
MANILA - Ribuan rakyat Filipina semalam sanggup menunggu berjam-jam dalam barisan panjang bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas presiden negara itu, Corazon Aquino.
Mendiang yang berumur 76 tahun menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di sini kelmarin setelah disahkan menghidap kanser kolon pada Mac tahun lalu.
Aquino disenangi kebanyakan rakyat kerana memimpin pergerakan demokrasi mengguling pemerintahan diktator bekas Presiden Ferdinand Marcos sehingga menyebabkan beliau terpaksa hidup dalam buangan di luar negara pada 1996.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama antara ketua negara yang mengutuskan takziah manakala Presiden Gloria Arroyo turut memendekkan lawatan rasminya di AS.
Mendiang akan disemadikan di sini esok bersebelahan dengan kubur suaminya, Beningno 'Ninoy' Aquiono yang dibunuh pada 1983 selepas pulang dari hukuman buang negara.
Menurut kenyataan Istana Presiden, mendiang dalam wasiatnya tidak mahu majlis pengebumian negara bagaimanapun semua sekolah di seluruh Filipina akan ditutup sehari sebagai penghormatan.
Beberapa akhbar utama di Manila semalam memberi tajuk depan yang agak emosi seperti Selamat tinggal Tita (Mak Cik) Cory' dan Kita hilang hadiah paling berharga.
Suri rumah tersebut menjadi presiden dari 1986 hingga 1992, pernah terselamat daripada tujuh kali cubaan rampasan kuasa tentera sebelum aktif mengetuai kumpulan anti-Arroyo.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: