![]() BARISAN artis yang membintangi drama bersiri 3 Janda bergambar bersama pengarah, Joeza (dua dari kiri), David dan Nizam (tiga dari kanan). |
Skrip drama 3 Janda tulisan Siti Jasmina tidak berunsur negatif
APABILA filem Mertua Vs Menantu berjaya mencapai rating yang cukup membanggakan timbul pula pertanyaan, apakah akan ada drama yang mampu menandingi kehebatan naskhah yang menampilkan pelakon jelita Erra Fazira dan Aqasha itu.
Bukannya cuba mencari perbandingan tetapi selepas meletakkan satu penanda aras yang cukup tinggi terutama untuk drama terbitan tempatan, tentu akan ada yang tertanya-tanya, apakah Astro Prima mampu mencari drama lain yang boleh mencapai rating yang lebih tinggi atau menyamai drama terbitan MIG Beats Sdn Bhd itu.
Pun begitu, soalan berbaur cabaran itu nampaknya disahut produksi yang sama apabila mereka kini sedang dalam pembikinan sebuah drama yang bakal menyaingi Mertua Vs Menantu yang diberi judul 3 Janda.
Bukan saja mempertaruhkan sebuah tajuk yang kontroversi, malah pemilihan pelakon utamanya saja sudah berjaya mengundang sensasi apabila pelakon janda yang jelita, Rozita Che Wan terpilih membawakan watak janda selain Lisa Surihani serta Norliana Samsudin.
Bagaimanapun, menurut pengarah drama terbabit, Nor Jauza Rasidi atau Joeza, drama 3 Janda ini tidak membawa sebarang unsur negatif ataupun cuba menjatuhkan maruah golongan itu.
![]() |
| TIGA pelakon jelita menjadi janda sensasi dalam drama yang akan disiarkan di Astro Prima. |
"Masa mula-mula melihat tajuk drama ini pun saya ingat ia ada unsur gedik. Namun selepas membaca skrip yang ditulis oleh Siti Jasmina ini, saya dapati ia sangat menarik dan apa yang boleh saya katakan, ia adalah suatu realiti dalam kehidupan seharian kita," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama itu di Restoran Lemon, Seri Kembangan, baru-baru ini. Hadir sama penerbit drama terbabit, David Teo serta Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani.
Mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan termasuklah kerenah ibu bapa mereka dalam mengharungi kehidupan seharian yang mencabar selepas bergelar janda.
"Kalau kita lihat, golongan janda ini sebenarnya terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran disebabkan status yang mereka galas itu.
"Namun drama yang dicetuskan ideanya isteri penerbit drama ini sebenarnya tidak bermaksud untuk menyindir mana-mana pihak atau pun memburukkan sesiapa. Sebaliknya kisah yang dipaparkan ini nanti mampu dijadikan iktibar oleh penonton," jelas Joeza yang hasil kerjanya boleh dilihat menerusi drama Renjis musim pertama, Cerita Hantu Singapura, 2 Kali Aku Mencintaimu dan Hartamas.
Memandangkan drama ini dikatakan bakal memberi saingan hebat kepada drama Mertua Vs Menantu yang memperoleh rating sebanyak 1 juta penonton, tidak dapat dinafikan perkara itu sedikit sebanyak mengundang gusar di hatinya.
"Tak dapat dinafikan, hal itu memberi tekanan kepada saya. Jadi, saya berharap semua pihak termasuk pelakon dan produksi dapat berganding bahu dan bekerja secara profesional supaya hasrat itu menjadi realiti.
"Lagipun, sebagai pengarah baru, saya perlu membuktikan bahawa drama arahan saya mampu memberi pulangan yang baik kepada pihak penerbit terutama yang disiarkan di saluran Astro Prima," ujarnya yang percaya elemen komedi dan mesej yang terkandung dalam drama ini mampu menambat hati penonton untuk terus menyaksikannya.
Turut membintangi drama terbitan MIG Beats itu adalah Farid Kamil, Awal Ashaari, Khaty Fuziah dan Abu Bakar Omar.
Mengulas pemilihan pelakon, Joeza berkata kebanyakan mereka yang terpilih adalah berdasarkan hasil uji bakat yang dilalui mereka. Walaupun drama ini berasaskan kepada komedi namun ia masih ada elemen drama seperti yang ditonjolkan drama Mertua Vs Menantu.
"Ia bukanlah sebuah drama berat meskipun kami selitkan unsur konflik di dalamnya. Saya harap ia mampu memberi perspektif baru kepada penonton dan mereka boleh menerima mesej yang hendak kami sampaikan," jelas si pengarah mengenai drama yang bakal menemui penonton, 22 April depan.
Drama 13 episod itu antara lain mengisahkan tentang tiga adik beradik perempuan iaitu Kartika lakonan Rozita Che Wan, Intan (Lisa Surihani) dan Suria (Norliana Samsudin) yang menjadi janda kerana masalah peribadi.
Mengharungi hidup dengan menggalas status janda, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan termasuklah kerenah ibu bapa mereka.
3 Janda akan menggantikan slot yang sama dengan Mertua Vs Menantu akan disiarkan di saluran Astro Prima (saluran 105) setiap Rabu jam 10 malam.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: