| BAGI menyiapkan enam babak, ada kalanya tempoh penggambaran boleh mencecah sehingga 14 jam. Walhal selepas melalui proses suntingan, keseluruhan babak yang dipertontonkan hanya makan masa enam hingga tujuh minit daripada durasi 90 minit yang diperuntukkan untuk sebuah telefilem. |
Namun, itulah hakikatnya serta cabaran yang perlu ditempuh 'golongan kreatif' yang terbabit dengan kerja pembikinan drama, telefilem mahupun filem.
Kesempatan mengikuti penggambaran telefilem Ku Mohon terbitan Temenggong Pictures Sdn Bhd baru-baru ini, memberi peluang kepada penulis melihat secara dekat proses pembikinan dilakukan.
Penggambaran dimulakan dari jam 8 pagi hanya bersurai kira-kira 10 malam itu diadakan di Pusat Perubatan Taman Desa (TDMC), Jalan Desa Off Jalan Klang, Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu. Drama arahan Fairuz Loy ini bakal disiarkan menerusi slot Cerekarama di TV3.
Fairuz Loy atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Mansur, 40, mengakui untuk menyudahkan satu-satu babak itu mengambil masa agak panjang kerana ia perlu diambil dari pelbagai sudut untuk mendapatkan visual serta kesinambungan yang menarik.
"Hari ini dan di lokasi ini saja terdapat enam babak yang perlu diselesaikan iaitu babak Julia menemui doktor untuk pengesahan kehamilan, babak ketika kandungannya mengalami komplikasi dan babak suaminya dikejarkan ke hospital kerana kemalangan.
"Turut diadakan, babak pertelagahan antara Julia dan mentuanya, babak ketika Azhar sedang koma serta babak Julia sedang berdoa.
"Untuk menyempurnakan keseluruhan babak, kami memulakan penggambaran sejak 8 pagi dan selesai sekitar jam 10 malam. Pun begitu, pada masa-masa tertentu kru dan pelakon berehat untuk bersarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
"Kerja produksi memang memenatkan. Mana tidaknya, untuk mendapatkan babak menarik walaupun hanya beberapa minit penggambaran lengkap biasanya mengambil masa satu hari," katanya.
Fairuz Loy berkata, Ku Mohon yang dijayakan Fahrin Ahmad, Elaine Daly, Rosnah Mat Aris, Hafizuddin, Abby Abadi dan Mandy Chong adalah drama keluarga yang mengisahkan perjalanan hidup dan kerohanian seorang mualaf bernama Julia Khadijah lakonan Elaine, yang memilih Islam sebagai pegangan hidup.
| |
Julia yang juga peragawati terkenal, diduga dengan hebatnya tetapi semangatnya tidak pernah luntur. Dia terus berpegang teguh kepada agama suci itu.
| |
"Julia mendapat hidayah daripada Ilahi lalu memeluk Islam dengan kerelaan hatinya. Kemudian, ditakdirkan jatuh cinta dengan pemuda Melayu bernama Azhar (Fahrin). Sebagai saudara baru, Julia berharap dapat bergantung kepada suami serta mentua untuk membimbingnya menjadi Muslim sejati.
"Malangnya, Azhar dan keluarga hanya Islam pada nama. Julia pula yang tidak faham kenapa orang Islam sendiri tidak menjalankan tanggungjawab mereka, mula menegur sehingga berlaku persengketaan antara dia dan mentua.
"Azhar yang tewas desakan ibu mula berlaku curang sehingga mengabaikan Julia yang memerlukan bimbingan serta sokongan suami," katanya.
Lazimnya, dalam kebanyakan drama yang mengangkat kisah 'golongan mualaf' ini memaparkan tentangan keluarga hingga dipinggirkan tapi menerusi Ku Mohon, Fairuz cuba lari daripada kebiasaan.
"Menerusi Ku Mohon saya cuba tonjolkan persepsi sebaliknya apabila ibu Julia merayu supaya dia tidak dilupakan sekalipun anak tunggalnya itu memeluk Islam.
"Saya sebenarnya membuat kajian pada era millenium ini ibu bapa semakin terbuka dengan haluan yang dipilih anak. Banyak contoh yang dapat dilihat dan terbukti ramai anak masih mempunyai hubungan baik dengan keluarga walaupun berbeza agama," katanya.
Menumpukan lebih perhatian kepada watak Julia, Fairuz yakin penonton akan bersimpati dan tersentuh dengan nasib wanita itu. Elaine juga banyak menangis dalam drama ini dan watak Julia dijangka memberi perubahan yang besar kepada kerjaya lakonannya. Selama ini orang mengenali Elaine dengan watak biasa misalnya wanita moden dan model.
"Dia sendiri mengakui pada saya watak Julia begitu sukar kerana dia seorang yang sangat payah untuk menangis. Tapi ketika berbincang dengannya, saya minta dia bayangkan kalau ibunya sudah tiada. Saat kesedihan itu dirasai, kami terus memulakan penggambaran," katanya.
Borak Lokasi
TAJUK: Ku Mohon
TERBITAN: Temenggong Pictures Sdn Bhd
PENERBIT: Tengku Noraishah Tengku Abd Aziz
PENERBIT EKSEKUTIF: Mohd Ruslan Osman
PENGARAH: Fairuz Loy
PENOLONG PENGARAH: Hamdan Yassin
SKRIP: Sofea J Rhyland
JURUKAMERA: Kamarul Azhar Mohd Yatim
JURUSOLEK: Mazlan Hashim
PENGURUS PRODUKSI: Zahari Shaari
PROPMASTER: Mohd Kamal Bahrin Mohd Anuar
RUNNER: Wan Ismalle Wan Ahmad
HANDYMAN: Zainal Ahmad
GENRE: Drama Berat/Dakwah Keislaman
SIARAN: TV3, Slot Cerekarama
PELAKON: Fahrin Ahmad, Elaine Daly, Rosnah Mat Aris, Hafizuddin, Abby Abadi, Mandy Chong
aper tajuk lagu yang ada dalam cerita ini.... saya suka dengan lagu-lagu dalam cerita ini tapi tak tahu tajuk...
ReplyDeletetolong bagitahu saya tajuk lagu-lagu di dalam drama ini?.
ReplyDeleteya, tolong bagi tajuk lagu2 dalam drama ni?
ReplyDeletetau satu je.. dr dygta tajuk karna ku sayang kamu
ReplyDelete