Thursday, March 5, 2009

Borak Lokasi: Fahrin bukan lagi lelaki baik


SINONIM dengan watak lelaki budiman, Fahrin Ahmad, 32, akhirnya keluar dari zon selesa apabila memilih watak bertentangan karakter yang dimainkan selama ini.

Azhar satu watak yang memerlukan jejaka kacak ini menjadi manusia jahil, suami curang dan mengabaikan tanggungjawab kepada isteri yang baru saja mengenali Islam.

"Ia satu watak yang agak negatif. Azhar mengahwini wanita dicintainya iaitu Julia Khadijah yang memeluk Islam atas kerelaan sendiri.

"Namun, Azhar dan keluarga tidak mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka walaupun dilahirkan sebagai Muslim. Justeru, Julia mendalami dan membina kepercayaan terhadap agama suci itu tanpa sokongan Azhar atau mentuanya.

"Azhar terus hanyut dengan dunia khayalannya sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap Julia sebelum musibah yang datang menyedarkan Azhar," katanya.

Fahrin berkata, dia tertarik untuk membintangi drama ini bukan kerana watak semata-mata sebaliknya tertawan dengan keseluruhan jalan cerita.

"Seseorang yang mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap Yang Maha Esa, tawakal dan reda, kehidupannya pasti berkesudahan dengan baik.

"Itulah yang cuba ditonjolkan telefilem Ku Mohon. Setiap hari Julia tidak pernah putus berdoa dan percaya Allah supaya sentiasa mendengar dan ada untuk membantunya.

"Drama ini menyelitkan iktibar bukan saja kepada saudara baru bahkan mereka yang dilahirkan Islam sendiri perlu percaya ketentuan-Nya, sentiasa berdoa dan sabar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: