
PEKAN - Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) dijangka mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan dan menarik RM90 bilion pelaburan langsung domestik dan antarabangsa menjelang 2020, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
ECER SEZ ialah zon ekonomi khas pertama di Malaysia yang bersepadu dari Kertih, Terengganu ke Pekan, Pahang dengan insentif istimewa untuk menarik masuk pelaburan dan memberi lebih tarikan kepada aktiviti ekonomi di kawasan tertentu.
"Projek-projek di luar kawasan SEZ akan terus berjalan. Oleh sebab kawasan ini (ECER) sangat luas, ia memerlukan satu kawasan tumpuan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan ECER SEZ dan Projek Agropolitan ECER di Runchang, di sini.
Menurut beliau, empat zon bebas akan diwujudkan di ECER SEZ bagi menggalakkan dan menumpukan rantaian antara kelompok industri yang akan memberikan impak yang signifikan terhadap ekonomi ECER - kelompok Pembuatan Bernilai Tinggi, Industri Asas Tani; Gas dan Petrokimia; Pelancongan dan Hartanah; Ilmu, Pendidikan dan ICT serta Logistik.
"Bagi tempoh 2007 hingga sekarang, sejumlah RM24 bilion nilai pelaburan asing dan tempatan dijangka diperoleh daripada pelabur swasta dalam memajukan projek-projek di ECER dalam kelompok pelancongan, pembuatan, petrokimia dan pertanian," kata Najib.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: