
Filem arahan sutradara Indrayanto Kurniawan yang bakal menemui penonton Malaysia bermula hari ini, bukan sahaja menghidangkan aksi mereka berpelukan mesra, tetapi juga aksi bercium sakan seperti mana yang pernah dirakam oleh paparazi di Indonesia sebelum ini. Walaupun mereka sudah bergelar suami isteri, namun aksi itu dilakukan ketika mereka masih lagi sedang hangat bercinta. Mungkin di Indonesia aksi seperti itu adalah perkara biasa, namun di Malaysia ia sudah pasti dianggap keterlaluan kerana melanggar batas adat dan budaya kita.
Ketika diajukan hal itu, baik Ashraf mahupun Bunga yang ditemui ketika Majlis Pra tonton filem Saus Kacang di TGV, KLCC, Selasa lalu, menyifatkan perkara itu perkara biasa dan aksi mereka lakukan itu tidaklah keterlaluan.
“Aksi itu (cium) sebenarnya adalah satu cabaran buat saya kerana belum pernah saya melakukannya di skrin. Dan sebelum melakukannya, saya ada berbincang dulu dengan pengarah untuk mengetahui sejauh manakah kepentingan adegan itu. Kami bukannya bercium untuk suka-suka atau untuk tunjukkan pada orang, tetapi ia ada kepentingannya dan ada maksudnya. Lagipun aksi itu bertujuan menggambarkan perasaan cinta dan sayang terhadap karakter yang kami lakonkan,” kata Ashraf.
Sementara itu, Bunga yang lebih terbuka dalam hal seperti itu memberitahu, babak cium itu dilakukan atas permintaan pengarah dan sebagai pelakon mereka harus bersikap profesional.
“Saya lihat aksi itu (cium) memang ada kepentingan untuk jalan cerita ini. Lagipun ciuman yang kami lakukan itu bukannya ada unsur ‘seksual’ tetapi sekadar cium sayang dan cinta,” katanya dengan bersahaja.
Dalam pada itu, Pengarahnya, Indrayanto Kurniawan turut ditanya mengenai isu itu. Bukan untuk mengambil kesempatan ke atas Bunga dan Ashraf yang ketika itu sememangnya sedang hangat bercinta, namun kata Indrayanto, babak itu dilakukan atas tujuan memenuhi jalan cerita filemnya. Tegasnya lagi, dia bukanlah pengarah yang suka menghasilkan filem ‘porno’ dan babak cium yang ditonjolkan itu adalah perkara biasa dalam perfileman Indonesia. Bagaimanapun, dia turut meluahkan rasa terkilan setelah menyedari babak cium Ashraf dan Bunga untuk tayangan di sini terpaksa dipotong pihak Penapisan Filem Malaysia.
Tidak keberatan bercium dengan pelakon lain
Ditanya adakah mereka sanggup melakukan aksi cium dengan pelakon lain, masing-masing memberi jawapan sama. Menurut Ashraf dan Bunga, mereka tidak keberatan melakukan aksi itu, namun ia bergantung kepada kepentingan jalan cerita sesebuah filem.
“Kita kena faham tentang tanggungjawab pelakon, tapi apa pun aksi yang harus dilakukan kita kena lihat apa kepentingannya dan kena berbincang dengan pengarah terlebih dahulu. Kalau untuk menguatkan lagi jalan cerita, kenalah ikut tapi kalau untuk suka-suka, tak perlulah,” kata Ashraf yang cukup terbuka sekiranya Bunga harus melakukan aksi seumpama itu dengan aktor lain.
Menyedari statusnya sebagai isteri orang, kata Bunga, dia lebih senang berbincang dengan Ashraf terlebih dahulu tentang apa yang patut atau tidak tentang lakonannya kelak. Sekiranya dipersetujui bersama barulah dia akur dengan kehendak pengarah. Namun sebolehnya, dia akan cuba berbincang dengan pengarah dari melakonkan aksi-aksi keterlaluan.
Idamkan cahaya mata
Seperti pasangan lain, Ashraf dan Bunga juga sememangnya mengidamkan cahaya mata bagi melengkapkan lagi rumah tangga dibina. Kata Ashraf, mereka tidak pernah merancang mendapatkan zuriat, sebaliknya menyerahkan pada takdir.
“Kita memang nak anak, tapi buat masa ni masih belum ada rezeki. Kalau ada, kami terimanya dengan hati yang terbuka. Harap-harap, kalau ada pun tunggulah masa yang sesuai, sebab buat masa sekarang ni kami memang sibuk dengan karier masing-masing,” ujar Ashraf.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: