Wednesday, March 4, 2009

Tanya soalan tak cerdik

SEBAIK mendengar berita ini, Papa ketawa sampai berguling-guling. Kalau boleh dikategorikan sebagai cerita lucu, Papa fikir soalan yang ditanyakan personaliti tersebut boleh menewaskan filem-filem komedi Prof Madya A. Razak Mohaideen.

Mahu tahu ceritanya? Ia berlaku di sebuah majlis pelancaran sebuah buku tulisan personaliti popular baru-baru ini.

Seperti mana yang semua orang ketahui, majlis pelancaran buku itu disempurnakan oleh artis popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang baru sahaja kehilangan bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail.

Selesai majlis pelancaran buku berkenaan, tiba masa untuk sesi temu ramah bersama Siti.

Seperti biasalah, artis yang cukup terkenal dengan keramahannya ini bijak menjawab soalan wartawan dengan baik walaupun di wajahnya masih terserlah kesedihan.

Semasa sesi soal jawab soalan, tiba-tiba, seorang personaliti popular dari sebuah stesen telah bertanyakan soalan yang membuatkan wartawan lain berpandangan sesama sendiri. Mahu tahu apa bunyi soalan itu?

Soalan yang ditanya personaliti itu berbunyi begini: "Lagu apakah yang anda dengar ketika berkabung?"

Sebaik selesai bertanya soalan itu, semua wartawan yang menyertai sesi soal jawab itu terdiam seketika.

Mahunya tidak, perlukah bertanya soalan yang sedemikian kepada artis yang sedang bersedih di atas pemergian orang tercinta.

Mujurlah Siti artis yang berpengalaman dan bijak menangkis setiap soalan yang ditanya.

Biarpun kelihatan terkebil-kebil mendengar soalan itu, Siti menjawabnya dengan penuh berhemah.

Jawapan yang diberikan oleh Siti kepada soalan personaliti itu ialah: "Saya tidak mendengar apa-apa lagu selain selawat dan berdoa untuk kesejahteraan orang yang sudah pergi meninggalkan kita."

Nah, kan dah malu sendiri. Sepatutnya personaliti tersebut lebih peka dan sensitif kepada soalan yang mahu ditanya.

Seperti kata Nabil, lu fikirlah sendiri...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: