Wednesday, August 5, 2009

Api misteri serang Pekan Pokok Sena

POKOK SENA - Penduduk sekitar Pekan Pokok Sena berada dalam ketakutan apabila kejadian kebakaran misteri berlaku di sekitar Pekan Pokok Sena yang membakar gerai buah-buahan, gerai nasi, longgokan sampah kecil di tepi bangunan dan terbaru pondok rehat pemandu kereta sewa.

Yang membimbangkan penduduk, kejadian itu berlaku sebanyak sembilan kali dalam tempoh satu minggu.

Pemilik kedai gunting rambut, G L Muniam berkata, kebakaran itu bermula dengan longgokan kecil sampah yang berada di sekeliling kawasan perniagaan di pekan ini.

Kemudian perkara itu semakin menjadi-menjadi dengan kebakaran mula melibatkan gerai jualan yang berada di sekitar kawasan perniagaan itu.

“Kebakaran pertama dikesan pada longgokan kecil sampah dan perkara itu semakin berlarutan sehingga mendatangkan kebimbangan kepada peniaga,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang pemilik kedai buah-buahan yang hanya mahu dikenal sebagai Jenny, dia terkejut apabila keeso�kan harinya melihat sebahagian gerainya terbakar, namun sempat diselamatkan pemilik kedai makanan yang berhampiran, Mohd Yusof Abd Taib.

Mohd Yusof berkata, kebakaran kedai buah-buahan itu berlaku sekitar jam 4 pagi, pada waktu itu dia terjaga kerana teriakan pekerjanya dan dia bangun untuk memadamkan kebakaran itu.

“Saya terkejut dengan teriakan pekerja, selepas itu saya lihat kedai jiran terbakar. Saya berusaha memadamkan api tersebut, dan pada yang sama pihak polis turut sampai,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu memeningkannya kerana dia tidak melihat kelibat sesiapapun mahupun mendengar sesuatu perkara yang mencurigakan.

“Saya tidak boleh tuduh sesiapapun, kalau hendak kata perbuatan orang yang tidak waras, tidak ada kelibat sesiapapun, kalau ada mesti ia dilakukan dengan terancang,” katanya.

Kejadian terbaru yang melibatkan kebakaran pondok rehat pemandu kereta sewa telah memaksa Pengerusi Persatuan Teksi/Kereta Sewa Pokok Sena, Bakhari Abd Aziz membuat lapo�ran polis.

Bakhari mendakwa pembakaran pondok rehat itu mungkin dirancang berikutan pili bomba yang berada berhampiran telah diikat dengan dawai semasa pihak bomba yang sampai cuba untuk memadamkan kebakaran itu.

“Bomba terpaksa memotong dawai tersebut dengan pemotong dan kebakaran itu seolah-olah telah dirancang,” katanya.

Dengan kecekapan pihak bomba, kebakaran dapat dipadamkan dan hanya sebahagian pondok yang terbakar termasuk gerai membaiki kasut yang berada berhampiran pondok tersebut.

“Ada pihak mendakwa ada antara ahli kami meminjam dengan ah long, namun saya menafikan perkara itu sekeras-kerasnya,” katanya.

Bakhari berkata, walaupun pendapatan mereka sebagai pemandu teksi tidak seberapa, namun dia percaya ahli pemandu teksi tidak akan meminjam dengan peminjam lintah darat itu kerana ia banyak memberi kesan buruk.

Menurutnya, laporan ini dibuat bertujuan menjaga keselamatan ahli persatuan ini dan masyarakat peniaga yang ada di sekitar kawasan berkenaan.

“Dengan kebakaran terbaru, saya rasa lebih baik saya mengambil pendekatan terbaik dengan membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena,” katanya.

Bakhari berkata, dia tidak menuduh sesiapa dan berharap dalang di sebalik kejadian ini dapat ditangkap secepat mungkin kerana boleh mengancam keselamatan peniaga dan penduduk di sekitar pekan ini.

Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lada, Shahrulruddin Musa turut turun padang melihat keadaan kawasan kebakaran dan meminta pihak polis menyiasat perkara itu demi keselama�tan penduduk sekitar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: