Thursday, March 5, 2009

Orang kampung sokong AKOK'09


DI SAMPING berhibur, program Apa Khabar Orang Kampung 2009 (AKOK'09) juga padat dengan pengisian ilmiah dan bermaklumat. Justeru, usaha TV9 untuk mendekati masyarakat dan penduduk di destinasi Kampung Tanjung Chenak, Pasir Mas, Kelantan pada 27 dan 28 Februari lalu dilihat berjaya apabila tapak acara padang sentiasa dipenuhi penduduk.

Bukan itu saja, kebanjiran pengunjung menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang tiga kilometer hingga menyukarkan kenderaan keluar masuk. Rakaman rancangan Halaqah diacarakan Ustaz Ahmad Shukri Yusoff, turut menjadi tumpuan apabila penduduk terpaksa duduk atas padang untuk mendengar hujah panel jemputan.

Apa Khabar Orang Kampung (AKOK) anjuran TV9 dibawakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) selaku penaja utama dan Hotlink penaja bersama turut menerima kunjungan menterinya,, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Hadir sama, Ketua Zon Pantai Timur, Maxis Communications, Mazlan Mokhtar dan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.

Bukhari berkata, kunjungan AKOK ke Kampung Tanjung Chenak itu didorong kemeriahan sambutan terdahulu sekali gus membuktikan penduduk kampung itu menyokong usaha semua pihak untuk mewujudkan masyarakat bekerjasama dan saling bantu membantu.

"Pelbagai aktiviti menarik dijalankan untuk mengeratkan hubungan mesra antara penduduk desa, warga kerja TV9 dan pihak kementerian.

"Aktiviti gotong-royong seperti memasak, membersihkan kawasan persekitaran kampung, pertandingan sukan seperti bola jaring, futsal dan banyak lagi mendapat sambutan cukup baik.

"Tidak ketinggalan, aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah, tazkirah, ceramah motivasi, kuliah subuh, sumbangan kemasyarakatan, serta pameran-pameran produk, dianjurkan khas buat penduduk seiring dengan misi TV9 yang mementingkan pembangunan rohani masyarakat dan kemajuan masa kini," katanya.

Program turut berlangsung sehingga malam apabila penduduk dapat menyaksikan rakaman Halaqah. Kali ini program berkenaan menampilkan dua panel berpengalaman, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz selaku pendakwah dan Ustaz Badli Shah Alauddin selaku Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Jaip.

Tajuk dipilih, Duduk Elok-elok menekankan perhubungan persaudaraan yang harus sentiasa dipelihara. Namun apa yang berlaku hari ini, keretakan dan perpecahan antara umat menyebabkan timbulnya isu berpuak-puak dan bermusuh-musuhan. Untuk mengetahui kupasan selanjutnya, saksikan Halaqah setiap Ahad jam 9.30 malam.



Turut menjadi tarikan utama adalah rancangan bual bicara TV9, Nasi Lemak kopi O dihoskan Aziz Desa, Mek Nik Sayyidah, Farrah Adeeba, Norazean dan Norazura Abu Samah yang pasti membuka mata penonton dan mengajak penduduk kampung turun padang. Rancangan bual bicara ini disiarkan secara langsung jam 8 pagi.

Sebagai penutup tirai, satu mini konsert diadakan dengan penampilan artis terkenal tanah air seperti Akbar, Aiman, Mirwana, D'Putra dan dihoskan Nik Sayyidah dan Mohd Shahrizal.

Penduduk setempat berpeluang mempamerkan barang hasil kerja tangan mereka seperti batik, kerepek, tudung saji, tembikar dan batu bata untuk dikongsi bersama pengunjung. Secara tidak langsung, ia dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk dan menaikkan nama kampung mereka di mata masyarakat dalam usaha membangunkan ekonomi mereka.

AKOK'09 akan menjelajah enam lagi lokasi di Kota Tinggi, Johor pada 21 dan 22 Mac, Perak (16 dan 17 Mei), Pahang (20 dan 21 Jun), Kedah (15 dan 16 Ogos), Terengganu (4 dan 5 September) serta Pulau Pinang (10 dan 11 Oktober).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: