Friday, March 13, 2009

Menjiwai riwayat Rasulullah


LAKONAN Rebecca Nur Islam sebagai Hendon berjaya mencuri tumpuan penonton.


SEJARAH ulung perjuangan rasul junjungan Muhammad s.a.w. dalam menyebar dan menegakkan syiar Islam memang tiada tolok bandingnya.

Ketokohan baginda sebagai pemimpin Islam terunggul sehingga berjaya membawa pelbagai perubahan besar kepada masyarakat Islam dunia sehingga kini tiada galang gantinya.

Keperibadian baginda yang sarat dengan sifat sabar, penyayang dan pelbagai sifat terpuji lainnya sedikit demi sedikit meruntuhkan benteng kejahilan dan kedegilan masyarakat Arab Quraisy yang terang-terangan begitu taksub menyembah berhala dan menentang penyebaran Islam di zaman kesesatan itu.

Membawa rahmat ke seluruh alam, pada usia 40 tahun, ketika di Gua Hira baginda didatangi malaikat Jibril yang membawa utusan Allah menyampaikan wahyu pertama dan daripada situ bermulalah episod kerasulan baginda sebagai nabi terakhir.

Kisah perjuangan dan riwayat hidup baginda wajar dijadikan tauladan dan penghayatan khusus bagi segenap lapisan umat Islam, bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi juga sebagai contoh dalam kehidupan kita.

Mengangkat sejarah sebelum, semasa dan selepas kelahiran baginda yang dilahirkan pada 12 Rabiulawal, tahun gajah sehingga wafatnya baginda, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia sekali lagi membawa bingkisan karya arahan pengarah dan pelakon Erma Fatima, Sirah Junjungan ke pentas teater.

Memulakan tayangannya pada 9 Mac lalu, naskhah serupa tahun lalu dipentaskan di Istana Budaya sekali lagi bertandang di pentas berprestij bertaraf dunia itu.

Naskhah yang pada tahun lalu ditayangkan selama empat hari mengambil masa lebih dua jam persembahan kini dikemaskan dengan plot cerita yang lebih kukuh dan mapan sepanjang sejam 45 minit.

Masih lagi mengekalkan jalan cerita asal, Sirah Junjungan Tahajud Cinta bermula dengan paparan yang mengisahkan masyarakat Arab di zaman jahiliah hidup dalam kesesatan dan kekufuran dengan menyembah berhala bernama Lata Uzza.

Kerosakan akhlak semakin berleluasa, wanita menjadi hidangan nafsu, kanak-kanak dan hamba abdi diherdik dan diperhambakan bagai tiada harga diri.

Sementelah bayi dan kanak-kanak perempuan dikuburkan hidup-hidup.

Sekali lagi pementasan tersebut mengambil naskhah yang dahulunya ditapis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengelakkan sebarang spekulasi negatif.

Dibantu pelakon Mazlan Tahir sebagai pencerita, umpama pendekatan metafora yang menghalusi satu persatu babak yang dipaparkan bagi memudahkan pemahaman penonton terhadap setiap plot penceritaan.

Selain sistem bunyi yang mampu menimbulkan perasaan berbeza terhadap naratif yang cuba disampaikan, pencahayaan dan props yang kali ini lebih baik ternyata mampu menarik perhatian penonton untuk terus menghayati kisah pemimpin ulung itu.

Tidak terlalu ketara perubahan yang dilakukan oleh Erma dalam memberi kesegaran terhadap pementasan Sirah Junjungan kali ini.

Seperti tahun lalu, penggunaan skrin digital dan teknik bayang-bayang yang memetafora watak-watak utama sirah tersebut masih lagi dikekalkan.

Ketika ditemui sebaik tamat pementasan tersebut, kata Erma, penggunaan bayang-bayang adalah sebagai memenuhi syarat dan piawaian seperti yang telah diberikan oleh Jakim sebelum ini.

Pementasan Sirah Junjungan kali ini bukan sahaja kuat dengan barisan pelakon dan props yang menarik malah, penghayatan penonton turut dibuai dan diruntun dengan lagu-lagu dan muzik latar yang bersesuaian.

Malam pertama persembahan, penonton diasyikkan dengan lontaran vokal bertenaga daripada dua penyanyi terkenal Jamal Abdillah dan Datuk Siti Nurhaliza.

Antara arisan pelakon yang menjayakan pementasan itu kali ini ialah Mazlan Tahir sebagai narator Muhammad, Ahmad Yatim (Abu Talib), Sahronizam Noor (Hamzah / Sawadah), Rosdeen Suboh (Maisarah), Aman Graseka (Usman) dan Vanida Imran (Siti Khadijah).

Tidak ketinggalan ialah Yus Waisar sebagai Abu Bakar, Rabecca Nur Islam (Hendon), Taiyuddin Bakar (Bilal), Lakshman (Talha / Abu Lahab), Jesse Lim (Nadji / Abrahah / Washi) dan Jeganthan (Nabih / Abu Sofyan).

Kemuncak persembahan, tidak keterlaluan dikatakan adalah bahagian yang paling memilukan di saat kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan paparan jenazah baginda diusung untuk dimakamkan.

Ketika itu, terdengar esakan ramai penonton yang turut hiba menangisi pemergian figura tercinta itu.

Malah, penyanyi Siti Nurhaliza dan Jamal Abdillah sendiri tidak dapat menahan sebak tatkala melagukan selawat ke atas rasul junjungan itu diakhir persembahan.

Mengulas tentang persembahan malam pembukaan Sirah Junjungan itu, kata Erma, dia berpuas hati dengan persembahan tersebut.

"Sebenarnya, masa latihan amat terhad kepada kami. Mungkin ada beberapa perkara yang tidak berapa lancar dan nampak cacat. Bagi saya setiap malam persembahan pasti akan ada kekurangan.

"Saya yang duduk sebagai pengarah masih bertatih lagi. Bagaimanapun, saya percaya persembahan untuk hari esok akan jadi lebih baik dari hari ini.

"Untuk persembahan kali ini kita buat sedikit penambahan babak terutama tarian yang saya rasa tidak melanggar akidah.

"Tahun lalu pihak Jakim sudah datang tengok dan memberi peraturan tertentu kepada kami untuk dituruti antaranya untuk rasul kita hanya boleh guna suara manakala Siti Khadijah dan para sahabat nabi kita hanya boleh dibuat dalam bentuk bayang-bayang sahaja," kata Erma.

Selain mengharapkan karya arahannya itu mampu menarik minat ramai penonton dan memberi pengajaran, menurut Erma, dia begitu berharap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat meluangkan masa menonton karya arahannya itu.

"Bukan apa, kita semua tahu Nik Aziz merupakan seorang ulama sebab itu kalau boleh saya mahu mendengar komen daripada mulut dia sendiri sebagai seorang ulama tentang Sirah Junjungan.

"Jangan ketinggalan datang menyaksikan pementasan malam terakhir Sirah Junjungan kerana Amy (Amy Search) menjanjikan kelainan daripada malam-malam sebelumnya," kata Erma yang berhasrat mementaskan teater berkisarkan kekecewaan alam dalam Opera Zalzala tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: