Thursday, August 6, 2009

Anak taikun saman puteri Jordan


GAMBAR fail menunjukkan Puteri Firyal
dengan Pincus.


NEW YORK - Puteri Firyal yang merupakan ibu saudara pemerintah Jordan, Raja Abdullah bin Hussein didakwa hidup seperti 'permaisuri' melalui harta yang diperoleh daripada teman lelakinya yang kaya tetapi 'nyanyuk'.

Dalam satu dokumen mahkamah yang didedahkan oleh sebuah akhbar semalam, Firyal didakwa menghabiskan wang sebanyak AS$62 juta (RM216 juta) milik teman lelakinya iaitu pelabur terkenal, Lionel Pincus.

Firyal didakwa menghabiskan AS$45,000 (RM157,050) untuk lampu dinding, AS$66,000 (RM230,340) untuk cermin dan AS$132,000 (RM460,680) untuk sebuah meja.

"Tidak cukup dengan itu, Firyal yang muda 17 tahun berbanding Pincus turut mengubah pelan harta beliau agar wanita itu menerima manfaat yang besar selepas kematiannya," kata saman yang dikemukakan oleh dua anak Pincus.

Dalam tempoh tiga tahun selepas Pincus disahkan menghidap kanser, jumlah wang dan harta yang dimiliki yang ditinggalkan untuk Firyal melonjak tinggi.

Wanita itu kini menerima bayaran AS$$45 juta (RM157 juta), hartanah bernilai AS$55 juta (RM192 juta), bayaran tahunan sebanyak AS$8 juta (RM28 juta) dan berjuta-juta lagi dalam bentuk hasil seni serta perabot.

Dua anak Pincus, Matthew dan Henry memohon kepada mahkamah untuk membenarkan penjualan apartmen milik bapa mereka yang dianggarkan bernilai AS$50 juta (RM175 juta) di Pierre Hotel.

Seorang hakim sebelum ini mengisytiharkan Pincus nyanyuk dan tidak dapat mengendalikan hal ehwal peribadinya.

Keputusan itu menyebabkan wanita itu menerima AS$10 juta (RM35 juta).

Pembayaran itu dibuat kerana teman lelakinya itu sudah menandatangani perjanjian bahawa kekasihnya akan menerima jumlah tersebut jika mental Pincus diisytiharkan tidak cergas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: