Polo Pavillion Bukit Kiara Equestrian & Country Resort dibanjiri 25,000 peminat kumpulan Search
WALAU apa terjadi, kumpulan Search akan terus dikenang sebagai legenda yang memperjuangkan jalur muzik rock. Sepanjang 28 tahun merentasi liga seni, kumpulan yang diketuai Amy ini terus mencipta fenomena tersendiri. Malah tidak keterlaluan, mereka meletakkan genre rock itu sebagai penanda aras mengisi ruang hiburan di negara kita khususnya.
Tidak hairan juga setiap kali mengadakan konsert, sambutan yang diperoleh cukup luar biasa. Pada usia menghampiri atau mencecah setengah abad di kalangan anggotanya, sisi energetik mereka di atas pentas masih mempunyai aura dan kelas tersendiri sehingga dilabel sebagai ikon rock unggul tempatan.
Buktinya, siri jelajah Konsert Di Awan Biru Search yang diadakan Sabtu lalu di Polo Pavillion, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur itu berjaya menarik perhatian kira-kira 25,000 penonton. Kuala Lumpur antara lokasi tumpuan yang ditunggu-tunggu peminat selepas Pulau Pinang, Johor Bahru, Pahang dan Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, umum juga sedia maklum, legasi seni yang menjadi kebanggaan ramai ini akan sampai ke penghujung destinasinya. Penjelajahan konsert yang ditaja syarikat telekomunikasi terkemuka, Celcom ini juga dikatakan sebagai isyarat mengucapkan selamat tinggal kepada penggemar Search.
Mahu atau tidak, keputusan ini sebenarnya pasti mengecewakan dan terlalu pahit untuk ditelan. Selepas menjadi kumpulan rock perintis di Malaysia sejak era 1980-an, hakikatnya kini anggota Search dalam peringkat ‘separuh persaraan’. Lumrah setiap rentak permulaan pasti ada pengakhiran.
| DARI kiri, Kid dan Hillary memukau penonton. Nabila dan Kat hadir memberi sokongan. Antara penonton yang teruja menyaksikan konsert Search. |
Amy Search ketika ditemui media sejurus selepas konsert berakhir sekitar jam 12.30 tengah malam mengakui masih sayang dengan Search. Bagaimanapun keputusan rasmi sama ada proses pembubaran itu akan menjadi kenyataan atau sebaliknya masih tinggal tanda tanya.
“Soal mahu bubar atau tidak, kami akan sama-sama putuskan selepas selesai siri persembahan konsert kami. Kita tunggu sajalah. Lagipun Selepas Aidilfitri nanti, kami akan meneruskan persembahan di Sabah dan Sarawak. Insya-Allah juga, selepas dua negeri itu, kami akan ke Batu Pahat.
“Ketika ini juga kami sudah mendapat lampu hijau untuk terbabit dalam persembahan gig di Manchester selama dua minggu mulai Oktober ini. Undangan membuat persembahan turut dirangka ke London dan Dublin hingga Februari tahun depan. Bahkan kami akan membuat persembahan di beberapa lokasi di Indonesia.
“Pihak Celcom pun berminat untuk menganjurkan satu lagi konsert di Stadium Merdeka. Namun, semuanya masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada kata putus. Kalau jadi, pastinya momen dan ingatan indah sewaktu kami mengadakan Konsert Evolusi Search pada 2004 di stadium itu dapat dikenang kembali,” kata Amy sambil ditemani anggota yang lain, Yazid, Hillary, Kid, Din dan Nasir ketika sidang media dijalankan.
Kalau ada yang masih ingat, Search pernah mengumumkan pembubaran mereka pada 16 Januari 2001. Ketika itu pelbagai andaian mula bermain-main di fikiran kerana ada yang melihat pembubaran itu hanya sekadar langkah ‘berehat sementara’ dan tidak kurang juga yang mewujudkan persepsi Search akan terus berkubur begitu saja.
Ketika itu, kebarangkalian untuk mereka bersatu kembali juga dikatakan agak tipis. Namun, ironinya, tidak wujud istilah bubar atau bersara sebenarnya kerana bayangkan sampai sekarang, Search sebenarnya masih bernyawa. Desas-desus pembubaran Search berkemungkinan akan berlaku pada 2010.
"Mungkin juga Search hanya akan bersatu dalam projek khas dalam keadaan tertentu. Lagi pun seiring dengan usia kewujudan kumpulan kami, lebih baik kami tidak terlalu muncul di khalayak secara kerap demi menjaga nilai eksklusif yang sering dipraktikkan sesetengah artis di negara kita," kata Amy yang kini lebih selesa berimej botak berbanding di awal kemunculan dulu dengan gaya berambut panjang.
Sistem bunyi jejas perjalanan konsert
SEMENTARA itu, beralih kepada perjalanan konsert yang bermula jam 9.45 malam, ia pada dasarnya nampak seperti sempurna pada mata kasar. Jika peminat setia kumpulan ini terus larut dengan seleksi sekitar 25 buah lagu yang dialunkan Amy tanpa memikirkan perihal lain dan hanya memejam mata, mungkin konsert itu boleh dikatakan berjaya.
Bahkan, jumlah penonton yang hadir juga dilihat mampu memenuhi kapasiti ruang padang terbuka itu. Bayangkan tempat meletak kereta dan jalan yang berhampiran dengan padang itu turut sesak dipenuhi kereta penonton yang hadir. Pendek kata, kelibat penonton yang hadir memang di tahap yang cukup memberangsangkan.
“Saya sendiri tidak jangka jumlah penonton yang hadir begitu ramai. Malah saya difahamkan selain konsert Search, turut berlangsung Konsert Antara Dunia di Shah Alam. Pada masa yang sama, Kuala Lumpur juga berdepan dengan perhimpunan haram bagi membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hingga beberapa jalan utama terpaksa ditutup dan menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Bagaimanapun, konsert yang berlangsung dalam tempoh dua jam itu sebenarnya dianggap sangat mengecewakan terutama daripada sudut sistem bunyi yang disediakan. Kalau diamati, memang persembahan konsert itu bagai ada yang tak kena.
Malah, ada yang menyifatkan masalah sistem bunyi yang tidak sehebat seperti di Johor Bahru dan Pulau Pinang itu disebabkan kekurangan bajet. Pemilihan lagu juga dikatakan begitu mengecewakan kerana ada lagu berhantu Search yang tidak dinyanyikan.
Persembahan konsert itu turut dicacatkan dengan masalah teknikal yang terjadi di awal persembahan selepas lagu kedua, Balada Pemuzik Jalanan dinyanyikan Amy. Penampilan khas Kid ketika menggoreng gitarnya untuk lagu Isabella bergema di ruang udara juga kelihatan seperti tenggelam timbul.
“Saya sendiri juga agak panik apabila masalah teknikal itu berlaku. Perkara sedemikian memang kita tak dapat jangka. Yang berlaku tetap akan berlaku, kita tidak boleh halang,” kata Amy ringkas.
Ketika itu juga, Nasir mula mencelah seperti cuba merungkaikan sedikit perasaan hatinya.
“Kita pakai sistem bunyi yang berbeza dengan konsert sebelum ini. Apa yang kita nak yang terbaik untuk konsert ini tak dapat. Ia seperti gangguan emosi kepada kami,” kata Nasir.
Berbaloikah menonton konsert ini? Jawapannya tepuk dada tanya isi hati. Sayang juga kerana persembahan itu tidak berjalan dengan baik sedangkan ia sebenarnya perlu menjadi memori yang indah. Amy Search juga kurang berkomunikasi dan hanya selepas lagu kelapan, Gelora Cinta, baru bapa kepada pelakon Nabila Huda itu mula bersuara.
Bermula dengan lagu Panggung Khayalan, Amy melabuhkan tirai konsert dengan lagu Fantasia Bulan Madu. Diamati, lagu Isabella paling memberi nostalgia tersendiri dan cukup mengesankan kepada peminat Search apabila mereka turut menyanyikan sama lagu terbabit.
Antara lagu lain yang dipersembahkan Search ialah Emanuelle, Hilang Dalam Terang, Plastik Ke Bintang, Rock & Roll Pie, Bencana, medley Gadis Misteri, Gadis Ayu dan Gadisku, Isi Dan Kulit, Laila Namamu Teratas, Pelesit Kota, Setelah Hujan dan tidak ketinggalan lagu cari makan, Pawana.
INFO Search
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: