Thursday, March 5, 2009

'Kalau kahwin, saya mengaku!'Rozita Che Wan


WALAUPUN hubungan mesra yang terjalin antara Rozita Che Wan, 36, dan Zizan Nin, 35, seketika cuma, tiada benci di hati masing-masing. Sekalipun hubungan itu sudah berakhir, mereka kekal sebagai kawan.

Ketika ikatan persahabatan masih erat, Rozita sempat menghadiahkan tiga pasang baju Melayu kepada Zizan. namun apabila ditanya, pantas janda lawa itu menjawab mereka hanya berkawan. Selepas beberapa ketika khabarnya tiada lagi hubungan mesra antara mereka.

Sejak itu agak lama mereka tidak bertemu hatta pada majlis hiburan sekali pun. Sekian lama tidak berjumpa dan bertanya khabar, pasangan sama cantik sama padan itu dipertemukan pada majlis Anugerah Filem Pendek Astro Kirana 08/09 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, bagi mengumumkan satu kategori dipertandingkan.

Pun begitu, mereka berdua kelihatan kekok di pentas dan tiada terdengar dialog dari mulut masing-masing bertanya khabar dan sebagainya. Mereka bagaikan 'orang lain' yang tidak pernah kenal sebelum ini. Terus saja pada malam itu Zizan mengumumkan nama pemenang. Cerita ini dipaparkan dalam ruangan Soseh-soseh, semalam.

Menjelaskan perkara itu, Rozita menafikan tidak selesa digandingkan bersama Zizan. Bahkan katanya, hubungan mereka baik walaupun tidak berjumpa sejak penghujung 2007.

"Apabila dijemput ke majlis anugerah itu, saya tidak tahu akan digandingkan dengan siapa dan tidak bertanya kerana saya tiada masalah digandingkan dengan mana-mana artis atau karyawan seni. Selepas diberitahu pasangan saya malam itu adalah Zizan, saya tidak pula menolak.

"Malah sebaik Zizan tiba ke majlis itu, dia duduk di sebelah saya. Tiada sebab untuk kami bermusuh kerana dulu pun kami cuma kawan. Sebelum ke pentas, Zizan bagi cadangan tidak perlu berceloteh panjang sebaliknya terus umumkan pemenang.

"Memang kami lama tidak berjumpa dan telefon pun tidak tetapi masih berkawan dan tiada apa yang hendak digaduhkan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaru lakonannya, 3 Janda.

Rozita yang kelihatan semakin langsing dan bergaya, nyata bukan saja menjadi perhatian pengarah serta produser untuk menjayakan drama dan filem hingga membintangi lebih 100 drama.

Malah sepanjang tiga tahun membabitkan diri dalam dunia lakonan, ibu tunggal dua anak ini sering menjadi mangsa gosip dan acap kali dikatakan berkawan malah berkahwin dengan lelaki berstatus VIP.



Terbaru, Rozita dikatakan menikah di luar negara dengan seorang VIP yang sudah beristeri. Seperti biasa, kakak kepada pelakon Ayu Raudhah ini tenang setiap kali dikaitkan dengan gosip panas.

"Buat apa saya hendak melenting tidak tentu pasal dengan cerita seperti itu dan saya tidak perlu takut dengan sesiapa. Kenyataannya, saya tidak berkawan atau berkahwin dengan mana-mana Tan Sri atau Datuk.

"Kelakarnya, ada sesetengah VIP yang digosipkan itu saya tidak kenal langsung. Bertemu muka pun tak pernah jadi macam mana timbul cerita saya berkahwin?

"Kalau sudah berkahwin, tidak payahlah saya berlakon siang malam. Apabila saya cakap macam itu, ada pula kata saya berlakon untuk mengaburi mata masyarakat. Jika benar berkahwin, saya akan mengaku kerana saya perlu jaga maruah diri dan keluarga. Mungkin ada sesetengah watak tidak lagi sesuai dengan saya kalau sudah berstatus isteri.

"Mengenai gosip terbaru kononnya saya berkahwin dengan Datuk Q di London, saya dengar isterinya mengamuk. Macam manalah saya hendak berkahwin dengan suaminya kerana belum pernah sekali pun saya berjumpa Datuk Q.

"Sebelum itu saya dikatakan berkahwin dengan Tan Sri C. Sampaikan ada orang beritahu saya supaya berhati-hati kerana isterinya hendak hantar orang pukul saya.

"Setiap kali ada VIP yang dengarnya akan berkahwin atau hendak berkahwin lagi, pasti orang kaitkan dengan saya. Tetapi saya tidak pernah ambil serius perkara itu dan tak takut pun dengan mana-mana isteri VIP kerana saya tidak pernah kenal suami mereka.

"Saya tahu kononnya saya menikah dengan Datuk Q di London pun apabila wartawan bertanya kesahihan perkhabaran itu. Adakala saya bergurau dengan wartawan dengan bertanya selepas ini saya hendak dijodohkan dengan VIP mana pula? Hakikatnya saya masih tak 'laku' juga," katanya sambil ketawa.

Tahun ini usia Rozita menjangkau 36 tahun dan jika terbuka pintu hatinya hendak berkahwin lagi dia mahu mencari jodoh dalam kalangan lelaki biasa tetapi bukan orang muda atau terlalu tua.

"Lelaki muda tak sesuai dengan saya. Lelaki yang berusia pula, umurnya jangan lebih daripada 45 tahun. Saya jadi cerewet kerana dah lama hidup tanpa suami. Sebenarnya saya selesa dengan keadaan sekarang. Tiada yang mengongkong dan tak ada orang sakiti hati. Kalau saya berkahwin semula, ada hati yang perlu dijaga.

"Tetapi kalau ada jodoh, saya tidak akan menolak ketentuan Allah namun biarlah lelaki itu bujang. Jika ditakdirkan menjadi isteri kedua atau ketiga, saya tetap akan beritahu sudah berkahwin cuma dirahsiakan identiti suami demi menjaga hati pihak lain.

"Anak tak kisah, mereka faham keadaan saya yang selalu menjadi mangsa gosip dan mereka juga tak kisah saya hendak kahwin dengan siapa," katanya.

Wajah jelita dan personaliti menarik Rozita berjaya memancing minat Avon Kosmetik melamarnya menjadi duta Avon Jewellery selama setahun. Dia juga menjadi duta Garnier untuk tiga tahun.

Rozita juga menafikan meletak bayaran tinggi untuk membintangi filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak iaitu sebanyak RM50,000 untuk beberapa babak saja.

"Saya tak tahu menahu pun pasal bayaran kerana sejak awal saya beritahu pihak produksi filem itu tidak boleh terima tawaran mereka kerana pada masa sama ada projek lain. Memang saya pergi pelancaran filem itu untuk memberi sokongan.

"Mei ini saya akan berlakon filem arahan Dr Hatta Azad Khan berjudul Aman dengan Eman Manan. Kami sebagai suami isteri. Ia cerita kelakar dan harap kami berdua ada keserasian," katanya.

Sebelum ini, Rozita pernah tampil dalam filem Misteri Balan Balan, Jangan Tegur, Kantoi dan Sifu & Tonga namun Misteri Balan Balan sehingga kini belum ditayangkan.

Menerusi drama 3 Janda arahan Nor Juaza Rasidi (Joeza) dia ditemukan dengan pelakon muda, Lisa Surihani dan Norliana Samsudin (Yana) sebagai adik-beradik dan ketiga-tiganya janda. Penggambaran drama itu bermula hari ini (5 Mac) di kawasan perumahan Ukay Perdana, Ampang.

Berlakon sama, Awal Ashaari, Farid Kamil Zahari, Ridzuan Hashim dan Khaty Fauziah. Drama itu akan ditayangkan di Astro Prima, mulai 22 April ini, setiap Rabu jam 10 malam. 3 Janda menggantikan Mentua Vs Menantu yang bakal disambung untuk musim kedua selepas Erra Fariza melahirkan anak sulung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: