.

Justeru, demi memikirkan ketenangan diri Farah Asyikin atau mesra dengan panggilan Farah, 30, mengambil keputusan 'berehat' sementara.

Selama dua bulan dia menghindari karier seni dan publisiti.

Ketika menghubunginya untuk mengadakan fotografi bersama Harian Metro (HM) baru-baru ini, Farah seakan teragak-agak.

Tidak menolak pelawaan, sebaliknya dia seperti kekok untuk berhadapan media.

Acapkali ditanya, kemungkinan ada lagi cerita sensasi membabitkan dirinya.

Hadir menjayakan fotografi itu Khamis lalu, Farah menjelaskan keadaan sebenar.

Katanya disebabkan tak tahan menanggung tekanan akibat gosip dan kerja, dia nekad menjauhkan diri buat seketika daripada sebarang publisiti media serta kerjaya seni.

"Saya berasakan perlu berehat. Justeru bermula Mei hingga Julai lalu, saya berehat sepenuhnya tanpa sebarang aktiviti seni. "Masa saya banyak dihabiskan bersama keluarga dan bermuhasabah diri. Saya akui sangat tertekan dengan kerja dan kontroversi.


"Kini, saya sudah bersedia untuk bangkit semula. Untuk permulaan aktif kembali selepas berehat panjang, saya terbabit menjayakan telefilem sempena Aidilfitri untuk TV9, Satu Hari Di Hari Raya.

Penggambaran bermula 3 Ogos (semalam) hingga 13 Ogos ini.

"Saya akan bergandingan dengan pelakon lain antaranya Khir Rahman, Adibah Noor, Amer (kumpulan Sofaz) dan Nubhan (AF6). Telefilem ini mengisahkan saya yang membawa watak Serina, seorang penerbit program realiti TV. Saya menjalin cinta dengan tiga lelaki.

"Pertama dengan seorang doktor. Kemudian, dikaitkan pula dengan seorang peserta program realiti TV dan akhirnya rakan sekerja.

"Terus-terang diakui tertarik membintangi telefilem ini disebabkan skrip dan jalan cerita yang ada kena mengena dengan diri saya," katanya.

Ditanya mengenai persediaannya untuk berlakon, anak jati Kuala Lumpur ini mengakui dia sudah membaca skrip diterima banyak kali untuk memahami watak dijayakan. Bagaimanapun, pada masa sama Farah turut tidak terlepas daripada perasaan berdebar.

"Apa yang pasti, saya yakin akan cuba membuat yang terbaik dalam lakonan.

"Memandangkan ini adalah percubaan pertama sebagai pelakon dan menggalas peranan utama, saya harus berusaha gigih merealisasikan watak Serina itu. Saya akan serasikan diri dengan pelakon lain.

"Ia penting kerana ini kerja berkumpulan. Sudah sewajarnya saya perlu mengenali mereka supaya wujud keserasian antara kami.

"Apapun, saya dipilih membintangi telefilem ini kerana pengalaman yang pernah dilalui dulu dan saya akan gunakan sebaik mungkin.

"Saya berharap lakonan akan diterima penonton kerana sekarang ini saya menguruskan sendiri perjalanan karier seni. Saya tidak lagi menggunakan khidmat pembantu peribadi (PA) kerana terus terang sudah tidak boleh dan sukar untuk mempercayai sesiapa," katanya.

Kata pemenang kategori Artis Baru Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) 2008 lalu, cukuplah pengalaman pernah dialaminya ketika mempunyai pembantu dulu.

Enggan berbicara lanjut, Farah sekadar berkata semua itu sudah menjadi kenangan abadi pada dirinya.

Menyentuh soal untuk kembali hidup berpasangan, tanpa berselindung jurucakap produk jam tangan Roscani ini berkata dia berasa serik.

Ditambah lagi, status solo itu sering dipandang serong masyarakat hingga menjadi buah mulut dan menimbulkan gosip liar.

"Semua orang tentunya masih ingat hubungan rapat saya dengan peserta One In A Million 2 (OIAM2), Mark Glenn Malim Lorin, pemuda dari Kota Kinabalu, Sabah itu.

"Puas saya menjelaskan antara kami hanya berkawan kerana dia minat pada Islam dan sudah pun memeluknya.

"Saya dan Mark masih seperti dulu, kami berkawan kerana buat masa sekarang hati saya masih belum terbuka untuk bercinta lagi. Malah, sejak bercuti dua bulan, saya pun sudah lama tidak menemui Mark yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

"Selepas bercerai, memang saya tiada insan istimewa di hati. Keluarga pun risau dan pernah juga mereka cuba mencarikan calon baru.

"Tetapi, entahlah sekarang saya senang hidup seorang. Walaupun, adakalanya rasa cemburu juga bila melihat rakan yang sudah mempunyai anak.

"Dulu, ketika buat keputusan berkahwin, saya memang impikan ada zuriat sendiri kerana sukakan kanak-kanak. Namun, apakan daya kami tiada jodoh yang panjang. Justeru, sekarang ini untuk saya menjalin hubungan cinta baru ia mengambil masa untuk lebih mengenali," katanya.

Menurut Farah, dia kalau boleh tidak mahu mengulangi kesilapan lalu.

Apapun, kini dia sedar diri semakin cerewet untuk memilih pasangan.

Katanya, dia jadi trauma untuk menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki.

Memanglah ada berkawan, tetapi bila mereka cuba 'rapat' dia akan melarikan diri.

"Saya banyak belajar melalui kesilapan. Oleh itu, kini saya senang membuat 'perisai' untuk diri sendiri supaya tidak dilukai lagi.

"Masyarakat mungkin melihat saya tersenyum dan gembira, tetapi di dalam hati siapa yang tahu akan kesedihan itu.

"Tidak dinafikan, saya juga pernah terfikir jika pada usia 35 tahun masih juga tidak berkahwin lagi, mahu ambil anak angkat saja. Namun, semua itu sekadar perancangan kerana jauh di sudut hati saya ingin berkahwin dan memiliki keluarga sendiri," katanya.

Mengenai karier nyanyian pula, Farah berkata dia baru selesai merakamkan lagu runut bunyi untuk filem Pisau Cukur berjudul ERT.

Katanya, lagu itu dihasilkan Audi Mok dan liriknya oleh Rafidah (3R).

Selain itu, akuinya dia juga akan kembali aktif memenuhi undangan persembahan pentas dan majlis makan malam korporat.

"Pembikinan album baru saya tetap berjalan, tetapi tidaklah akan dipasarkan dalam jangka masa terdekat ini.

"Saya tidak mahu bersikap terburu-buru dan inginkan hasil terbaik serta berkualiti. Bagi saya, pada situasi pasaran yang kurang baik ini perlu dapatkan lagu yang bagus," katanya.

Pernah menyertai Malaysian Idol musim kedua, Farah berkata dia memulakan karier nyanyian pada usia 19 tahun menerusi Salem Cool Planet dengan album Bebas.

Jadi, sedar dengan perkembangan industri hiburan sekarang, dia perlu lebih berhati-hati dan bijak membuat keputusan kerana persaingan sengit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: