Thursday, August 6, 2009

Boleh bercakap dengan ular




SIAPA sangka, bakat Lan Pet Pet bukan sekadar boleh menghiburkan penonton dengan lawak jenakanya. Sebaliknya, dia juga mempunyai bakat unik yang jarang sekali dimiliki orang lain.

Pasti ramai yang kehairanan apabila melihat Lan sedang bermesra-mesraan dengan seekor ular? Benar, pemilik nama Mazlan Ahmad ini mampu memahami bahasa haiwan.

Beritahu Lan, cintanya terhadap haiwan sejak kecil membuatkan dirinya cuba mempelajari untuk memahami 'bahasa' percakapan haiwan.

"Masa kecil dulu saya sudah mula mengajuk bunyi haiwan. Tapi bila usia saya semakin meningkat, rasa seperti ada banyak perkara lagi yang perlu saya belajar mengenai binatang.

"Sebab, bila memahami haiwan itu, membuatkan kita pula lebih mudah untuk menjaganya. Setakat ni saya cuma boleh bercakap dengan ular sahaja memandangkan saya sudah biasa berkomunikasi dengan ular-ular di rumah saya. Mungkin ramai yang tidak tahu saya ada bela ular yang saya namakan sebagai Elbino, Burma, Corn, Batik dan Afrika," tuturnya.

Sayangnya kepada haiwan sukar untuk dibuang sehinggakan, keluarganya 'terpaksa' merelakan pelawak itu membela ular walaupun geli dengan reptilia tersebut.

"Pada awalnya, keluarga dan isteri (Robithoh Che Wan) memang geli. Tapi bila saya ajar cara menyentuh ular, lama-kelamaan mereka sudah mula biasa.

"Sebenarnya mereka ini (binatang) begitu manja jika dilayan dengan cara yang betul. Bila tersalah jaga, itu yang ular sawa makan tuan. Kalau nak tahu, ular pun ada penyakit selesema tau," seloroh Lan.

Dalam seloroh ada seriusnya. Kata Lan, setiap manusia terutamanya kanak-kanak perlu berhati-hati dengan binatang liar berkenaan dan tidak mengambil contoh apa yang dilakukan ini untuk tujuan bersuka-suka.

Zoo Mini Land Pet Pet

Tahu diri tidak mungkin kekal lama dalam industri lakonan, pelbagai rancangan yang ingin dilakukan Lan apabila bersara berlakon nanti. Mahu ikutkan, apa sahaja yang berkaitan dengan haiwan, Lan pasti akan turun padang.


LAN dan Lisa sama-sama membela seekor ular sawa.


Sementara menanti tarikh 'bersara', Lan sudah memasang angan-angan untuk menjadi seperti mendiang Steve Erwin, pengacara rancangan berkonsep haiwan popular.

"Kalau boleh saya mahu menghasilkan sebuah dokumentari berkaitan haiwan seperti Steve. Mungkin orang menganggap ia sekadar cakap-cakap kosong, tapi saya akan cuba buktikan yang saya boleh menjadi sepertinya, sebab saya dan dia mempunyai citarasa yang sama, iaitu pencinta haiwan.

"Seronok lagi kalau ditawarkan menjadi duta WWF (Dana Hidupan Liar Sedunia) kerana itu juga salah satu cita-cita saya," katanya.

Tambah Lan, jika berpeluang, seboleh-bolehnya dia mahu menyertai apa-apa sahaja bagi memulihara haiwan-haiwan yang semakin pupus.

Kerana itu juga Lan sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk membina sebuah perniagaan dengan membuka sebuah zoo mini.

Mungkin nama zoo tersebut akan saya letak 'Land Pet Pet', sesuai dengan nama saya," ujar Lan.

Filem Zoo

Bakat yang dimiliki tidak disia-siakan. Mendapat tahu tentang keunikan Lan, penerbit terkenal, David Teoh, terus melamarnya untuk berlakon dalam filem baru terbitan Metrowealth (MIG) Production yang berjudul, Zoo.


KARYAWAN filem Zoo bersama dengan penerbit David Teo (dua dari kanan), bersemangat untuk memberi kelainan kepada penonton dengan bercerita tentang dunia haiwan.


Menurut David, idea pembikinan filem yang turut membabitkan 'lakonan' haiwan dari Zoo Negara seperti ular, gajah, monyet, kuda dan zirafah, timbul apabila melihat Lan mampu berinteraksi dengan haiwan,

"Lan seorang pelakon yang unik. Dia boleh berinteraksi dengan haiwan lebih-lebih lagi ular.

"Malah dia juga mampu mengajuk bunyi-bunyi haiwan. Bila nampak burung, dia juga boleh buat bunyi seperti siulan burung," kata David,

Filem yang sedang mengadakan 70 peratus penggambaran di Zoo Negara bermula bulan Julai lalu sehingga pertengahan Ogos ini turut memilih pelakon jelita, Lisa Surihani sebagai watak utama filem tersebut.

Tambah David, dia yakin, filem pengembaraan yang pertama di Malaysia ini mampu meraih hasil kutipan tiket sebanyak RM10 juta.

"Saya ingin mencari nafas baru sekali gus mencetuskan kelainan pada industri filem tempatan.

"Kali ini kami tidak akan menggunakan Computer Generated Imagery (CGI) untuk menampakkan watak haiwan yang ditonjolkan lebih natural.

"Setakat ini, filem sebegini belum pernah dihasilkan di Malaysia dan ini akan memberi nafas baru kepada penonton," tutur David.

Filem yang menelan kos RM1.8 juta turut membariskan barisan pelakon komedi seperti Bob Lokman, Azlee Jaafar, Angah (Raja Lawak), dan Jesse Lim.

Sinopsis

Mengisahkan seorang jejaka bernama Lan yang mempunyai minat mendalam terhadap haiwan. Sikapnya yang tidak serius membuatkan dirinya kerap diberhentikan kerja.


KENYATAAN benar, Lan Pet Pet membela lima ekor ular sawa di rumahnya.


Ketika sedang menjual minuman di hadapan zoo, Lan secara tidak sengaja telah menyertai satu sesi temuduga yang dikendalikan pengurus zoo, Encik Din dan dia terus mendapat kerja di sana sebagai pengawal keselamatan.

Lan telah diperkenalkan kepada seorang pekerja di situ iaitu Shila. Gadis jelita itu memberitahu tidak ramai yang mampu bertahan bekerja sebagai pengawal di sana. Mereka mendakwa haiwan di zoo boleh bercakap tetapi Shila sendiri tidak mempercayainya.

Lan yang mendengar cerita daripada Shila bukan sahaja tidak mempercayainya malah telah mentertawakannya. Pelbagai insiden lucu berlaku pada hari pertama rondaan Lan di zoo tersebut.


DAVID TEO


Lan sendiri melihat haiwan-haiwan seperti singa, gajah, zirafah, monyet dan sebagainya bercakap dan menegur Lan dan terus demam pada keesokan hari.

Lan menceritakan perkara itu kepada Shila dan Encik Din tetapi mereka tidak mempercayainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: