| HAMPIR tiga tahun berkecimpung dalam bidang seni, pelakon dan model jelita Airis Yasmin sudahpun membintangi lebih 20 drama dan beraksi dalam empat filem. |
Malah Airis atau nama sebenarnya Yasmin Md Isa, 30, status ibu tunggal kepada anak perempuan, Salma Nurdina, 9, juga bukan penghalang buatnya untuk terus mengembangkan bakat lakonan.
“Misi saya untuk menjadi pelakon versatil dan mampu membawa pelbagai watak dalam drama atau telefilem.
Pada masa sama, saya juga tidak mahu dikenali sebagai dramatis semata-mata kerana saya juga mempunyai impian untuk melakar nama di layar perak pada masa depan.
“Saya sedar masih banyak ilmu lakonan yang perlu ditimba untuk mengukuhkan nama di persada seni tanah air,” katanya.
Apapun, kata Airis yang berasal dari Alor Gajah, Melaka, dia berdebar menanti empat filem lakonannya, Sereem, Syy...Dia Datang, Ee... Hantu dan Janin yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
“Saya bawa watak utama sebagai pelajar dalam filem Sereem dan Ee...Hantu manakala dalam filem Syy....Dia Datang, saya bawa watak teman wanita Saiful Apek dan Janin pula watak pembantu yang juga budak kampung.
“Sebenarnya, penggambaran empat filem berkenaan selesai pada 2007 dan 2008 dan sepatutnya, ditayangkan di pawagam tahun ini. Bagaimanapun, sampai sekarang senyap saja.
“Sebagai pelakon, sudah pasti saya mengharapkan filem lakonan saya itu ditayangkan secepat mungkin kerana saya ingin melihat maklum balas penonton pada lakonan saya,” katanya.
Airis kini terbabit dengan penggambaran telefilem untuk RTM, Aku Yang Aku Cari arahan Arief Kamarhani dan bergandingan dengan peserta program realiti Pilih Kasih yang tersingkir, Arif Yamin. Telefilem itu turut dibintangi Syed Aiman dan Yalal Chin.
Selepas telefilem itu, Airis terbabit dengan penggambaran drama bersiri 36 episod, Katarsis untuk RTM pada Oktober nanti. Ia turut dijayakan Zizan Nin, Datuk Jalaluddin Hassan, Rosnah Johari, Isma Hanum dan Chelsia Ng. Airis memegang watak utama sebagai Cikgu Murni.
“Saya terima tawaran ini kerana wataknya menarik dan membabitkan ramai pelakon terkenal,” katanya.
Sementara itu drama lakonan Airis yang baru disiarkan di Astro Prima, Maisara menyaksikannya membawa watak pelacur bergandingan dengan Shamsul Yusof dan Leez AF.
Drama lain lakonannya ialah Ranjang Penuh Luka (Astro), Memintas Seribu Bulan, Andai Semalam Kumiliki (RTM) Kasih Iftitah, Saka (TV3), Ghost (8TV) dan Aku Bukan Buaya (ntv7).
Selain berlakon, Airis sibuk menguruskan syarikatnya, Fine Beauty Sdn Bhd bersama rakan kongsi. Pelakon yang juga pengacara ini baru selesai mengikuti kursus pengurusan berkaitan bidang anatomi fisiologi di Akademi Energy, Kuala Lumpur.
“Saya berlakon kerana minat dan menceburi bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan. Apa yang penting, saya perlu bijak membahagikan masa supaya keduanya bergerak seiring.
“Selepas selesai penggambaran telefilem Aku Yang Aku Cari, saya berehat seketika bagi memberi fokus pada perniagaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: