Friday, August 7, 2009

Blaus berdarah di bilik Jacko


SEHELAI blaus yang mempunyai tompokan darah yang mencetuskan misteri disimpan
di dalam sebuah almari di rumah Jacko di Los Angeles.


LOS ANGELES - Sehelai blaus wanita yang memiliki tompokan darah ditemui digantung di dalam almari pakaian penyanyi Michael Jackson sehingga mencetuskan misteri baru berhubung kematian bintang tersebut, lapor sebuah akhbar semalam.

Michael yang popular dengan gelaran Jacko ketika masih hidup dipercayai tidak pernah memakai baju itu.

Baju itu masih lagi mempunyai tanda harga. Tanda harga pada pakaian itu ialah AS$3.99 (RM14).

Baju itu mungkin diguna untuk membersih darah Jacko ketika dia meninggal dunia di rumah sewanya di sini.

Jacko, 50, meninggal dunia di rumah sewanya itu pada 25 Jun lalu akibat degupan jantung terhenti.

Beberapa akhbar semalam menyiarkan imej baju itu dan bilik tidur Jacko.

Gambar itu dirakamkan beberapa hari selepas Jacko meninggal dunia.

Seorang peguam, Craig Silverman yang tidak terlibat dalam kes Jacko berkata: "Ia agak luar biasa apabila sehelai baju yang berdarah tidak dijadikan bahan bukti."

Menurutnya, blaus itu mungkin memberi petunjuk kesilapan yang mungkin berlaku semasa doktor peribadi Jacko, Dr. Conrad Murray cuba menyelamatkan penyanyi tersebut.


BEGINILAH keadaan bilik tidur Jacko.


Seorang jurucakap polis Los Angeles ketika ditanya kenapa tidak mengambil baju tersebut untuk tujuan penyiasatan berkata: "Saya tidak tahu kenapa."

Jacko menyewa rumah itu sejak Disember lalu pada harga £60,000 (RM356,140) sebulan.

Ia mengandungi tujuh bilik tidur, 13 bilik mandi, 11 tempat pendiangan, sebuah kolam renang besar dan rumah tetamu.

Dia tinggal bersama anak-anaknya iaitu Prince, 12, Paris, 11, dan Blanket, tujuh tahun.

Turut tinggal bersamanya ialah ramai pembantu rumah termasuk pengawal peribadi dan Dr. Murray.

Hanya doktor itu dibenarkan memasuki bilik Jacko manakala staf lain dilarang.

Di bilik tidur penyanyi itu, semua peralatan perubatan seperti pam oksigen dan sarung tangan dipercayai sudah dibawa keluar sebagai bahan bukti untuk tujuan penyiasatan.

Sumber mendedahkan bahawa bilik tidur itu pada asalnya berada dalam keadaan berselerak, penuh dengan nota tulisan tangan yang menggambarkan bahawa mental Jacko bercelaru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: