Monday, August 10, 2009

Cantik bak Cleopatra


SUDU bersadur emas ini akan memanaskan gel serbuk emas bagi memudahkan gel meresap ke dalam kulit wajah.


Mengalami masalah kulit wajah yang kasar atau kehadiran garis-garis kedut sebelum waktunya sudah cukup membimbangkan kaum wanita.

Demi mengatasi masalah tersebut, segelintir wanita sanggup berhabis wang ringgit untuk membeli produk wajah yang sesuai dan mendapatkan rawatan di pusat kecantikan wajah.

Namun, masih ramai yang mengeluh kerana kaedah rawatan yang dicuba tidak memberikan impak terbaik. Justeru, bagi mengatasi masalah kulit wajah yang dialami ruangan Riak&Rias kali ini memaparkan rawatan wajah berasaskan emas untuk dicuba.

Setiap kali berbicara soal rawatan wajah berasaskan emas semestinya, Ratu Cleopatra sering diperkatakan.

Biarpun pada masa itu belum wujud rawatan wajah menggunakan mesin berteknologi tinggi dan produk berjenama, kulit wajahnya tetap licin dan menawan.

Rahsianya cukup mudah. Bagi mengekalkan kejelitaan, kelihatan awet muda dan menghilangkan garis kedut, Ratu Cleopatra menjadikan emas asli sebagai bahan rawatan wajah yang wajib dalam kehidupan harian.

Setiap malam dia tidak lekang melekatkan topeng muka emas ciptaannya bagi menangani masalah kulit dan mencantikkan wajah sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Secara amnya, emas merupakan salah satu bahan yang lembut dan mudah meresap ke dalam kulit wajah. Ia membantu mengurangkan garis kedutan dan mencegah penuaan.

Oleh sebab itulah penggunaan emas dalam rawatan wajah semakin popular di negara-negara Asia seperti China dan India. Dalam amalan perubatan masyarakat Cina, mereka menyifatkan emas sebagai kunci utama untuk mengekalkan awet muda. Atas faktor tersebut, permaisuri Dinasti Ching telah mengamalkan urutan serbuk emas pada wajahnya pada setiap hari.

Kaum India turut mengakui rawatan wajah berasaskan emas dapat melembutkan kulit, mengurangkan garis kedut dan menyerlahkan seri wajah.


BIONN merupakan pusat kecantikan wajah pertama yang menawarkan rawatan berasaskan emas di Singapura.


Menyedari kehebatan emas dalam dunia kecantikan, pusat kecantikan pakar kulit Bionn tidak ketinggalan menawarkan seleksi rawatan berasaskan emas.

Ia menjadi pusat kecantikan pertama di Singapura yang memperkenalkan rawatan wajah eksklusif iaitu topeng emas dan sudu emas bagi meremajakan kulit.

Sudu bersalut emas

Menurut Pengurus Bionn Lot 10, Nicole Yau, rawatan wajah ini menggunakan sepasang sudu khas yang diperbuat daripada serum logam keemasan 24k. Hanya dengan satu sesi rawatan, individu akan merasai perubahan kulit wajah yang memukau.

Kulit wajah bukan sahaja beransur cerah malah menjadi lembut, bersinar dan segar. Sebelum memulakan rawatan, pengunjung terlebih dahulu menjalani sesi pembersihan asas bagi menghilangkan kotoran dan sel-sel mati.

Seterusnya, gel bercampur serbuk emas disapu pada keseluruhan wajah. Ini untuk memudahkan proses urutan wajah yang menggunakan sepasang sudu bersalut emas.

"Sudu emas dipanaskan pada suhu 45 darjah selsius untuk memanaskan gel berserbuk emas supaya meresap dengan baik ke dalam kulit wajah. Kesannya, ia dapat membantu mengurangkan kedutan, gelung hitam bawah mata dan efek keputihan dalam kadar segera.


SEBELUM memulakan rawatan, wajah pengunjung akan diperiksa menggunakan kamera khas.


"Lagipun di Bionn kami menggunakan bahan berunsurkan emas dua kali ganda lebih banyak berbanding pusat kecantikan lain. Misalnya gel berserbuk emas dan sudu bersalut emas secara serentak," jelas Nicole ketika ditemui Stailo.

Pupur muka emas

Dalam pada itu, Nicole turut memberitahu di Bionn pengunjung berpeluang mencuba rawatan pupur emas wajah, sama seperti yang dipraktikkan oleh Ratu Cleopatra.

Rawatan yang menggunakan sebanyak 99.99 peratus emas asli dapat mengekalkan dan memperbaiki kulit wajah. Pada masa yang sama mengurangkan kedutan dan rangsangan yang menyerang kulit wajah.

Topeng kolagen emas

Inovasi topeng wajah kolagen emas kristal yang mengandungi ekstrak asli dan kolagen pula mampu meresap terus ke dalam sel kulit wajah dan 10 kali lebih baik daripada penggunaan topeng wajah biasa.

Dalam masa 20 minit sahaja, topeng ini memberikan elemen tambahan seperti serbuk emas, kolagen dan esen peputihan yang mengandungi faktor pelembapan serta vitamin yang pelbagai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: