Thursday, August 6, 2009

HERO janjikan kelainan

Kesuraman industri muzik tanah air serta kemelesetan ekonomi, tidak menghalang bakat baru, yang dikenali sebagai Hero untuk mencuba nasib. Tampil dengan imej bertopeng, penyanyi kelahiran Sungai Siput Perak ini telah bersiap sedia untuk tampil dengan sebuah mini album setelah single pertamanya ‘Cinta dan Kenangan’ mendapat sambutan yang memberangsangkan dari orang ramai.

Album berjudul sempena gelarannya ‘Hero’ terbitan SBP Entertaiment yang merupakan anak syarikat kepada produk kopi campuran terkenal, Superbest Power (M) Sdn Bhd ini memuatkan lima buah lagu, antaranya Puteri Kayangan, Rahsia Mimpi Semalam, Keliru & Damai, dan juga single pertamanya, Cinta dan Kenangan.

Tidak didapati secara konvensional, seperti di kedai-kedai CD dan kaset, sebaliknya Hero didatangkan bersama kopi Superbest Power yang hanya boleh didapati menerusi agen jualan SBP ataupun di pasar raya tertentu.

Memandangkan konsep pemasaran seperti itu agak janggal di negara kita, maka kredibiliti Hero sebagai penyanyi mungkin akan dipersendakan.

Manakan tidak, jika artis-artis lain muncul dengan album dan imej yang tersendiri, Hero pula terpaksa muncul dengan kopinya.

Ketika diajukan hal itu, pemilik nama sebenar Hero, Mohd Asrafudin Ngaimin, 25, tidak mudah melatah, sebaliknya menganggap itu sebagai peluang untuknya mencipta nama dalam industri seni.

“Inilah cara untuk saya perkenalan diri dan bakat saya di mata masyarakat. Saya tak kisah orang kaitkan saya dengan kopi kerana yang penting saya sudah pun ada album sendiri. Malah ia juga kombinasi yang baik untuk kami bekerjasama.

"Jika orang minat pada kopinya, secara tidak langsung mereka membeli album saya juga. Pada saya, perkara ini tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ini adalah sebahagian dari strategi perniagaan,” kata Hero dengan penuh optimisnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SBT Entertainment, Haree Hasrizal Hashim atau Bujal juga turut memberikan pandangan. Pihaknya bukanlah mengambil kesempatan ke atas bakat Hero untuk melariskan produk kopi semata-mata, tetapi ia merupakan kombinasi perniagaan yang baik untuk kedua-dua pihak.

Menurut Bujal,untuk melantik artis yang sedia ada menjadi duta produk, pastinya menuntut bayaran tinggi. Maka bertitik tolak dari itulah, timbulnya idea untuk melahirkan jenama Hero.

“Hero adalah satu jenama yang akan menjadi ikon kepada masyarakat. Untuk jadi Hero, kami telah tetapkan beberapa syarat utama. Selain berbakat, Hero juga harus mempunyai imej dan sahsiah diri yang baik.

"Dia tidak boleh merokok, bebas dari Dadah dan tidak mengambil minuman keras.

“Gabungan Hero dan kopi keluaran SBT bukan sahaja sebahagian dari teknik pemasaran, tetapi juga bertujuan untuk terapi kesihatan yang dipanggil R&R iaitu Rawat dan Rehat, yang mana kopi untuk merawat kesihatan dan lagu-lagu dalam album itu pula untuk merehatkan minda. Inilah konsep baru yang ingin kami terapkan pada masyarakat.

“Setakat ini, album Hero sudah pun terjual 20 ribu unit. Ketika menyertai ‘Jom Heboh’ di Sarawak baru-baru ini, kita dah berjaya jual 10,000 unit dan jumlah itu sudah pun memberikan pulangan modal.

"Ini memberikan petanda yang baik dan kita sudah bersedia dengan pelbagai rancangan untuk memberi kesinambungan dan memperkembangkan karier artis kita.

"Selepas Hero, Insya-Allah kita akan muncul dengan Heroin dan juga Hero Band,” kata Bujal ketika ditemui pada majlis pelancaran album mini Hero di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur

Biarpun dikatakan cuba meniru vokalis, Bandi dari kumpulan Amuk yang tampil dengan imej bertopeng, bagi Hero, dia tidak meniru sesiapa kerana dia hanya membawakan imej dan watak Hero seperti mana yang dipersetujui dengan syarikat rakamannya.

Selain bertopeng, dia juga harus menjaga imej Hero dan sentiasa berpakaian kemas serta lengkap dengan tuxedo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: