Thursday, August 6, 2009

Dayang, Ayu hangatkan futsal


DAYANG NURFAIZAH


BAHANG Kosmo! Varsiti Futsal 2009 semakin hangat melanda seluruh negara. Sabtu ini kaki futsal akan berkumpul pula di Kompleks Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor untuk merebut tempat ke peringkat akhir kejohanan yang menawarkan wang tunai keseluruhan RM200,000 itu.

Menariknya, program istimewa untuk generasi muda itu bukan hanya sarat dengan aksi sukan, bahkan selaku penaja strategik, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) membawa empat artis tempatan bagi memeriahkan acara.


DESERTERS


Bukan calang-calang penghibur, Kosmo! Varsiti Futsal menampilkan penyanyi yang bersuara lunak, Dayang Nurfaizah selain penghibur cilik yang baru memenangi Vokal Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2009, Ayu One In A Million.


AYU


Kedua-dua penyanyi itu masing-masing akan mendendangkan tiga buah lagu pada sesi rehat Varsiti Futsal dari pukul 3 petang hingga 4 petang.

Menyedari semakin ramai anak muda yang meminati aliran muzik indie, Kosmo! tidak mengecewakan mereka apabila membawakan dua band indie, Ask Me Again dan Deserters.

Kedua-dua kumpulan akan memanaskan Kompleks Sukan UKM di antara pukul 12 tengah hari hingga 1 petang.

Ask Me Again ditubuhkan oleh lima anak muda pada tahun 2005 dan telah menjelajah ke seluruh negara untuk mempertontonkan bakat mereka.

Deserters pula adalah band yang ditubuhkan pada tahun 2006 dengan mengangkat jaluran muzik yang pelbagai.


ASK ME AGAIN


Ia dianggotai oleh empat anak muda Zack Yusof (vokalis dan gitaris), Brendan Teh (gitaris), Faizal Tareh (bass) dan Apit Halamy (drum). Band itu sudah acap kali membuat persembahan di luar negara terutamanya di Singapura.

Antaranya termasuklah pada tahun 2007 di Festival ZoukOut di Siloso Beach, Sentosa dan pada tahun lalu di Festival Baybeats di Esplanade Theatre, Singapura.

Band itu sudahpun memasarkan album debut mereka Goodbye Oblivion sejak bulan lalu.

Selepas persembahan penonton berpeluang bermesra dan mendapatkan tandatangan artis kesayangan mereka selama setengah jam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: