| TRANSFORMASI sedang berlaku dalam Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7) apabila nama 20 calon pelajar diumumkan terlebih dulu sebelum identiti Pengetua didedahkan kepada umum. |
Program terbitan Astro dan berjaya mencipta fenomena itu sengaja membiarkan peminat terus berteka-teki mengenai identiti Pengetua AF7 kerana melihatnya sebagai satu tarikan dan kejutan. Sejak sebulan lalu, media membuat pelbagai spekulasi dan ramalan siapakah bakal pengetua AF7.
Antara nama-nama yang disebut ialah Datuk Sheila Majid dan Anita Sarawak malah ramai yakin tahun ini Astro melantik pengetua wanita selepas diterajui Freddie Fernandez, Ramli MS, M Nasir, Roslan Aziz dan Ramli Sarip.
Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata, Astro melihat situasi itu sebagai satu publisiti berterusan yang dapat menghangatkan lagi musim baru AF.
“Ikut perancangan asal, Pengetua AF7 sepatutnya diperkenalkan serentak dengan peserta. Bagaimanapun, kami mengubah fikiran dan mengambil keputusan mendedahkan identitinya selepas ini,” katanya ketika sidang media memperkenalkan 20 pelajar AF7, kelmarin.
Pelajar AF7 terdiri daripada 10 wanita dan 10 lelaki. Mereka ialah Amim (Abdul Hamim Haji Suleiman, 21, Johor Bahru, Johor), AB (Abraham Edwin Dungot, 26, Ranau, Sabah), Akim (Afiq Hakim Ahmad, 18, Johor Bahru, Johor), Obri (Ahmad Sobri Hasmuni, 24, Johor Bahru, Johor), Kelana (Kelana Ayu, 40, Bintulu, Sarawak), Aril (Khairil Azam Pilus, 24, Kuala Lumpur), Hafiz (Mohd. Hafiz Mohd Suip, 19, Kuching, Sarawak), Qhaud (Mohd Qhauhd Abdul Rashid, 25, Selangor), Sidi (Mohd. Rashidi Mohamad Isa, 27, Ipoh, Perak) dan Yazid (Mohd. Yazid Ibrahim, 22, Johor Bahru, Johor).
Turut tersenarai Faezah (Alpaezah Manaf, 20, Keningau, Sabah), Cabby (Cabrine Blaire Bernard Solibun, 20, Kota Kinabalu, Sabah), Claudia (Claudia Fay Geres, 24, Kuching, Sarawak), Isma (Ismaliza Ismail, 30, Kuala Lumpur), Lizda (Lizda Nuryanti Abidin, 27, Tawau, Sabah), Adila (Nas Adila Mohd Dan, 23, Johor Bahru, Johor), Zizi (Nur Fazelah @ Zizie Mohd Tahil, 24), Rubisa (Rubisa Tiasin; 23, Kota Marudu, Sabah), Aishah (Siti Aishah Bujang, 18, Kuching, Sarawak) dan Rini (Zuzafrini binti Zulkifli, 26, Kajang, Selangor).
Menariknya AF7 kali ini, segelintir daripada peserta mempunyai talian persaudaraan dengan artis tempatan, pernah menyertai program realiti anjuran stesen TV lain serta pernah merakamkan album.
Jika Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 24, berjuang untuk merebut RM1 juta yang ditawarkan dalam pertandingan One In A Million musim ketiga (OIAM3), kakaknya, Ismaliza Ismail (Isma), 30, pula tersenarai dalam kelompok 20 terbaik peserta AF7.
Bagaimanapun, kedudukan Isma juga isteri penyanyi Zul 2 By 2 sebagai pelajar program realiti itu masih samar kerana terdapat satu lagi peringkat saringan untuk memilih peserta terbaik yang akan diumumkan melalui Tirai AF7 pada Sabtu dan Ahad ini.
| |
Seorang lagi peserta yang mempunyai pertalian saudara dengan artis tempatan adalah Khairil Azam Pilus, 23, iaitu adik penyanyi popular dengan lagu Indah Lelapku, Izwan Pilus.
| |
Khairil Azam bertugas sebagai Pereka Grafik pernah menyertai program pencarian kumpulan terhebat, Gang Starz terbitan TV3 bersama kumpulannya 1st Edition berkata, dia ingin dikenali sebagai Aril menerusi AF7.
Berbeza dengan Isma dan Azam, Lizda Nuryanti Abidin, 27, pula adalah isteri pelakon dan usahawan, Ezany Nizariff, yang kini popular menerusi drama Anak Betung.
Kemunculan penyanyi remaja Nas Adila Mohd Dan, 23, dalam kelompok peserta mengejutkan ramai pihak kerana statusnya sebagai artis selain pernah merakam tiga album. Begitu juga Abraham Edwin Dungot, 26 dan Rubisa Tiasin, 23 yang pernah menyertai OIAM2 musim kedua dan My Starz LG musim pertama.
Khairul Mizan berkata, terdapat satu lagi peringkat saringan sebelum melangkah masuk kediaman rasmi AF7 yang mana mutlaknya bakal diketahui Sabtu dan Ahad ini.
“Sebanyak 20 calon pelajar dimestikan menyertai Minggu Orientasi & Kem Muzikal (MOKM) meliputi pelbagai kelas bimbingan dan ujian kelayakan seperti vokal (teknik), vokal (persembahan), tarian, lakonan dan pelbagai lagi selama 6 hari bermula 1 hingga 6 Mac.
“Hanya pelajar yang memberi persembahan keseluruhan terbaik akan diserapkan ke dalam akademi dan keputusannya akan diumumkan pada program Tirai Akademi Fantasia 7.
“Berapa ramai yang akan terpilih, belum dapat dipastikan kerana saingan terlalu kuat. Mungkin 10, 12 atau 14 bergantung pada kesungguhan dan kebolehan ditonjolkan peserta ketika menjalani orientasi,” katanya.
Untuk pencarian bakat AF7, empat kota dijelajahi iaitu Kuala Lumpur, Johor Bharu, Sabah dan Sarawak. Penjelajahan ini cukup membanggakan Astro apabila menerima 9,000 penyertaan dan ia rekod tertinggi dicatatkan setakat ini.
“AF7 menyuntik elemen perubahan dengan menjemput golongan artis serta warganegara Singapura untuk menyertai pertandingan realiti nyanyian di samping mengekalkan had umur 18 hingga 45 tahun.
“Tujuannya untuk memperluaskan lagi jenama serta pengaruh AF7 disamping memberi peluang kepada artis tempatan berbakat tetapi tidak begitu menyerlah. Kini mereka boleh menggunakan ‘platform’ AF sebagai medan membuktikan kemampuan.
“Bagaimanapun, setiap keputusan juri akhirnya akan berpihak kepada peserta yang benar-benar layak. Untuk tahun ini, kami juga tidak mengenakan sebarang kuota pada mana-mana negeri sebaliknya memilih yang terbaik serta menepati kriteria. Sebab itulah ramai peserta dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: