Friday, March 20, 2009

ABPBH 2008: Rezeki tidak ditolak


PENGARANG Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail bersama rombongan promosi ABPBH 2008 bergambar kenangan di rumah Aiman.

Rombongan ABPBH 2008 ke Kuala Terengganu disambut dengan rasa besar hati oleh keluarga Aiman

HENDAK kata majlis rumah terbuka, Syawal masih belum menampakkan bayangnya.

Namun begitulah situasi yang dapat digambarkan apabila rombongan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bertandang ke rumah calon bagi kategori Artis Baru Lelaki dan Penyanyi/Artis Nasyid Popular, Aiman sewaktu mereka ke Kuala Terengganu bagi mengadakan siri promosi di negeri itu baru-baru ini.

Selepas berpenat lelah dan basah kuyup di sebelah siangnya kerana mengadakan persembahan dan beramah mesra bersama peminat, menjelang malam, rombongan yang terdiri daripada finalis dan krew ABPBH bertolak ke Merbau Patah, kira-kira 20 minit perjalanan dari Kuala Terengganu bagi memenuhi undangan keluarga Aiman untuk menjamu selera di rumah mereka.

Orang kata rezeki jangan di tolak, musuh jangan di cari dan walau masih dalam keletihan yang amat sangat, di gagahkan juga diri menerima pelawaan itu. Dari jauh lagi kelihatan rumah dua tingkat milik keluarga peserta program realiti Akademi Nasyid itu terang benderang tanda bersedia untuk menyambut ketibaan tetamu yang datang dari jauh.

Senyuman tuan rumah, Md Sidek Tawang dan Rasmah Yusof yang tidak lekang dari bibir menunjukkan pasangan suami isteri begitu berbesar hati menerima kedatangan rombongan yang mengandungi lebih 40 orang ahli ini.

MAJLIS makan malam di rumah keluarga Aiman sempena jelajah ABPBH 2008 ke Terengganu.

Sebaik saja kaki melangkah ke dalam rumah, aroma hidangan tradisi penduduk di situ iaitu nasi dagang menguasai atmosfera, membuatkan tetamu yang hadir bertambah lapar. Bukan saja nasi dagang tetapi tuan rumah turut menyediakan hidangan lain seperti nasi minyak, sate, kuih muih, puding dan buah-buahan sebagai pencuci mulut.

Walaupun sebelum itu rombongan ini sudah pun menjamu sebaik saja acara promosi selesai namun itu bukanlah halangan untuk mereka menikmati hidangan yang sungguh enak itu. Malahan, ada yang menambah makanan berkali-kali kerana kelazatan makanan hasil air tangan ibu penyanyi remaja itu.

Bukan sekadar menikmati hidangan tetapi acara jamuan itu turut memberi peluang kepada ahli rombongan beramah mesra sesama sendiri, bergurau senda kerana inilah saja peluang yang ada untuk mereka bersantai kerana apabila pulang ke ibu kota, pasti kesibukan menjadi penghalang untuk mereka menikmati suasana sebegini.

Paling kecoh adalah pelakon Sheila Mamabo apabila sering menjadi bahan usikan kerana sifatnya yang suka melatah itu. Ada-ada saja idea untuk mengenakan pelakon berusia 46 tahun itu, sehingga aksi selambanya itu mengundang tawa tetamu lain.

SESI menikmati sajian enak disediakan ibu Aiman.

Sebagai tuan rumah, Aiman berkata dia dan ahli keluarga lain begitu seronok kerana dapat meraikan rombongan ABPBH2008.

"Ini memang menjadi niat Aiman dan keluarga iaitu mahu menjamu rombongan ABPBH. Terlanjur mereka berada di sini, jadi apa salahnya kalau Aiman jemput datang ke rumah. Dan kebetulan mama Aiman pun berkata perkara yang sama, jadi itu yang kami adakan acara seperti ini," kata Aiman sambil memberitahu menu malam itu semuanya adalah pilihan keluarga.

Jelas Aiman, acara malam ini sekurang-kurangnya memberi peluang kepadanya untuk mengenali rombongan itu dengan lebih dekat lagi memandangkan dia sebenarnya seorang pemalu.

"Aiman terpaksa ambil masa untuk mengenali dan bersembang dengan mereka kerana Aiman memang pemalu. Tapi sekarang dah okey," tambahnya yang kini semakin popular dengan lagu Dusta Berkalang.

Sebelum pulang ke hotel, rombongan itu hadiahkan dengan cenderahati berupa kek dari pihak tuan rumah.Buat Aiman sekeluarga, terima kasih daun keladi.Kenangan dan jasa baik keluarga itu akan tetap terpahat dalam ingatan sampai selamanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: