Wednesday, March 4, 2009

Rozita kahwin suami artis?

SEBENARNYA cerita ini sudah lama dihebahkan oleh rakan-rakan Papa yang terdiri daripada wartawan-wartawan hiburan.

Di kalangan mereka, kecoh memperkatakan mengenai aktres cantik Rozita Che Wan yang khabarnya disunting sebagai isteri kedua.

Yang menariknya, lelaki yang dimaksudkan sebagai suami Rozita ialah seorang usahawan ternama yang juga suami kepada seorang artis wanita.

Kalau sebelum ini, Rozita pernah didakwa menerima hadiah kereta mewah daripada Datuk Khalid Mohammad Jiwa atau Datuk K (yang juga suami Datuk Siti Nurhaliza), kini dia sekali lagi menjadi mangsa spekulasi liar.

Kepada Rozita, Papa ajukan soalan tersebut dan seperti sudah dijangka, dia sekali lagi ketawa besar.

"Saya hairan betul kenapa asyik saya yang menjadi mangsa gosip. Kalau sebut kahwin suami orang saja, asyik nama saya yang akan timbul.

"Kalau dahulu saya dikaitkan dengan Datuk K, kini saya cuba dikaitkan pula dengan seorang lagi suami artis.

"Cukup-cukuplah buat cerita yang tak betul. Saya dah penat nak layan gosip yang sebegini. Buat masa sekarang saya masih lagi solo dan tidak terikat dengan mana-mana lelaki terutamanya suami orang," kata Rozita menjawab dakwaan tidak berasas itu.

Kepada Papa juga, Rozita berpesan: "Kalau Papa dengar apa-apa cerita pasal skandal terbaru saya, baik Papa telefon saya dan dapatkan pengesahan saya. Tak seronoklah hidup kalau saya asyik menjadi mangsa permainan gosip."

Selepas mendengar penjelasan Rozita menerusi perbualan telefon tempoh hari, Papa cuba memahami kedudukannya.

Papa tidak sama sekali menyalahkan Rozita hanya kerana dia cantik, popular dan bergelar ibu tunggal.

Ini kerana banyak juga lelaki yang Papa kenal sangat menggemari wanita yang datangnya dari kelompok sebegini.

Jadi, kalau Rozita mendapat perhatian mereka, ia bukan salah Rozita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: