Friday, March 13, 2009

Apa kekuatan Sayang You Can Dance?


MANTAP.. .Gandingan Samuel Rizal dan Sharifah Amani mampu menarik perhatian penonton untuk menonton filem Sayang You Can Dance.


MENGETENGAHKAN jalan cerita berkisar tentang kehidupan sekawan penari yang menggelar diri mereka sebagai DanceStarz, filem Sayang You Can Dance (SYCD) arahan Bjarne Wong mula ditayangkan semalam di pawagam.

Dibintangi Samuel Rizal dari Indonesia, Sharifah Amani, Dafi, Ebi Kornelis, Carmen Soo, Smyth Wong, Alam dan Dominique Chiu, pembikinan SYCD menelan kos lebih RM1 juta.

Tampil menyulam kisah cinta dan kegigihan DanceStarz berlatih untuk peringkat akhir pertandingan tarian, SYCD menyasarkan khalayak penonton daripada kalangan remaja terutama para peminat bintang-bintang muda seperti Sharifah Amani, Dafi dan Ebi.

Kehadiran Alam juga dilihat mampu menarik penonton ke pawagam apalagi ini adalah lakonan filem pertamanya selepas menjuarai program realiti televisyen, So You Think You Can Dance pada 2007.

Bagaimanapun, kehadiran bintang-bintang popular ini bagaikan tidak mampu untuk menutup kelemahan SYCD.

Kelemahan paling ketara apabila Robby lakonan Ebi dilihat begitu mudah menumbuk Remie (Samuel Rizal) secara tiba-tiba hanya kerana menyangka rakan karib dan rakan serumahnya itu telah merampas Mia (Sharifah Amani) daripadanya.

Walhal, Ebi dan Mia baru sahaja berkenalan dan tidak sempat untuk 'melahirkan' bunga-bunga cinta antara mereka.

Begitu juga tentang skrip "kejap lagi bapa kau datang la.." yang diungkapkan Robby kepada Remie yang ketika itu baru sahaja dimasukkan ke hospital sedangkan bapa Remie masih lagi berada di Sarawak.

Itu belum lagi disentuh tentang mutu lakonan Ebi yang cukup kaku dalam melontarkan suara serta ekspresi muka.

Meski ini adalah lakonan pertamanya dalam filem, Ebi perlu tampil segar memandangkan dirinya pernah mendapat tunjuk ajar untuk menjadi seorang artis versatil ketika berada dalam Akademi Fantasia dahulu.

Lupakan tentang Ebi, pujian seharusnya diberikan kepada Samuel Rizal dan Sharifah Amani kerana mempersembahkan lakonan mantap sebagai pasangan kekasih yang cukup serasi.

Untuk tarian pula, kesemua pelakon patut 'dikalungkan' dengan pujian kerana begitu komited memasuki kelas bagi mendapatkan mood sebagai seorang penari profesional.

Keberanian pengarahnya membawa pelbagai bahasa dan loghat seperti bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Indonesia serta loghat Sarawak ke dalam SYCD memperlihatkan bahawa filem ini nampak begitu unik.

Menurut Bjarne, SYCD merupakan filem impiannya sejak dahulu lagi iaitu untuk menghasilkan filem berunsurkan tarian.

Ini kerana, jelasnya, filem sedemikian amat bersesuaian dengan remaja dan belia masa kini yang gemar kepada tarian seperti hip hop.

"Inilah filem yang telah lama saya impikan. Ada sesuatu yang istimewa dalam keinginan seseorang untuk mengikut rentak tari dan muzik.

"Justeru, saya ingin menghasilkan sebuah filem yang berunsurkan gerak tari yang ditujukan khas kepada para belia kini," katanya ketika ditemui pada sesi pratonton SYCD terbitan Hock Star Entertainment Industry Bhd., baru-baru ini.

Jelasnya, SYCD adalah filem rojak yang menggabungkan tarian dan cinta di samping kepelbagaian bahasa dan bangsa terutamanya Sarawak.

Apabila ditanya mengapa memilih Sarawak sebagai latar cerita, Bjarne menjelaskan bahawa selain berasal dari negeri itu, Sarawak mempunyai pelbagai elemen menarik yang masih belum diterokai untuk dibawa ke dalam filem.

Kepada soalan tentang lakonan Ebi pula, Bjarne berkata: "Dia (Ebi) adalah orang baru. Kita tidak boleh menjangka lakonannya akan sehebat pelakon profesional lain kerana ini adalah penglibatan pertamanya dalam filem.

"Untuk membentuk Ebi sebagai pelakon, ia memerlukan masa. SYCD adalah platform untuknya mengembangkan bakat."

Menyentuh mengenai pemilihan Samuel pula, Bharne menjelaskan, semuanya berlaku ketika dia dan Pengarah Eksekutif SYCD, Wong Kai Lim, melawat Jakarta, Indonesia, beberapa bulan sebelum penggambaran SYCD.

"Kami mengimaginasikan seseorang yang ada karisma, kasar tetapi romantik dan berbakat besar dalam bidang tarian.

"Pertama kali melihat Samuel menari, kami begitu kagum dan teruja lantas terus menawarkannya berlakon dalam filem ini," ujarnya.

Sebelum Sayang You Can Dance, Bjarne pernah mengarah dua buah filem iaitu The Legend Of The Red Curse (2005) dan diikuti Possessed (2006).

Pada 1980an, Bjarne melanjutkan pelajaran dalam bidang Reka Bentuk Imej di Number One Art & Design Academy di Hong Kong.

Ketika di Hong Kong, Bjarne pernah terlibat dalam kerja-kerja belakang tabir beberapa buah filem seperti Stone Age Warrior, Police Story III dan Supercop sebelum kembali ke Sarawak pada tahun 2000 dan menerajui Hock Star Entertainment.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: