Tuesday, August 4, 2009

Disondol treler



SEREMBAN: Hanya maut tergambar dalam fikiran tiga beranak yang berada dalam kereta Naza Suria apabila sebuah lori yang sarat dengan batu-bata tiba-tiba menggelongsor ke belakang menuju kenderaan mereka ketika mendaki bukit di Jalan Tunku Hassan di sini, petang semalam.

Pemandu kereta berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Gobi, 27, bersama ibu bapanya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya berserah kepada takdir apabila melihat lori terbabit terus menggelongsor ke arah keretanya.

“Kejadian berlaku sekelip mata dan saya tak dapat berbuat apa-apa untuk mengelak. Kami hanya mampu menunggu dalam keadaan panik dan cemas menanti lori itu merempuh kereta,” katanya ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurut Gobi, dia tidak sempat mengundur keretanya bagi mengelak lori terbabit.

“Kami hanya mampu menunggu. Lagipun kejadian itu berlaku pantas dan dalam sekelip mata belakang lori menghentam kereta saya dengan dentuman kuat.“Kereta bergegar dan saya rasa seperti dihentak. Saya percaya ibu dan bapa saya juga rasa begitu,” katanya.


Hentaman itu menyebabkan kereta mereka terseret ke belakang kira-kira 20 meter dengan bahagian depan kereta rosak teruk manakala cermin depan pecah.

Dalam kejadian itu, ibunya cedera di tangan kanan dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.

Gobi yang membuat laporan polis tidak lama selepas kejadian, bersyukur kerana keluarganya tidak cedera serius dalam kemalangan itu.

“Walaupun kereta rosak teruk, saya bersyukur kerana keluarga tidak cedera serius,” katanya.

Ketika kejadian jam 4.30 petang itu, Gobi berkata, dia bersama ibu dan bapa dalam perjalanan dari Temiang menuju Seremban untuk membeli barang keperluan harian.

Menurutnya, ketika melalui Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini, tiba-tiba lori yang sarat batu-bata dan sedang mendaki bukit di depan kereta dipandunya menggelongsor ke belakang dipercayai akibat masalah brek lalu merempuh keretanya.

Difahamkan, pemandu lori berusia 30-an melarikan diri sejurus selepas kejadian.

Selain kenderaan dinaiki Gobi dan keluarganya, sebuah Proton Wira yang diletakkan di bahu jalan turut rosak dalam kejadian itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: