
Pengorbanan 146 keluarga dari kampung tersebut yang member:i ruang kepada pemaju membangunkan projek perumahan atas nama menyahut laungan Setinggan Sifar oleh Kerajaan Negeri semakin terhimpit apabila ada antara mereka ini sudah tiada tempat berteduh.
Janji pemaju yang akan membantu penduduk membayar sewa rumah mereka hanya tinggal janji apabila penduduk pula terpaksa menanggungnya selain bayaran faedah bank bagi rumah yang dibeli.
Lebih malang lagi, nasib penduduk di sini seolah-olah tidak dihiraukan oleh mana-mana pihak pun sekalipun dijanjikan nasib mereka akan terjamin sejak berpindah pada 2003, baik kerajaan sebelum ini mahupun kerajaan baru sekarang.
Wakil penduduk, Rejab Hasan, 56 berkata, penduduk telah mengambil kata putus dalam apa jua yang berlaku selepas ini, mereka akan ‘redah masuk’ rumah mereka itu sekalipun terpaksa tidur di ruang tamu.
Menurutnya, 146 keluarga bekas setinggan telah ditawarkan membeli pangsapuri kos rendah yang telah dijanjikan oleh kerajaan sebelumnya bagi kempen Setinggan Sifar.
“Rumah yang sepatutnya siap pada 2006 tertangguh sehingga pada hari ini dan masih belum ada tanda-tanda penyerahan kunci walaupun projek ini sudah hampir siap kecuali beberapa masalah lain.
“Dalam kata lain, penduduk yang juga pembeli rumah ini akan memasuki rumah ini selewatnya 15 Ogos ini kerana ada penduduk sudah tiada tempat tinggal lagi,” katanya.
Katanya, penduduk sudah hilang kesabaran kerana pemaju seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu dan sengaja melewatkan penyerahan kunci
“Malah setiap kali penduduk ingin berbincang dengan peamju, setiap kali itulah pemaju mengelak diri daripada berjumpa. Malah kewujudan ‘task force’ dari Kerajaan Negeri kononnya akan memantau masalah projek terbengkalai langsung tidak mempedulikan keadaan ini.
“Inikah yang dikatakan negeri berkebajikan sedangkan masalah besar rakyat seperti ini dibiarkan sahaja,” katanya.
Rejab berkata, jika masalah ini masih belum ada penghujungnya, penduduk berhasrat untuk bertemu Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meminta membantu masalah mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: