Thursday, March 12, 2009

Joe tonjol kreativiti


DENGAN menamakan judul album The President, Joe Flizzow, 30, kembali merakamkan Isabella versi hip hop, selain muncul secara solo antara tarikan cukup menarik selepas dua tahun 'menyendiri.'

Kemunculan Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 30, secara sendirian tanpa Malique yang dianggap peminat Too Phat sebagai 'mastermind' seakan-akan mengukuhkan lagi tanggapan kumpulan yang mengasaskan muzik hip hop di Malaysia itu sudah berpecah.

Kebetulan, saat kehilangan misteri Malique diperkatakan, pemuda berbakat itu mengejutkan industri hiburan dengan berita perkahwinannya dengan pelakon Melissa Maureen Rizal di Bali, pada 8 Ogos lalu.

Seterusnya melancarkan album solo berjudul OK yang menampilkan lagu hit, Mantera Beradu duet bersama M Nasir dan album itu tidak tercatat nama Joe.

Bagai memendam sesuatu di raut wajahnya, Joe yang ditemui pada majlis pelancaran The President (edaran Warner Music) di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur menyangkal gosip yang sudah lama diperkatakan media dan peminat itu.

"Too Phat tidak pernah berpecah dan tidak semudah itu untuk membubarkannya. Saya dan Malique menubuhkan Too Phat sejak saya berusia 19 tahun.

"Sudah sedekad ia bertapak di persada seni kita . Kami bekerja keras untuk menempatkan nama dan jalur muzik hip hop di negara ini dan tidak mungkin semudah itu membubarkannya.

"Kemunculan projek solo ini perlu untuk menonjolkan kredibiliti dan kreativiti kami secara individu bahkan ia peluang untuk mengetengahkan konsep muzik yang diinginkan.

"Kerja secara berkumpulan adalah gabungan idea setiap ahli justeru kepuasan itu mungkin tidak sama seperti menghasilkan album solo.

"Lagipun, ini bukan fenomena baru kerana di Barat sudah ramai artis berkumpulan beralih kepada projek solo namun, ia masih meneruskan perjuangan secara berkumpulan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: