
Rupa-rupanya, 29 Mac depan sudah lama dipilih untuk menjadi tanggal ikatan pernikahan, namun ia dirahsiakan kerana bimbang tidak menjadi. Hanya setelah kad undangan berkerawang ungu siap untuk diedarkan, barulah Yatt dan Talib berterus terang tentang tarikh ini.
“Kami bertunang pada 2 Februari tahun lalu setelah mendapat restu keluarga. Jadi lebih kurang setahun jugalah saya membuat persiapan secara berperingkat untuk perkahwinan kelak. Bagaimanapun saya hanya mula bercuti sejak tiga bulan lalu; agak lewat juga kerana tak sampai hati pula mahu menolak rezeki yang datang sebelum ini,” ujar Yatt.
Pada majlis nanti, dia bakal menerima mas kahwin berjumlah RM80.80 serta lima dulang hantaran daripada Talib. Begitu pun, mereka sepakat untuk merahsiakan nilai wang hantaran.
Pernah kena ‘reject’
Menyentuh tentang keistimewaan masing-masing, sikap Talib yang memahami dan menerima seadanya diakui Yatt cukup melembutkan hati perempuannya. Lebih dari itu, Talib juga tidak mudah cemburu dan tidak pernah memaksa. Terangnya, “Dia tidak mengongkong dan tidak suka meletakkan syarat jadi sesuailah dengan saya yang suka memberontak. Di awal perhubungan dulu dia agak cemburu, tapi setelah empat tahun bersama dia mulai faham karier saya. Inilah yang paling memikat tentangnya.”
Sementara Talib pula menyatakan, dia mengagumi prinsip diri dan sikap bertanggungjawab Yatt pada diri dan keluarga. Tersipu-sipu mengakui pernah di’reject’ ketika mula-mula melamar Yatt untuk dijadikan teman wanita suatu ketika dahulu, dia sempat mengenang bagaimana dia dan belahan hatinya itu bertemu.
“Saya mengenali Yatt setelah diperkenalkan oleh seorang rakan yang bertugas sebagai jurukamera di lokasi Selamat Pagi Malaysia. Hubungan kami bagaimanapun hanya rapat setelah Yatt dan kawan-kawannya sering bermain futsal di tempat saya pada penghujung 2004. Istimewanya Yatt ini, dirinya jauh dari persepsi yang biasa kita sangka pada seorang artis,” cerita Talib yang bekerja sebagai pengurus di Sports Planet, Ampang pula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: