Thursday, August 27, 2009

Bertemu selepas tujuh tahun


KEMESRAAN Erra Fazira (kanan) dan Nasha Aziz membuktikan mereka bukan seteru seperti di dalam drama Kasih Tercipta.


BERITA tentang pelakon bergaduh sesama sendiri sewaktu menjalani penggambaran drama mahupun filem bukanlah satu perkara baru. Ia tidak hanya berlaku di dalam industri hiburan di Hollywood tetapi ia juga pernah terjadi antara pelakon kita sendiri.

Siapa yang dapat melupakan persengketaan di antara Rita Rudaini dan Lisdawati pada tahun 2006 sewaktu berlakon dalam sebuah drama bersiri.

Pergaduhan mereka telah mencetuskan perdebatan serta polemik di kalangan peminat hiburan tanah air dan masyarakat khususnya.

Lantaran, pelbagai label mula dilemparkan kepada pelakon-pelakon kita yang dikatakan tidak profesional sehingga tidak mampu untuk membezakan peribadi dan profesionalisme.

Bagi aktres popular, Nasha Aziz dia begitu menitikberatkan soal kerja apabila di lokasi dan apa yang penting adalah untuk memahami karakter yang diberikan kepadanya.

Bukan itu sahaja, apa sahaja perasaan negatif yang ada dalam diri seharusnya dibuang jauh-jauh kerana bimbang ia akan terjebak sewaktu berlakon.

"Sepanjang saya menceburi bidang lakonan, saya perlu faham dengan apa yang saya lakukan. Malah, saya selalu tanamkan dalam diri bahawa jangan sesekali soal peribadi dicampur aduk dengan kerja.

"Kalau setiap pelakon mempunyai sifat itu, saya percaya soal gaduh mahupun bersaing secara negatif tidak akan timbul. Sekali gus ia akan melancarkan kerja di lokasi," katanya dalam nada serius.

Pelakon jelita ini ditemui pada majlis pelancaran drama Kasih Tercipta arahan Rashid Sibir yang berlangsung di Courtyard Garden, Damansara Heights, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Nasha diajukan pertanyaan tersebut sewaktu meminta pendapatnya tentang kisah-kisah yang sering dicanangkan apabila membabitkan dua pelakon ternama yang cuba membayangi antara satu sama lain sewaktu di lokasi.

Apatah lagi, Kasih Tercipta juga menyaksikan seorang lagi pelakon tersohor yakni Erra Fazira yang menjadi 'seteru' Nasha dalam drama bersiri sebanyak 26 episod itu.

Sudah pasti, persoalan itu akan timbul kerana kedua-duanya bukan calang-calang pelakon. Malah, Nasha dan Erra juga adalah aktres yang pernah menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia.

Gandingan Nasha dan Erra bukanlah yang pertama kerana dua bintang ternama ini pernah digandingkan menerusi filem Gerak Khas The Movie arahan Datuk Yusof Haslam pada tahun 2002.

Cuma, Kasih Tercipta menggandingkan mereka buat kali pertama menerusi sebuah drama bersiri.

Menyambung bicara, Nasha atau nama sebenarnya, Noraishah Abdul Aziz memberitahu, biarpun digandingkan dengan Erra, dia langsung tidak mempunyai perasaan ingin bersaing atau menganggap siapa hebat sewaktu di lokasi.

Ini kerana katanya, bidang lakonan di negara ini tidaklah sebesar mana seandainya perasaan sedemikian wujud dalam hati masing-masing.

Apa yang penting buat Nasha adalah perbincangan dan komunikasi yang betul serta tepat bagi mengelakkan perkara seperti bergaduh dan tidak puas hati timbul di lokasi.

Bukan sahaja dalam bidang lakonan tetapi jelas Nasha, dia turut menerapkan perkara yang sama pada awal dia menceburi bidang peragaan.

"Saya akan menerima arahan daripada pengarah serta mengikut kehendak skrip yang telah diberikan. Setiap pelakon harus menjiwai watak mereka dengan baik kerana ia akan memudahkan semua pihak di lokasi.

"Bukan itu sahaja, perkara-perkara yang tidak diingini juga mampu dielakkan seandainya semua pihak terutama pelakon bekerjasama dalam menghidupkan watak masing-masing," kata aktres yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-17 menerusi filem Trauma itu.

Mendengarkan kata-katanya itu, maka tidak hairanlah apabila berita kurang enak tentang aktres ini bersikap atau berlagak diva di lokasi langsung tidak kedengaran.

Sememangnya dia benar-benar menjaga susila dan santunnya sebagai seorang wanita dan aktres yang disegani.

Apatah lagi, dia pernah digandingkan dengan aktres hebat tanah air seperti Azean Irdawaty, Umie Aida dan Ida Nerina.

Kerana itu jugalah, Nasha menegaskan, dia tidak mempunyai masalah dengan mana-mana aktres kerana dia sememangnya menjunjung tinggi etika dan profesionalisme yang dipegangnya selama hampir dua dekad dalam bidang seni.

Berbicara mengenai Erra pula, wanita berusia 37 tahun ini dengan penuh jujur memberitahu, dia langsung tidak mempunyai masalah dengan bekas ratu cantik itu.

Sebaliknya, dia cukup kagum dengan komitmen serta profesionalisme Erra sepanjang menjalani penggambaran drama yang akan ditayangkan di Astro Prima (saluran 105, Astro) bermula 1 September itu.

"Kami banyak berbincang dan berdiskusi bagaimana hendak membawakan watak masing-masing terutama sekali untuk adegan perdebatan hangat antara watak Tona lakonan saya dan Lisa (Erra).

"Zaman moden hari ini saya rasa sudah tidak perlu lagi adegan pergaduhan antara wanita dipaparkan dengan secara murah yang sekali gus akan merendahkan martabat kaum Hawa. Sebagai pelakon, kita harus buang budaya lapuk itu.

"Saya merasakan watak Tona dan Lisa merupakan wanita matang yang mampu berbicara secara bijak tanpa timbul sentuhan fizikal. Secara tidak langsung, ia adalah satu gambaran bahawa wanita seharusnya menjaga maruah mereka dan meletakkannya di tangga tertinggi," katanya penuh optimis.

Tentang watak Tona pula, Nasha yang mula dikenali menerusi filem Kad Cinta pada tahun 1995 menjelaskan, wataknya itu tidak banyak beza dengan apa yang pernah dibawakannya menerusi filem Laila Isabella.

"Berbanding dengan watak Laila, Tona merupakan seorang yang cemerkap dan amat mementingkan keluarganya serta menjaga persahabatannya bersama Shark (lakonan Aaron Aziz).

"Di sebalik perwatakannya itu, hatinya juga seperti wanita lain yang begitu rapuh apabila menyedari Shark akan ditunangkan dengan Lisa. Daripada situ, konflik mula timbul antara ketiga-tiga watak ini," ujar Nasha lagi.

Erra takut watak jahat

Sementara itu, bagi Erra pula apabila diberitahu oleh Rashid bahawa dia akan bergandingan dengan Nasha, dia menyambut berita itu dengan penuh gembira dan teruja.

Masakan tidak, Kasih Tercipta menemukan mereka setelah hampir tujuh tahun mereka tidak digandingkan dalam mana-mana filem dan apatah lagi untuk drama.

"Seronok kerja dengan Nasha dan saya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan dia. Semuanya berjalan lancar seperti mana yang dirancang.

"Watak Lisa juga begitu mengujakan saya kerana inilah kali pertama saya membawakan watak antagonis seperti ini.

"Namun, ia bukanlah watak jahat yang benar-benar jahat tetapi ia lebih kepada watak kelabu di mana Lisa jahat pada awalnya, namun ia berubah di akhir penceritaan yang akan merungkai segala rahsia mengapa dia menjadi begitu," kata ibu kepada Engku Aleesya ini.

Sambung Erra, dia berani menyahut cabaran Rashid dalam drama berkenaan kerana merasakan wataknya itu mampu memberikan sesuatu yang baru untuk peminatnya.

Apatah lagi, setelah sekian lama menjadi pelakon Erra jarang benar diberikan watak antagonis kerana dikatakan tidak sesuai dengan personalitinya yang lembut itu.

"Ini juga kali pertama saya berlakon di bawah arahan Rashid dan ia memberi satu pengalaman baru buat saya. Malah, saya yakin watak Lisa ini tidak akan memberikan impak negatif buat peminat kerana mereka bijak menilai.

"Mungkin selepas ini saya akan berehat seketika daripada membawa watak-watak sebegini. Kalau ada skrip yang benar-benar bagus untuk saya melakonkan watak tersebut, saya akan pertimbangkan.

"Jujurnya, saya takut kalau membawakan watak yang benar-benar jahat seperti di dalam sinetron dan kalau boleh tidak mahu berlakon sedemikian rupa kerana ia terlalu ekstrem buat saya," ujarnya ketawa.

Selain Nasha, Erra dan Aaron, Kasih Tercipta turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Fouziah Gous, Syed Ali, Aleeza Kassim, Ahmad Tarmimi Siregar, Aida Radzwill, Dee dan Norlia Ghani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: