Wednesday, August 12, 2009

Dengarnya: Rozita tunai umrah pada Ramadan


ALHAMDULILLAH, Cik Normah seronok mendengar cerita mengenai rakan sepejabat yang rancak bercerita mengenai pelakon jelita, Rozita Che Wan yang akan menunaikan umrah buat kali kedua penghujung bulan ini ketika seluruh umat Islam sudah mula melakukan ibadat puasa.

Kali pertama Rozita mengerjakan umrah ialah tujuh tahun lalu. Rozita ke Tanah Suci Makkah bersama ibunya, Zabedah Saad. Malah, model Azlan Nordin juga akan mengikuti pakej yang diikuti Rozita ini. Tak silap Cik Normah, Rozita akan kembali ke Malaysia beberapa hari sebelum kita menyambut lebaran.

Baguslah kalau begitu, dalam rancak mencari rezeki, Rozita Che Wan berkesempatan menunaikan ibadat. Tak dinafikan, rezeki ibu tunggal dua anak ini memang murah. Lepas satu persatu, tawaran berlakon filem, drama dan telefilem berkunjung kepadanya. Malah, sebelum berangkat, Rozita perlu melunaskan filem Semerah Cinta Stiletto arahan Ahmad Idham bermula 18 hingga 27 Ogos ini.

Cik Normah sekarang ini berharap yang pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah itu akan bertemu pengganti selepas lama hidup menjanda. Siapa tahu, Rozita pastinya akan berdoa di sana memohon keberkatan dirinya dan keluarga. Agaknya, siapalah yang akan berjaya menawan hati pelakon yang cukup diingati pada bulan puasa menerusi drama Diari Ramadan Raffique.

Satu persatu gosip yang bertandang kepadanya termasuk di kalangan VIP, Zizan Nin dan pemain bola sepak baru-baru ini, semuanya singgah seketika saja. Cik Normah pun ada kalanya tak pasti dengan siapa sebenarnya yang menjadi pilihan. Mungkin juga perkahwinan pertama membuatkan Rozita begitu keras hati dan terlalu berhati-hati mencari pengganti. Iyalah, siapa yang mahu luka lama berdarah kembali.

Perkahwinan bukan untuk tempoh singkat yang sering menjadi tren selebriti kebelakangan ini. Ibaratnya kahwin itu seperti bertukar pakaian. Hari ini suka, besok boleh jadi tidak suka. Cik Normah mengerti perasaan Rozita, lalu tidak salah dia bersikap selektif untuk memastikan sisi peribadinya menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: