Friday, March 20, 2009

ABPBH 2008: Giliran gegar Kuantan




Peminat berpeluang melaram dengan kereta bersama artis pujaan

SELAMA ini peminat hanya mampu meneka apakah dua pelakon popular, Farid Kamil dan Lisa Surihani serta penyanyi Aizat dan aktres remaja meningkat naik Liyana Jasmay benar-benar pasangan bercinta atau sekadar bersahabat baik.

Pelbagai jawapan diberikan kedua-dua pasangan ini setiap kali soalan berhubung keakraban mereka dikemukakan wartawan.

Pada 21 dan 22 Mac ini bertempat di Kuantan Parade, Kuantan, peminat tentunya dapat melihat sendiri bagaimana kemesraan kedua-dua pasangan terkenal ini apabila mereka muncul di kompleks berkenaan ketika menyertai siri promosi ABPBH 2008.

Pada hari itu juga, mereka boleh mengandaikan sendiri apakah Farid benar-benar insan istimewa di hati Lisa dan apakah Aizat sememangnya insan yang berjaya mencuri hati Liyana?

Tentunya peluang beramah-mesra atau bergambar bersama mereka tidak akan dilepaskan peminat apabila keempat-empat artis ini turun ke Kuantan. Ketika itu jugalah soalan cepu mas itu agaknya boleh ditanyakan kepada si empunya diri.



Selain empat artis popular tadi, selebriti lain yang tidak ketinggalan memeriahkan persinggahan keempat dalam siri jelajah promosi ini ialah kumpulan Fabulous Cats, Jaclyn Victor, Fizo Omar, Sariyanti, Ashraf Muslim dan Nikki.

Acara di kompleks beli-belah itu bakal dikendalikan penyampai radio Hot FM, Kieran bersama dua pelawak yang makin mendapat tempat di hati peminat, Along dan Angah Raja Lawak.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Promosi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia, selaku penganjur bersama ABPBH 2008, Mas Ayie Mas Omar, destinasi Kuantan dijangka menjadi sebuah lagi lokasi yang bakal hangat dengan kehadiran ribuan peminat yang tidak mahu ketinggalan memeriahkan acara promosi ini.

Ketika rombongan promosi bersama selebriti ABPBH 2008 singgah di Sungai Petani, Pasir Gudang dan Kuala Terengganu, sambutan begitu hangat diberikan peminat di ketiga-tiga lokasi tadi.

"Apatah lagi apabila acara bukan hanya berlangsung pada hari Ahad iaitu 22 Mac saja sebaliknya kemeriahan sudah pun bermula sehari sebelumnya lagi apabila kami menganjurkan juga pertandingan nyanyian Bintang Idola Berita Harian (BIBH) sempena acara promosi terbabit," katanya.

Sesi pendaftaran bagi pertandingan berkenaan dibuka pada 21 Mac, bermula jam 10 pagi. Ia hanya dibuka kepada 100 peserta pertama. Justeru, peminat yang ingin menyertai pertandingan ini dinasihatkan berada di tempat pendaftaran dari awal lagi.

Daripada saringan awal, seramai 10 peserta akan dipilih untuk menyanyi pada peringkat akhir keesokan hari (22 Mac). Manakala juaranya pula berpeluang menyanyi pada acara membabitkan aktiviti artis, pada sebelah petangnya.

"Di samping BIBH, tarikan utama siri promosi ini juga tentulah peluang peminat untuk bergambar bersama artis kesayangan mereka berlatarkan backdrop ABPBH. Selepas sesi bergambar, acara persembahan dijangka bermula kira-kira jam 3 petang.

"Pelbagai hadiah menarik menunggu pembaca Berita Harian dan peminat yang menjawab pelbagai kuiz serta mengambil bahagian dalam aktiviti yang diadakan di kompleks terbabit sepanjang siri promosi ini. Bahkan, mereka juga berpeluang menaiki kenderaan tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, kereta Nissan Sylphy dan Grand Livina pada hari itu nanti," kata Ayie.

Peminat juga tidak harus melepaskan peluang mendapatkan barangan terhad ABPBH yang dijual pada dua hari berkenaan, termasuk kole, pen, baju-T, topi dan pelbagai cendera hati istimewa lain.

Bagi peminat yang ingin menyerahkan borang undian ABPBH 2008, mereka boleh berbuat demikian pada kedua-dua hari terbabit apabila penganjur turut menyediakan peti serahan di gerai Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: