Thursday, March 5, 2009

Nasir lupa judul drama


MUNGKIN tidak banyak publisiti membabitkan pelakon Nasir Bilal Khan sama ada di akhbar mahupun majalah. Namun, Nasir, 46, tetap menjadi pilihan pengarah dan penerbit tempatan untuk beraksi dalam drama mereka dari dulu sampai sekarang.

Malah, sudah ratusan drama termasuk beberapa filem dilakonkan sepanjang pembabitannya lebih 25 tahun dalam bidang lakonan.

Nasir popular menerusi filem Perempuan, Isteri dan... bersama Sofia Jane, mengakui sudah lupa judul drama yang dilakonkan sebelum ini kerana banyak sangat.

"Antara drama terbaru, bersama pelakon Vanidah Imran arahan pengarah Rashid Sibir untuk TV3. Itupun saya sudah lupa judulnya," katanya.

Dalam pertemuan dengannya di lokasi penggambaran drama bersiri Kejar arahan Bade Azmi di Seri Kembangan baru-baru ini, Nasir sudi berkongsi rahsianya mampu bertahan sebagai anak seni sampai sekarang.

"Sebenarnya, berlakon adalah satu tanggungjawab kepada masyarakat kerana bagi saya, drama adalah santapan rohani kepada masyarakat. Ia sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mendidik masyarakat menerusi lakonan.

"Ada orang berlakon untuk suka-suka sebaliknya saya berlakon dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Apa yang penting, hasil kerja saya itu diterima dengan baik oleh masyarakat.

"Saya berlakon kerana minat dan berlakon juga profesion yang sangat menarik kerana saya berpeluang menjadi pelbagai karakter yang orang biasa tidak dapat lakukan.

"Watak ditawarkan pada saya juga pelik-pelik kerana pengarah fikir hanya saya boleh bawa watak sedemikian," katanya.

Antara drama yang paling meninggalkan kesan pada dirinya ialah Pinggiran arahan Ismail Yaakob dan Cinta Si Penggali Kubur bergandingan dengan pelakon Sheila Rusly.



"Dalam Pinggiran, saya berganding dengan Ida Nerina. Saya bawa watak orang buta dan Ida pula bawa watak gadis pekak. Banyak mesej mendalam tersirat dalam drama ini yang boleh memberi pengajaran berguna kepada masyarakat.

"Selain itu, watak sebagai penggali kubur dalam Cinta Si Penggali Kubur antara satu lagi karakter menarik yang meninggalkan kesan dalam diri saya," katanya.

Bersandarkan pengalaman yang ada, Nasir berkata, dia juga bertuah kerana mendapat semua watak yang didamkan sebagai pelakon.

Katanya, dia dan pengarah saling memahami kemahuan masin-masing.

"Setakat ini, watak yang ditawarkan juga menepati kehendak saya. Selagi tidak dapat skrip yang bagus, saya tidak akan terbabit dalam sesebuah projek drama, filem mahupun teater.

"Terus terang, saya jarang jumpa skrip yang bagus ketika ini dan kalau jumpa yang bagus pun, keadaan pula tidak mengizinkan saya merealisasikan projek itu," katanya.

Sekalipun banyak berlakon drama, Nasir yang seangkatan dengan Sidi Oraza dan Shaharudin Thamby berkata, beraksi di pentas teater lebih memberi kepuasan padanya sebagai anak seni.

"Penggambaran drama perlu disiapkan dalam waktu yang cepat kerana mengejar waktu siaran di televisyen. Idea memang menarik tapi ia tidak dapat direalisasikan seperti dikehendaki pelakon. Malah, saya banyak buat drama kerana ingin menolong kawan-kawan.

"Skrip teater pula lebih menepati kehendak saya dan saya lebih puas berkarya. Sebab itu, saya berasa lebih puas beraksi di pentas teater berbanding drama. Malah, saya pernah terfikir ingin bersara kerana berasa perjuangan saya sebagai anak seni seolah-olah tidak dihargai," katanya.

Mengenai rumah tangganya, selepas bercerai dengan pelakon Azizah Mahzan, Nasir berkahwin buat kali kedua dengan Umi Kalsom Majid.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tiga anak yang semakin membesar, Mohd Naqib Nasirudin, 14; Mohd Akhalil Aizudin, 12 dan Nur Alia Maisara, 10 tahun.

Bagaimanapun, tambah Nasir, tiga anaknya itu lebih cenderung memilih bidang keagamaan berbanding lakonan.

"Saya juga menghantar mereka ke sekolah agama (pondok) dan impian saya untuk melihat mereka menjadi ulama bila dewasa nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: