Wednesday, March 4, 2009

Peluang rebut RM50,000


MEREKA yang berbakat boleh merebut peluang menyertai pertandingan Drama Sebabak Edisi Khas anjuran radio Era dengan tawaran hadiah lumayan RM50,000.

Sepanjang dua minggu bermula 2 Mac lalu, peraduan mencari pelakon radio itu berlangsung setiap pagi menerusi program Pagi Era bersama penyampai Aznil Nawawi dan Din Beramboi. Pendengar dikehendaki menghubungi dua penyampai popular ini apabila mendengar isyarat ditetapkan.

Pemanggil terpilih perlu berlakon bersama Din Beramboi dalam sketsa ala sebuah drama radio. Aznil pula berperanan sebagai pengarah. Seorang pemanggil yang memberikan lakonan paling menarik dan berkesan akan dipilih melalui undian SMS pendengar pada setiap hari.

Undian boleh dibuat dengan menaip DSNama Peserta dan hantarkan ke 32555 untuk menentukan peserta yang layak menjadi pemenang harian. Sepuluh pemenang harian berpeluang ke peringkat akhir drama sebabak bertempat di Maju Junction, Kuala Lumpur pada 14 Mac ini.

Mereka dikehendaki membuat persembahan secara langsung di hadapan barisan juri profesional terdiri daripada selebriti terkenal tanah air, Norman KRU dan Saiful Apek. Juara bakal membawa pulang RM30,000, naib juara (RM10,000) sementara lapan finalis RM1,000 setiap seorang.

Pengurus Rancangan Era, Nazri Noran berkata, program itu satu daripada segmen drama radio yang diketengahkan Aznil dan Din Beramboi, gandingan baru slot sarapan Era yang kini dikenali sebagai Aznil Riuhkan Pagi Era bersama Din Beramboi.

Katanya, sejak diperkenalkan Januari lalu, segmen itu antara yang paling popular hingga memberi idea kepada pihaknya untuk mengadakan edisi khas untuk memberi peluang kepada mereka menang hadiah lebih besar.

“Selain RM30,000, pemenang utama dihadiahkan trofi Pelakon Terbaik serta diberi peluang membuat penampilan istimewa dalam filem terbitan KRU Films yang akan memulakan penggambaran pertengahan tahun ini,” katanya.

Pendengar yang ingin mengambil bahagian tetapi mungkin tidak berjaya membuat panggilan ke konti sewaktu rancangan Pagi Era masih boleh menelefon talian 03-95433355 dari 10 pagi hingga 8 malam untuk sesi uji bakat. Mereka yang menjalani uji bakat akan mendapat album Drama Sebabak eksklusif serta kemeja-t Riuh Pagi Era. Jika bertuah, Aznil dan Din Beramboi akan menghubungi mereka pada pagi berikutnya untuk menjadi peserta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: