Thursday, August 6, 2009

Aktres popular menerusi slot Sinema Jumaat

Sepanjang Ogos ini, TV2, menerusi slot tontonan ramai, Sinema Jumaat akan menyajikan filem-filem terbaik yang dibintangi heroin popular seperti Erra Fazira, Acha Septriasa, Dhea Ananda, dan ramai lagi membintangi beberapa filem menarik antaranya, Kado Special Buat Kakak (7 Ogos 2009), Kuliah Cinta (14 Ogos 2009), Funny Feeling (21 Ogos 2009) dan Hati Yang Merdeka (28 Ogos 2009) yang disiarkan jam 12.30 tengah hari di TV2.

Sebagai pembuka tirai, Kado Special Buat kakak yang menampilkan pelakon popular Acha Septriasa akan bergandingan dengan pelakon Juwita Maritsa dan Oka, mengetengahkan watak seorang kakak, Citra yang ingin melihat adiknya, Dewi bahagia. Namun kasih sayang mereka mula teruji dengan kehadiran seorang jejaka yang bernama Dika. Lebih malang, mereka jatuh cinta dengan orang yang sama. Apakah yang berlaku seterusnya?

Menyusul kemudiannya, Kuliah Cinta lakonan hebat gandingan Yusry KRU, Erra Fazira, Zahnita Hussein, Saiful Apek, Zahida Rafik dan Yassin Senario yang mengisahkan kehidupan remaja di alam kampus yang dilalui Johana atau dikenali sebagai Jojo dan Farami. Mereka berkawan baik, namun, segalanya berubah apabila tibanya sesi kemasukan pelajar junior di universiti tempat mereka belajar.

Bagi golongan remaja di luar sana usah ketinggalan menyaksikan kisah bunga-bunga cinta yang mewarnai filem Indonesia, Funny Feeling menampilkan pelakon Dhea Ananda, Habibie, Adi dan Cindy. Arunee mula berkenalan dengan seorang lelaki, Keane yang sangat kacak. Namun, selepas berbulan-bulan berkenalan, Keane masih tidak menyatakan rasa hatinya kepada Arunee. Ketika itu muncul pula watak Adrien yang membuatkan situasi cinta tiga segi.

Istimewanya menutup tirai slot Sinema Jumaat Ogos ini, drama khas Merdeka, Hati Yang Merdeka mengisahkan Jidan, pemandu peribadi kepada Haris bercerita kepada Zali, budak lelaki OKU yang kebetulan berhenti rehat di sebuah warung. Jidan menceritakan kisah seorang sahabatnya bernama Ris setelah budak lelaki OKU itu mengeluh dirinya ditimpa nasib dilahirkan cacat anggota sehingga sukar untuk memperolehi pekerjaan. Hati Yang Merdeka dilakonkan wataknya oleh Adi Putra, Fauzi Nawawi, Abu Bakar Juah, Ann Abdullah, Radhi Khalid, Azad Jasmin Jeffri dan Mahmud Ali Bashah.

Pastikan anda tidak ketinggalan menonton Sinema Jumaat sepanjang Ogos, Kado Special Buat Kakak (7 Ogos 2009), Kuliah Cinta (14 Ogos 2009), Funny Feeling (21 Ogos 2009) dan Hati Yang Merdeka (28 Ogos 2009) yang disiarkan pada jam 12.30 tengah hari menerusi TV2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: