![]() |
| |
KISAH rumah tangganya terus diperkatakan. Tidak bahagia, itulah ungkapan yang kerap dilemparkan kepada perkahwinan aktres/model Aleeza Kassim dengan suaminya, Mohd. Fauzi Che Rus.
Sementelah selepas tiga tahun melayari bahtera rumah tangga masih tiada tanda-tanda akan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri. Justeru ramai menganggap ketiadaan anak menjadi antara punca kerenggangan hubungan suami isteri ini.
Tidak menafikan adanya pasang surut dalam kehidupan berumah tangga namun Aleeza, menegaskan, ia tidaklah sehingga memusnahkan kesucian sebuah perkahwinan. Malah perceraian merupakan perkara terakhir yang mahu difikirkan seandainya melalui saat-saat getir hidup berdua.
“Asam garam berkeluarga. Rumah tangga tiada yang sempurna. Masalah mesti ada. Tapi (perceraian) adalah perkara yang paling saya dijauhi,” tegas Aleeza ketika dihubungi Jumaat lalu.
Dia yang baru pulang dari bercuti bersama suami di Itali mengakui bahawa ada mendengar tentang desas desus mengenai kisah kemelut keretakan rumah tangganya.
Sementelah statusnya sebagai artis memberikan banyak ruang dan peluang kepada khalayak untuk memikirkan sebarang kemungkinan kepada kehidupannya.
Justeru Aleeza tidak mahu cepat melatah dan sedaya mampu mengawal emosi untuk terus tertekan dengan gosip yang dijaja.
Cuma adakalanya dia kasihankan suaminya yang mungkin tidak biasa dengan segala bentuk tohmahan yang dilemparkan terhadap perkahwinannya.
Mulut orang, kata Aleeza, adakalanya boleh membuatkan kehidupan pasangan huru hara lebih-lebih lagi seperti suaminya yang bukan daripada kalangan selebriti.
“Rumah tangga ada pasang surutnya,” katanya tanpa berdolak dalih. “Tapi kalau boleh saya tidak mahu sehingga bercerai berai,” tambah Aleeza.
Kerana itu kata Aleeza, walau sesibuk mana pun dirinya dengan karier, dia memastikan mempunyai kelapangan untuk menghabiskan masa bersama suami tercinta. Dan bercuti bersama merupakan antara cara bagi Aleeza, 38 dan Fauzi, 45 untuk mengeratkan lagi perhubungan mereka.
Ini kerana, apabila bercuti ke luar negara, mereka bukan sekadar menikmati pemandangan indah.
“Tetapi juga berbicara tentang alam rumah tangga yang dibina. Dari situ kita dapat menilai semula diri dan perhubungan kita,” jelas Aleeza lagi.
*Mahu anak
Berkisah soal cahaya mata, pemilik agensi modelling Vogue@Work Sdn. Bhd. dan model produk Kopi Al-Habsyee itu berkata, bukan tiada perancangan ke arah itu.
Cuma pada saat ini, rezeki untuk menimang zuriat bersama masih belum kesampaian. Pun begitu, mereka tetap berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan cahaya mata impian.
“Siapa yang tak mahu anak. Sudah ramai yang bertanya. Apalagi bila usia perkahwinan sudah menjangkau tiga tahun.
“Tapi nak buat macam mana, rezeki belum ada. Apa yang boleh dilakukan ialah berusaha dan bertawakal kepada-Nya,” ujarnya.
Cuma adakalanya Aleeza mengakui sakit hati dengan kata-kata yang dilontarkan kepadanya yang menganggap dia sengaja tidak mahu melahirkan anak kerana takut bentuk badannya terjejas.
Sedangkan hakikatnya, tegas Aleeza, walau sebanyak mana pun dia makan, tubuhnya tetap kurus dan langsing.
“Kalau fikirkan kata orang memang makan hati. Jadi saya selalu cuba berfikiran positif dan matang dan sibukkan diri.
“Alhamdulillah, sejak berkahwin, rezeki saya bertambah dan walaupun tak nampak tetapi ia tak putus,” kata Aleeza.
*Kasih tercipta
Mengenai percutiannya Aleeza berkata, dia dan suaminya ke Itali selama lebih seminggu selepas selesai penggambaran drama terbarunya, Kasih Tercipta, arahan Rashid Sibir.
Menurut aktres yang juga model popular itu, dia memilih negara tersebut kerana ingin melawat menara condong Pisa selain ke Florence yang terkenal dengan pemandangannya yang indah.
Sebagai seorang pencinta fesyen, sudah pasti kota Milan turut dilawati namun kata Aleeza tidak banyak dia berbelanja di sana selain membeli beg tangan dan kasut yang tidak terdapat di negara ini.
“Saya memang mahu ke sana untuk percutian musim panas dan agenda membeli belah bukan perkara utama.
“Apa yang penting adalah untuk meluangkan masa bersama dan sememangnya percutian ini walaupun pendek tetapi memberi banyak makna dan kemanisan buat kami berdua,” jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: