Monday, August 10, 2009

Spa bertaraf lima bintang


RASAI pengalaman mengeluarkan toksin tubuh di dalam bilik sauna.
BILIK mandian wap seperti yang pernah digunakan oleh masyarakat Greek pada kurun ke-16.


MENGUNJUNGI spa D Aura, Seri Kembangan, Selangor, menjentik pengalaman yang mengasyikkan. Tiada siapa menyangka spa yang terletak bersebelahan bangunan Plaza South City itu, menawarkan perkhidmatan spa bertaraf lima bintang dan eksklusif.

Segala-galanya bermula saat anda melangkah kaki ke dalam perut spa. Fikiran yang kusut sebelum ini bagaikan larut apabila haruman lembut aroma terapi mula menusuk hidung. Ketenangan minda semakin dirasai ketika staf D Aura menyapa mesra dan membantu pengunjung membuat pilihan rawatan.

Alunan muzik kicauan burung dan bunyi kocak air sungai pula bagaikan simbolik memberi amaran kepada pengunjung supaya melupakan seketika bebanan tugasan dan kesibukan hiruk-pikuk kota. Kehadiran anda di spa D Aura hanya perlu menenangkan fikiran dan meregangkan tubuh badan.

"Kami sentiasa berusaha mencipta atmosfera dalaman spa yang tenang dan romantik khas buat tatapan pengunjung. Spa D Aura cukup memahami bahawa 'misi' pengunjung ke sini adalah untuk mendapatkan rawatan dan berehat.


SNEK ringan turut ditawarkan di kafe spa D Aura.


"Jadi kami akan memastikan mereka benar-benar berehat dan menikmati rawatan yang dipilih sebaik-baiknya," ujar Pengarah Spa D Aura, Dina Abu Bakar yang pernah mengusahakan spa mini di Seri Kembangan dan Johor Bharu, pada tiga tahun lepas.

Menariknya mengenai spa D Aura yang baru dua bulan beroperasi, kekuatannya terletak pada perkhidmatan spa yang terdiri daripada jakuzi, mandi wap dan sauna. Gabungan ketiga-tiga perkhidmatan ini seperti mengembalikan populariti spa yang diamalkan oleh masyarakat Greek dan Rom.

Seperti yang diketahui, sebelum kurun ke-16, masyarakat kerap mengunjungi spa untuk melakukan aktiviti mandian kolam air panas atau kolam yang berpunca daripada mata air.

Masyarakat pada waktu itu menyifatkan aktiviti rendaman dapat memulihkan masalah kulit dan menyihatkan tubuh badan.


MEMPUNYAI ruang yang luas, spa D Aura merupakan antara spa terbesar di negara ini.


Pada masa yang sama, pembinaan spa di Greek pada zaman tersebut juga bertujuan memulihkan kumpulan askar yang mengalami kecederaan dan dijadikan pusat rekreasi.

Atas faktor tersebut juga, orang Rom, pada 2,000 tahun dahulu mengambil inisiatif yang sama dengan membina kolam air panas, Bath (bandar air panas) di United Kingdom.

Hanya berharga RM58

"Dengan keluasan spa 1,367 meter persegi, ia memudahkan kami menempatkan kolam air panas (jakuzi), bilik mandian wap dan sauna di bahagian yang sama. Oleh itu, mereka boleh melakukan aktiviti sauna, mandian wap dan berendam dalam jakuzi tanpa had masa.

"Banyak kelebihan yang boleh diperoleh daripada kombinasi tiga aktiviti ini. Ia bukan sahaja menyegarkan badan malah melancarkan peredaran darah, mengeluarkan toksin, menghaluskan kulit dan memecahkan lemak," jelas Dina, 28, mengenai pakej perkhidmatan tersebut yang berharga promosi RM58 sahaja.

Namun begitu, selain berpeluang menikmati ketiga-tiga perkhidmatan , bayaran RM58 itu turut merangkumi perkhidmatan menonton televisyen, berehat di ruang bacaan dan menjamu selera di kafe spa.


LAYANAN mesra yang dipraktikkan staf D Aura sejak awal kaki melangkah masuk ke premis.


Sekiranya bosan mengunjungi spa sendirian, anda disarankan membawa teman-teman. Usah bimbang mengenai keluasan ruang kerana D Aura mampu memuatkan antara 30 hingga 50 orang dalam satu masa.

Bagi mendapatkan sesi rawatan badan pula, pengunjung tidak perlu menunggu lama memandangkan D Aura menyediakan 20 bilik rawatan yang dilengkapi dengan bilik air.

Khas buat wanita

Memahami golongan wanita tidak gemar berkongsi spa bersama kumpulan lelaki, perkhidmatan di spa D Aura hanya dibuka untuk pelanggan wanita saja.


URUTAN badan yang menggunakan minyak aroma terapi.


"Kebanyakan pengunjung kami terdiri daripada wanita Arab, Iran dan Kazakhtan yang menetap di kawasan perumahan di sini. Kumpulan ini begitu menitik beratkan soal aurat dan enggan memasuki spa sekiranya terdapat pelanggan lelaki.

"Di dalam spa, mereka ingin bebas melakukan rawatan hanya berpakaian kimono berbanding terpaksa membaluti tubuh dengan jubah dan tudung. Lagipun kami ingin mengelakkan masalah sosial dan tuduhan menawarkan perkhidmatan yang negatif," tambah Dina yang mempunyai 10 staf yang berpengalaman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: