Monday, August 3, 2009

Myanmar bina reaktor nuklear


SEBUAH terowong yang didakwa sebagai laluan ke kemudahan nuklear Myanmar.


YANGGON - Myanmar sedang membina sebuah reaktor nuklear dan fasiliti plutonium secara rahsia dengan bantuan Korea Utara, menurut satu laporan yang didedahkan semalam.

Laporan hasil siasatan dua tahun oleh pakar keselamatan Asia Tenggara, Dr. Desmond Ball dan wartawan Phil Thornton menyatakan, Myanmar berupaya menghasilkan bom nuklear dalam masa lima tahun lagi.

Mereka mendapat maklumat daripada dua pembelot, bekas pegawai tentera, Moe Jo dan Tin Min iaitu penyimpan akaun kepada seorang ahli perniagaan yang rapat dengan junta tentera Myanmar.

Projek sulit tentera Myanmar dengan nama kod UF6 itu menyaksikan mereka kini memiliki 10 buah lombong uranium, dua stesen penyuling uranium dan dua tapak rektor nuklear.

Seorang pembelot itu berkata, dia dihantar ke Rusia sebagai sebahagian usaha junta untuk melatih 1,000 anggota tentera bagi program nuklear berkenaan.

"Pihak junta pada mulanya menyatakan fasiliti tersebut adalah bagi tujuan perubatan. Alasan itu tidak masuk akal kerana hospital-hospital di Myanmar daif dan tidak mahir mengenai sains nuklear," kata Tin Min.

Menurutnya, cita-cita nuklear junta tentera sebagai persediaan untuk menghadapi ancaman dari negara-negara serantau terutamanya Thailand.

Perkembangan terbaru itu turut mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) yang tidak mahu satu lagi 'Korea Utara' muncul di rantau Asia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: