Friday, March 20, 2009

keakraban Lisa Surihani dan Farid Kamil yang akan muncul di Kuantan Parade




Saksikan sendiri sejauh mana keakraban Lisa Surihani dan Farid Kamil yang akan muncul di Kuantan Parade, Ahad ini

SEKALI pandang, mereka bagaikan merpati dua sejoli yang sedang asyik bercinta. Mungkin isu gosip cinta yang pernah digembar-gemburkan antara aktor Farid Kamil dengan Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia ke-21, Lisa Surihani sudah lapuk untuk diperkatakan.

Hakikatnya hubungan mereka tidak lebih daripada teman seperjuangan yang begitu komited untuk terus memartabatkan dunia seni ke peringkat yang lebih baik. Berbeza latar pendidikan, finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini saling menyokong dalam kerjaya lakonan mereka.

Buat peminat di Kuantan Parade, Pahang nantikan kemunculan mereka pada 22 Mac nanti untuk siri jelajah ABPBH 2008

Mungkin ada yang mengandaikan keakraban Bintang Eksklusif Astro Megadrama ini lebih daripada teman baik. Buktinya saat fotografi ini berlangsung jelas terpancar keserasian disulami gelak tawa masing-masing. Usikan antara mereka memecah kedinginan suhu studio NSTP, baik Lisa mahupun Farid sengaja mempersoalkan, bercinta ke mereka?

Menurut Farid, 27, yang baru saja menerima Anugerah Bakat Seni Filem kategori Pelakon menerusi Anugerah Seni Negara, baru-baru ini, selepas berakhirnya episod cinta antaranya dengan Irma Hasmie, dia masih belum bertemu pengganti.

"Tak semudah itu saya mencari pengganti. Bukan bermaksud saya terlalu mengenang cinta dulu, sebaliknya ia lebih kepada persediaan untuk saya meniti kehidupan mendatang. Daripada memikirkan soal cinta, lebih baik saya lengkapkan diri dengan apa juga yang kurang. Soal cinta, biarlah saya berserah kepada Tuhan," kata si pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari ini.

Sebaiknya bukakan ruang fikiran jangan terlalu cepat mengandaikan rona cinta terbit antaranya dengan Lisa. Katanya tanpa berselindung, memang dia begitu rapat dengan Lisa sejak mula digandingkan dalam filem I'm Not Single sejak 2007. Kini, Lisa berlakon pula di bawah arahan Farid sendiri iaitu Remp-It V3.

"Saya memang tidak bercinta dengannya dan belum sampai ke tahap itu lagi. Tapi saya akui pakej yang ada padanya sangat menarik perhatian. Dia (Lisa), perempuan yang baik dan ada masa depan yang cerah di dalam industri seni. Dia cuma perlu sedikit masa dan ruang untuk terus melonjak dan menunjukkan bakatnya.

"Orang cerdik sepertinya boleh cepat tangkap dalam setiap perkara. dia seperti Maya Karin. Saya rapat dengannya sebagai kawan biasa. Dia suka bertanya perihal mengenai industri seni kepada saya," kata Farid yang tahun ini dicalonkan dalam kategori yang sama pada ABPBH 2006 iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular.

Saat yang ditunggu-tunggu selama ini juga sudah menjadi realiti apabila jejaka yang sedang melunaskan baki penggambaran filem Evolusi KL Drift ini mendapat kepercayaan penerbit terkenal, David Teo untuk mengarahkan filem seterusnya terbitan MIG, Remp-It V3. Malah, Farid turut menulis skrip bagi filem itu.

Lalu, ke mana arahnya fokus sebenar lelaki kelahiran Alor Setar ini dalam memenuhi ruang lingkup seni yang diterjahnya sejak tahun 2000? Berpaksi kepada hasrat memajukan industri perfileman negara, Farid mahu mencuba segala cabang seni bersesuaian dengan kelayakan pendidikan formalnya.

"Saya mahu menjadi versatil dan melakukan pelbagai kerja pada satu masa. Ia lebih kepada mencabar diri sendiri. Begitu juga dengan kisahnya apabila saya menandatangani kontrak setahun bersama Astro untuk berlakon drama dan telefilem," katanya serius.

Berbicara lanjut mengenai penyertaannya sebagai Wajah Eksklusif Astro bersama rakannya, Lisa Surihani, Farid berkata, tidak perlu timbul istilah jatuh saham apabila mula beralih arah daripada filem ke drama. Dalam tempoh itu, wajah Farid bagi medium drama atau telefilem hanya boleh disiarkan di Astro, sebaliknya untuk filem, Farid bebas ke mana-mana.

"Ia adalah cabang baru kepada saya. Secara tidak langsung, saya boleh mendekatkan diri dengan penonton TV. Konsep menjadikan selebriti sebagai wajah eksklusif siaran tertentu bukanlah benda baru, malah ia pernah dipraktikkan di negara jiran kita.

"Sebelum ini saya terlalu cenderung ke arah filem, tahun ini mungkin sudah tiba masanya untuk saya membabitkan diri di kaca TV. Sebagai permulaan, drama 3 Janda arahan Joeza akan menjadi pertaruhan lakonannya di Astro," katanya secara peribadi memberitahu kepuasan berlakon lebih kepada filem.

Serasi berkawan dengan Farid

LISA menjelaskan dia serasi berkawan dengan Farid dan hubungan mereka hanya berlandaskan persahabatan. Beralih ke persoalan peribadi, ternyata model salap bibir jenama Lipice ini segan untuk berbicara lanjut.

Katanya peribadi, biarlah terus menjadi peribadi buat sementara waktu dan keutamaan lebih kepada kerjaya seninya.

Berbicara mengenai Farid, Lisa yang sedang mengikuti kursus Sijil Amalan Guaman di Brickfields ini melihat lelaki itu sebagai seorang senior yang berpotensi besar untuk terus menyerlah.

"Dia berada di dalam liganya yang tersendiri. Lisa menghormatinya kerana dia sangat berwawasan dan boleh menggemparkan lagi ramai pihak dengan bakat seninya. Kami senang berkawan dan masing-masing tak lokek berkongsi ilmu untuk manfaat bersama," katanya yang cukup anggun menyarung persalinan couture rekaan Rizman Ruzaini.

Dalam mengejar cita-citanya bergelar peguam, Lisa yang baru menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Abersystwyth, Wales ini tidak menang tangan memenuhi diari hidupnya sebagai pelakon. Rezeki berlakon tak putus-putus berkunjung, hingga membuatkannya berkemungkinan besar menangguhkan peperiksaan yang dirancang untuk didudukinya Julai ini.

"Lisa mahu lulus peperiksaan itu dengan baik, jadi Lisa tak mahu dek komitmen masa yang banyak kepada dunia lakonan merugikan peluang Lisa untuk bergelar menjadi peguam. Biarlah Lisa betul-betul ada masa yang terluang, mungkin ketika itu baru Lisa memikirkan soal peperiksaan.

"Jika boleh, Lisa mahu cemerlang dalam kedua-dua bidang itu. Lakonan yang hanya cuba-cuba pada peringkat awal dulu, kini dilihat mampu memberikan kepuasan yang bukan sedikit. Lisa sudah didedahkan kepada dunia komersial sejak berusia 11 tahun. Undang-undang pula sudah menjadi minat Lisa sejak di bangku sekolah menengah," katanya yang mungkin akan kembali ke bidang guaman suatu masa nanti.

Mengenai pelantikannya sebagai Bintang Eksklusif Astro Megadrama, Lisa melihat ia sebagai peluang untuk terus belajar menjadi pelakon yang lebih bagus mengikuti jejak seperti Erra Fazira dan Aaron Aziz yang terdahulu menyertai stesen TV berbayar itu. Lisa kini sedang menjalani penggambaran drama 3 Janda memegang watak Intan di samping pelakon Rozita Che Wan dan Yana.

Mula berlakon sejak usia 11 tahun, secara teknikalnya nama Lisa mula diperhatikan sejak berlakon filem I'm Not Single dua tahun lalu. Selain filem itu, Lisa sudah berlakon filem Goodbye Boys, Jangan Pandang Belakang Congkak, Cyber X: Ancaman Penggodam, Remp-It V3 dan Kapoww. Berwajah cantik, terbaru ada rakan wartawan mula mempertikaikan cara pemakaiannya yang tidak seiring dengan fizikalnya.

Menerima teguran itu dengan hati yang terbuka, Lisa sedar ada sebab media mengkritik penampilannya. Kata Lisa, dia jenis yang ringkas orangnya dan gemar bergaya sederhana jika tiada sebarang komitmen seni.

"Lisa tak bermaksud nak menimbulkan isu, tapi apa yang terjadi ini akan membuatkan Lisa lebih berhati-hati lagi pada masa mendatang. Lisa ini orang yang ringkas dan bimbang juga tersalah atau berlebih-lebihan dalam bergaya menghadiri sebarang majlis," katanya yang bakal menginjak usia 23 tahun pada 23 Mac ini.

Komen Farid mengenai pencalonannya dalam ABPBH 2008

  • Saya sudah biasa dengan perasaan ini apabila dicalonkan di dalam top 5. Saya bersyukur kerana masih diterima penyokong, malah ini bukti bahawa filem lakonan saya masih ada peminat yang tersendiri yang membuatkan mereka ke pawagam. Sudah tentu saya rasa dihargai dengan pencalonan ini. Menang kalah soal kedua.

    Komen Lisa mengenai pencalonannya di ABPBH 2008

  • Ia adalah satu pengalaman baru buat Lisa kerana Lisa baru pertama kali tersenarai dalam ABPBH. Lisa bersyukur dan melihatnya daripada sudut yang positif. Ia petanda, hasil kerja dan kehadiran kita mula diperhatikan. Ia memberikan tekanan yang positif untuk saya terus melaksanakan tugas sebagai ahli seni dengan lebih baik lagi pada masa mendatang.



    Profil Farid Kamil

    Nama Komersial: Farid Kamil

    Usia: 27 tahun

    Tarikh lahir: 5 Mei 1981

    Asal: Alor Star, Kedah

    Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) di Universiti

    Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

    Filem: Dayang, Chermin, Remp-It, Main-Main Cinta, Anak Mami Kembali, Lady Boss, Cinta Fotokopi, Potret Mistik, Tangkai Jering, Tujuh Perhentian, Hingga Hujung Nyawa, Kuliah Cinta, Cinta Kolestrol, Anak Halal, Apa Kata Hati, Di Kala Malam Bulan Mengambang, Evolusi KL Drift 1 & 2, I'm Not Single, Remp-It V3, Estet, Papadom, Taiko, Lembing Awang Pulang Ke Dayang

    Laman web: Www.mighibur.com





  • Profil Lisa Surihani

    Nama Penuh: Lisa Surihani Mohamed

    Nama Komersial: Lisa Surihani

    Tarikh Lahir: 23 Mac 1986

    Pendidikan: Sarjana Muda Undang-Undang, Kolej Universiti Help

    Filem: Goodbye Boys, I'm Not Single, Kapoww, Jangan Pandang Belakang Congkak, Remp-It V3, Cyber X: Ancaman Penggoda.

    Facebook: Taip saja Lisa Surihani
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: