Wednesday, August 5, 2009

Aksi Atilia, Noryn mengasyikkan

Satu persembahan yang begitu mengasyikkan. Begitulah perasaan yang boleh digambarkan ketika menyaksikan persembahan dua penyanyi yang berada di landasan irama jazz, Atilia dan Nory Aziz.

Persembahan yang boleh dikatakan ala mini konsert tersebut diberi nama Malam Nada Biru diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 30 dan 31 Julai yang lalu berlangsung secara eksklusif dan pastinya meninggalkan impak yang mendalam kepada penonton yang hadir.

Ruang dewan Lambang Sari yang bermandikan limpahan cahaya biru bersesuaian dengan konsep Malam Nada Biru itu adalah anjuran dua syarikat produksi iaitu milik Atilia, Mujik Productions dan Bsync Productions milik Noryn.

Persembahan pembukaan pada malam itu dimulakan dengan gabungan pemuzik-pemuzik hebat yang mengalunkan irama jazz yang dibarisi oleh Eric Lee (pengarah muzik dan keyboard); Tok Khon dan Sze Wan (keyboard); Jamie Wilson (gitar); Zailan Razak (bass); Lewis Pragasam (dram) dan Steve Thornton (perkusi). Bermula dengan rentak perlahan yang mengasyikkan, irama jazz tersebut sedikit demi sedikit dirancakkan sehinggakan penonton yang hadir turut sama menggoyangkan kepala mengikut nada.

Sejurus selepas alunan dihentikan, Atilia tampil mengambil tempat mendendangkan lagu Sangkar. Persembahan Atilia tidak menghampakan apabila vokal lunaknya jelas kedengaran di samping penyanyi latar Rteez yang dianggotai Khairy, Zda dan Bai.

Selepas selesai menyanyikan sebuah lagu, Atilia sempat mengucapkan ucapan terima kasih kepada penonton yang sudi hadir menyokong persembahan beliau dan Noryn.

“Malam ini adalah malam yang akan dikenang sampai bila-bila,” tutur anak kepada penyanyi veteran Salamiah Hassan itu.

Atilia juga dijangka akan melancarkan album keduanya pada September hadapan.

Kemudian Atilia berduet dengan Jamil Wilson yang juga merupakan suami kepada penyanyi dan pelakon Ruhil Amani menerusi lagu,Oh Love. Lagu tersebut adalah lagu duet Atilia bersama vokalis kumpulan Hujan, Noh yang dimuatkan dalam album keduanya, Indah.

Atilia juga sempat mengembalikan nostalgia penonton apabila meneruskan persembahan dengan lagu yang pernah dipopularkan oleh ibunya, Gelombang. Nyata lagu tersebut menarik minat penonton yang turut serta menyanyi.

Atilia meneruskan lagi persembahannya dengan tiga buah lagu lagi iaitu lagu rancak Harus Bagaimana dan lagu tema Teater Muzikal P Ramlee, Leka. Segmen Atilia diakhiri dengan lagu Ranjau bersama pemain trompet yang dijemput khas, Andy Wen.

Selepas hampir 20 minit sesi ‘intermission’, Noryn Aziz mengambil tempat dengan kemantapan vokal lantangnya yang menyerlahkan lagi persembahan pada malam itu.

Noryn kelihatan bijak menggunakan setiap sudut ruang persembahan di samping menyanyikan lagu-lagu yang ‘energetic’ menyuntik semangat penonton yang hadir. Dendangan lagu Kembalikan dan Lara disampaikan dengan penuh bertenaga dan dramatik.

Sebelum memulakan persembahan, Noryn sempat berkata; “Inilah muzik yang benar-benar kena dengan jiwa saya, Jazz.”

Kelantangan vokal Noryn diteruskan menerusi sebuah lagu yang ditujukan khas untuk wanita, I’m Alright. Penghayatan yang begitu mendalam diberikan Noryn sepanjang beliau mendendangkan lagu tersebut.

Lagu Bila-bila Saja menyusul selepas itu dan diakhiri dengan lagu yang pernah menjadi single pertamanya, Cerita Cinta. Lagu tersebut dinyanyikan secara selang seli dengan Atilia yang muncul kembali menyanyikan lagu Sangkar.

Persembahan mereka diberikan ‘standing ovation’ diakhir persembahan oleh tetamu yang hadir. Antara rakan artis yang turut hadir memberi sokongan ialah Datin Seri Tiara Jaquelina bersama suami, Datuk Seri Affendi Nawawi, Aishah Sinclair, Yasmin Hani, Ning Baizura dan Nazril yang juga suami kepada hos malam tersebut, Sazzy Falak.

Secara keseluruhannya, ramai yang berpuas hati dengan iringan muzik yang mantap di samping nyanyian yang bertenaga daripada kedua-dua penyanyi itu dan pastinya penonton rasa berbaloi berbelanja sebanyak RM80 untuk membeli tiket.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: