Thursday, August 6, 2009

SOSEH SOSEH: Zizie, Fizow kian intim


MACAM satu trend pula kini wanita lebih berusia memilih untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki muda. SS lihat keadaan seperti ini tidak hanya membabitkan golongan biasa malah artis.

Antara contoh selebriti wanita yang teman lelaki atau suami mereka lebih muda, penyanyi dangdut Sheeda, Rita Rudaini, Intan Ladyana dan Irma Hasmie, teman wanita Bintang Paling Popular, Nabil Raja Lawak.

Terbaru, SS difahamkan, Zizie Ezette, 33, kini dikhabarkan intim dengan pelakon baru, Fizow, awal 20-an. Nama Fizow mula melonjak naik menerusi drama Puteri Salju dan Bionik.

Rahsia hubungan mereka dibongkar, selepas gambar percutian mereka di Phuket, Thailand disebarkan peminat menerusi internet.

Bagaimanapun, SS dimaklumkan pasangan ini mengatakan mereka teman rapat dan percutian mereka di pulau indah itu turut disertai ahli keluarga.

Bagi SS, biasalah artis sering tidak mengaku apabila dikaitkan dengan seseorang walaupun ada bukti dengan gambar yang disebarkan. Biasalah, artis ramai peminat dan sesiapa saja sering bergambar mesra dengan mereka.

Mungkin juga mereka cuba menyorokkan sesuatu tetapi pada pandangan SS, tidak salah kalau mereka bercinta kerana seperti diketahui ramai, Zizie sudah pun berpisah dengan teman lelakinya hampir setahun lalu.

Mungkin, kehadiran Fizow ini berjaya menyembuhkan lukanya. Maklumlah, hubungan Zizie dengan bekas teman lelakinya bukan setahun dua tapi bertahun-tahun dan begitu serius kerana khabarnya mahu mendirikan rumah tangga.

Apabila tiada jodoh dan mereka akhirnya berpisah, sudah tentu bukan mudah untuk Zizie melupakan kenangan manis bersama kekasihnya dulu. Mungkin Zizie mengambil langkah berhati-hati supaya tidak kecewa di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: