Tuesday, August 4, 2009

8 bomoh urut Rosyam


SELAMA 25 tahun berlakon, inilah kali pertama Rosyam Nor mengalami kecederaan yang agak teruk sehingga menyebabkan otot dan ligamen bahu kirinya terkoyak. Semua ini gara-gara melakukan aksi libas dalam filem Libas arahan Jurey Latiff, tiga minggu lalu.

Menurut Rosyam, ketika itu dia melakukan aksi libas dalam permainan sepak takraw, tetapi malangnya dia terjatuh. Selepas itu dia terus mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur Sport Medicine Centre, Jalan Dungun.

"Doktor yang merawat beri cuti rehat selama lapan minggu dan minta saya menjalani pembedahan, tetapi saya mahu berubat cara tradisional dulu.

"Saya juga hanya bercuti sehari kerana jika berehat panjang, kasihan dengan produser filem dan pelakon lain.

"Penggambaran filem atau drama yang terpaksa berehat panjang membabitkan peningkatan kos.

"Sambil meneruskan penggambaran, saya pergi berurut sehingga ke Kuantan, Pahang. Saya berurut dengan lapan tukang urut, tetapi tidak berhasil, malah tulang bahu jatuh ke bawah menjadi senget sebelah dan bertambah sakit.

"Dalam pada itu, setiap minggu saya menghadirkan diri menyaksikan persembahan peserta Pilih Kasih yang bersiaran secara langsung di Senawang, Negeri Sembilan, setiap Sabtu, jam 8.30 malam. Memang sakit, tetapi saya tahankan juga.

"Akibat kecederaan itu pergerakan menjadi tak betul, tak boleh banyak bergerak dan hendak tidur pun sakit. Rupanya kecederaan membabitkan ligamen dan otot koyak lebih teruk daripada patah. Jika lama dibiarkan, boleh menyebabkan tangan kiri tidak kuat dan mungkin akan lumpuh.

"Selagi penggambaran belum selesai, saya kuatkan semangat untuk terus bekerja dan sebaik saja tamat penggambaran, Khamis lalu saya terus ke HKLSMC untuk menjalani pembedahan. Tiga jam berada di bilik pembedahan dari jam 5 petang hingga 8 malam," katanya.

Tambah Rosyam, menggunakan teknologi baru dalam dunia perubatan, bahu yang tercedera itu tidak perlu dirawat menggunakan kepingan logam, tetapi menggunakan sejenis peralatan baru, 'tight rope' berupa tali pengetat.

Alat itu berfungsi mengikat semula ligamen terkoyak dengan kolar bahu yang terangkat."Tight rope itu sendiri akan bertukar menjadi ligamen menggantikan yang sudah tercedera itu. Selepas pembedahan, saya tidak tinggal di hospital, tetapi selama empat minggu saya memakai anduh. Insya-Allah kecederaaan itu akan sembuh sepenuhnya dalam masa tiga hingga enam bulan.


"Sekarang, setiap hari saya perlu datang ke hospital untuk menjalani rawatan terapi selama lapan hingga 12 minggu. Sementara menunggu bahu ini sembuh sepenuhnya, saya tidak boleh melakukan kerja berat," katanya.

Walaupun kini menjalani rawatan, Rosyam masih memikirkan banyak jadual yang menantinya kerana selepas Libas, sepatutnya menjalani beberapa lagi penggambaran drama dan telefilem terbitan Suhan Movies & Trading.

"Sepatutnya saya akan teruskan dengan penggambaran drama Nigina untuk slot Samarinda di TV3 kemudian musim dua Gelora Di Hati Sarah lakonan saya bersama Fauziah Latiff diikuti penggambaran drama Isabella.

"Tengoklah macam mana, jika keadaan mengizinkan, mungkin saya akan kembali bekerja seperti biasa. Sebelum ini, jarang saya berehat panjang. Ada rahmat di sebalik apa yang berlaku. Dalam pada berehat itu, fikiran ini tetap ligat memikirkan kerja yang menunggu," katanya.

Sementara itu, Jurey berkata, dia kagum dengan komitmen yang ditunjukkan Rosyam kerana tetap meneruskan penggambaran walaupun cedera.

Malah, katanya, sehari selepas jatuh hingga menyebabkan bahunya cedera, Rosyam tetap datang ke lokasi kerana tidak mahu menjejaskan jadual, tetapi diminta pulang dan berehat selama tiga hari.

"Bagaimanapun, pada hari kedua dia datang juga meneruskan penggambaran. Sememangnya filem ini menampilkan ketangkasan fizikal Rosyam untuk menjayakan watak jaguh sepak takraw, Adnan Saladin yang digelar Raja Libas.

"Lebih membanggakan saya kerana Rosyam tidak mahu menggunakan pelakon gantian sebaliknya melakukan semua babak libas itu. Sebelum itu ada juga terjatuh, tapi tidak sangka pula menyebabkan kecederaan teruk.

"Ketika itu penggambaran dilakukan di lokasi utama dalam gudang di Kampung Padang Balang, Gombak. Rosyam terjatuh dengan keadaan bahunya kena lantai. Masa itu Rosyam memakai baju silat dan tidak nampak kecederaannya, tetapi selepas itu bahunya bengkak.

"Terkejut juga dengan kecederaan dialaminya. Mungkin ketika itu Rosyam sudah penat kerana sudah jam 3 pagi. Penggambaran Libas bermula 12 Jun lalu dan selesai 13 Julai," katanya.

Filem Libas diterbitkan MDAG Marketing Sdn Bhd mengisahkan pertandingan sepak takraw 'underground' seperti Shaolin Soccer. Ia bukan pertandingan sepak takraw biasa, tetapi perlawanan kalah mati dan boleh membawa maut. Pelakon lain, Scha, Johan dan Beego serta ramai wajah baru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: