Wednesday, March 4, 2009

Bantu artis, ahli sukan


MISI penganjuran Pertandingan Golf Amal Selebriti - Tropicana 2009 untuk membantu mengurangkan beban golongan artis dan ahli sukan tanah air yang memerlukan bantuan ketika dalam kesusahan.

Program itu anjuran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) dengan kerjasama Kelab Golf Selebriti Malaysia akan berlangsung pada 14 Mac ini di Tropicana Golf & Country Resort.

Kira-kira 200 personaliti terkenal tanah air dijangka mengambil bahagian membabitkan pelakon, penyanyi dan ahli sukan.

Antara artis popular yang mengambil bahagian ialah M Nasir, Hattan, Datuk Rahim Razali, Hans Isaac, Nancie Foo dan Ning Baizura Manakala ahli sukan ialah Azlisham Ibrahim, Khalid Ali dan Azlan Johar.

Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Manja Ismail berkata, pertandingan itu untuk merancakkan lagi penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 12 April nanti.

"ABPBH bukan acara hiburan semata-mata tetapi penganjuran acara berprestij ini turut menjadi platform amal. Terdahulu, ABPBH menganjurkan ABPBH 2008 Untuk Gaza dianjurkan dengan jayanya penghujung Januari lalu.

"Ramai berpendapat ABPBH hanyalah acara glamor untuk mengiktiraf sumbangan penggiat seni tetapi tahun ini, kita menggunakan nama ABPBH untuk tujuan amal.

"Kutipan yang dikumpul akan disalurkan kepada artis dan ahli sukan yang memerlukan bantuan," katanya ketika sidang media pertandingan golf amal ini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, Pengurus Besar Tropicana Golf & Country Resort, Herman Tan, Presiden Jomstar.Com, Datuk Shafik Rizaal Saaban dan Pengerusi Pertandingan Golf Amal Selebriti - Tropicana 2009, Tengku Datuk Anuar Mussaddad.

Sementara itu Tengku Anuar berkata, pertandingan amal ini mensasarkan kutipan RM100,000 bagi membantu artis dan ahli sukan yang memerlukan.



"Idea ini dicetuskan artis dan ahli sukan sejak sebulan lalu dan dijadikan pemangkin untuk menyerlahkan nama Kelab Golf Selebriti.

"Inisiatif mengadakan pertandingan ini daripada artis, selebriti sukan dan ahli korporat yang mencadangkan supaya diadakan aktiviti berkaitan golf bagi mengumpul dana untuk mereka yang memerlukan bantuan kewangan.

"Dana yang akan dikumpul menerusi pertandingan golf itu nanti akan disalurkan kepada artis serta ahli sukan yang memerlukan sama ada untuk bantuan perubatan atau pendidikan," katanya.

Tambahnya lagi, pertandingan ini buat julung kalinya juga menyaksikan artis dan ahli sukan beraksi di gelanggang yang sama.

"Justeru, pihak kami menyeru golongan korporat supaya dapat sama-sama menyertai pertandingan ini sambil beramal," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: