Chef Wan |
TAHNIAH Cik Normah ucapkan kepada Chef Wan yang memenangi anugerah Best Television Celebrity Chef in The World dalam Anugerah Gourmand 2009 yang diadakan di Paris awal Julai lalu. Bagaimanapun, teman sepejabat Cik Normah yang menemu bual bapa kepada pelakon Serina itu baru-baru ini tidak mahu menggembar-gemburkan lagi kemenangan itu kerana difahamkan satu sidang media mengumumkan perkara itu akan dilakukan tidak lama lagi.
Cik Normah dapat tahu ada sebuah kementerian akan meraikan kejayaan Chef Wan itu di samping mengenang pembabitannya selama ini. Ada kawan sepejabat Cik Normah beritahu apa yang dilakukan Chef Wan selama ini dalam memperkenalkan Malaysia ke mata dunia, patut dihargai dengan menganugerahkan gelaran Datuk kepadanya. Dalam hal itu, Cik Normah setuju, tapi semuanya terpulang kepada pihak berkenaan.
Ketika ini, Cik Normah dapat tahu Chef Wan pun sibuk memastikan kelancaran majlis kahwin Serina dan bakal menantunya, Salahuddin Ghaffar pada 1 Januari 2010 akan berjalan dengan lancar. Khabarnya majlis itu akan dibuat secara sederhana, tetapi masih meriah. Tetamu yang akan dijemput pun tak sampai 1,000 orang. Cik Normah tunggu saja, harinya nak lihat sejauh mana ‘sederhana’ yang dimaksudkannya.
Kahwin juga akhirnya Serina selepas beberapa siri cintanya yang terdahulu termasuk dengan Allahyarham Hani Mohsin berakhir dengan kekecewaan. Datuk Farida yang pernah menjadi perancang perkahwinan majlis kahwin Ning Baizura dan Nikki turut memikul tugas yang sama untuk melunaskan persiapan perkahwinan Serina. Cik Normah juga diberitahu wang hantaran majlis perkahwinan Serina berjumlah RM30,000. Boleh tahan juga jumlahnya.
Dalam kesibukan Chef Wan ke hulu, ke hilir meneruskan kerjaya masakannya dari dalam hingga ke luar negara termasuk memastikan persiapan kahwin anaknya berjalan lancar, Chef Wan turut tidak ketinggalan memenuhi undangan memberikan ceramah motivasi kepada syarikat tertentu termasuk kepada akauntan baru-baru ini. Yang membuatkan orang ramai ‘tabik spring’ dekat Chef Wan ialah dia memberikan ceramah tanpa memerlukan sebarang kertas.
Siapapun yang mengenalinya pasti tahu Chef Wan kalau bercakap memang macam bertih jagung. Cakap tak henti-henti dan peramah sungguh orangnya. Celotehnya di TV memang selalu membuatkan orang tergelak. Tapi ada juga Cik Normah dapat tahu ada yang ‘rengsa’ dengan sikap terlebih peramah yang dimilikinya. Iyakah?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: