Thursday, March 5, 2009

Balkish pergi dulu


AJAL maut, ketentuan Tuhan. Sebagai manusia, hanya mampu reda menerima suratan takdir. Begitulah yang dialami seniwati Azean Irdawaty Yusoef, 59, yang kehilangan adik tersayang, Balkish, Selasa lalu. Justeru, Azean tidak menyangka adiknya 'pergi' begitu awal.

Hakikatnya, dia yang giat berjuang melawan penyakit barah payu dara yang dihidapi sejak hampir dua tahun lalu. Seorang lagi adiknya, Shahrezad juga menghidap barah. Namun, Tuhan lebih menyayangi Balkish dan 'menjemputnya' dulu.

Menceritakan mengenai Allahyarham adiknya yang berusia 43 tahun itu, Azean dalam nada sebak memaklumkan arwah yang masih bujang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana menghidap penyakit jantung dan darah tinggi.

"Kak Yan reda dengan pemergiannya tetapi terkilan apabila mengenangkan dia bujang. Kasihan padanya (arwah) kerana kami adik-beradik lain, semuanya sudah ada keluarga sendiri. Malah, pemergiannya pun bagi Kak Yan terlalu mengejut.

"Tidak sangka, arwah yang 'dijemput' dulu walaupun jika diikutkan, Kak Yan, Shahrezad dan seorang adik, Malek yang sakit teruk. Kami sering keluar masuk hospital untuk rawatan tetapi kesudahannya Balkish yang meninggalkan kami," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Azean, arwah adiknya dimasukkan ke PPUM Isnin lalu dan keadaannya terus nazak. Katanya, arwah koma dan sepatutnya dia datang melawat semula pada jam 8 pagi kelmarin. Sayangnya, pada waktu Subuh Selasa lalu, Balkish menghembuskan nafas terakhir.

"Kami adik-beradik mengusukan jenazahnya dan arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur selepas Zuhur. Apapun, arwah sempat meraikan hari jadi Kak Yan pada 27 Februari lalu dengan menghadiahkan dua patung burung.

"Itulah hadiah terakhir daripadanya dan arwah memang seorang yang baik. Setiap tahun, dia (arwah) pasti tidak pernah lupa meraikan hari jadi adik-beradik termasuk anak saudara dengan pemberian hadiah. Ia memang sudah menjadi rutin," katanya.

Ditanya mengenai perubahan kesihatan Allahyarham, Azean berkata dua minggu lalu arwah sering muntah-muntah. Bahkan, minum pun dia muntah. Katanya, mereka sebenarnya selalu bertanya khabar masing-masing menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Apapun kata Azean, dia mendoakan arwah adiknya itu dijadikan Tuhan 'bidadari'. Ini kerana hatinya cukup tersentuh malam kelmarin ketika mengadakan majlis tahlil untuk arwah apabila melihat langit malam yang dipenuhi dengan cahaya kerdipan bintang.



Mengenai perkembangan dirinya kini, Azean tanpa berselindung memberitahu dari segi fizikalnya boleh dikatakan makin beransur pulih. Namun, untuk kepastian dia sembuh sepenuhnya daripada barah mengambil masa lima tahun.

"Sekarang ini setiap empat bulan sekali, Kak Yan akan ke hospital untuk pemeriksaan dan scan (imbasan). Tetapi, potensi untuk penyakit ini menyerang semula memang ada kerana doktor mengesahkan jenis barah dihidap Kak Yan, CERB 2 positif adalah sangat agresif.

"Ia boleh muncul bila-bila masa. Sebab itu, pada September tahun lalu Kak Yan kena buat kimoterapi semula sebab dia menyerang hati dan paru-paru. Apapun, Kak Yan pasrah dengan suratan hidup ini. Kini, Kak Yan lebih tenang dan dekat dengan Tuhan.

"Sekalipun peminat merindukan Kak Yan berlakon semula tetapi pada diri ini tiada sedikit pun perasaan rindu. Pada Kak Yan, kalau Tuhan kata memang boleh berlakon lagi, mungkinlah. Namun, jika tidak, Kak Yan terima yang rezeki berlakon setakat itu," katanya.

Menyentuh soal tawaran, Azean berkata, masih terima tawaran berlakon tetapi buat masa ini dia tidak boleh melakukannya kerana berlakon menuntut masa yang lama. Dari siang hingga malam dan membawa ke pagi menyebabkan Azean tidak mampu melakukannya.

"Biarlah buat masa ini Kak Yan berehat. Lagipun, fizikal Kak Yan makin pulih dan tenaga kian bertambah. Kak Yan sekarang sudah boleh buat kerja rumah seperti memasak, menyiram pokok bunga dan sikit-sikit sapu sampah.

Malah, Kak Yan pun cuba kurangkan berkerusi roda," katanya.

Pada Ahad lalu, kak Yan dan suami, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi hadir menyaksikan Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya (IB) atas undangan Datuk Aziz Bakar sebagai hadiah hari lahirnya. Namun, esoknya (Isnin), arwah adik Kak Yan dimasukkan ke hospital.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: