Wednesday, March 4, 2009

'Macam tinggal dalam rumah'


FAZLI ZAINAL, Nabil, Ashraf Muslim, Farah Asyikin dan Mila tidak melepaskan peluang berkaraoke dalam bas.

Artis yang mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 ke Sungai Petani mengakui selesa menggunakan bas

PERJALANAN menaiki bas dua tingkat tajaan syarikat Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd dari Balai Berita ke Sungai Petani Jumaat lalu bersempena siri jelajah pertama Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di zon Utara itu bagaikan sebuah pengalaman indah.

Apa tidaknya, bas yang dilengkapi set karaoke dengan ruang santai, peti sejuk dan dapur mini menyerupai rumah ini cukup selesa jika dijadikan pilihan mereka yang ingin menggunakan kenderaan awam untuk melancong.


Berkali-kali calon finalis ABPBH 2008 bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Ashraf Muslim dan Pelakon Komedi Wanita Popular, Kenchana Dewi yang buat kali pertama mengikuti siri jelajah ini memuji keselesaan bas dinaiki mereka. Turut sama menaiki bas ialah artis jemputan Fazli Zainal, Sheila Abdull, Syazliana dan kumpulan Nitrus.

“Saya cukup gembira kerana dapat menaiki bas bersama rakan artis yang lain. Apatah lagi ini kali pertama saya mengikuti siri jelajah ABPBH dan dapat pula menaiki bas baru yang sangat selesa. Pengalaman sulung yang ada ini ingin saya manfaatkan sebaik mungkin untuk beramah mesra dengan lebih rapat lagi bersama rakan wartawan dan artis.

“Kemudahan yang ada di dalam bas ini pun sangat praktikal. Macam tinggal di dalam rumah. Paling saya suka ialah set karaoke mini. Saya ambil peluang berkaraoke. Biarpun penat pada hari sebelumnya, saya lupakan ia demi kenangan indah ini,” kata Ashraf yang kini wajahnya menghiasi drama Yusof bagi slot Samarinda TV3.

ARTIS yang menaiki bas bergambar di pekarangan Balai Berita sebelum bertolak ke Sungai Petani.

Cuma Nabil, Mila, vokalis kumpulan Nitrus, Eddie, Farah Asyikin dan kumpulan Meet Uncle Hussain saja menaiki kenderaan sendiri. Rugi juga mereka yang tidak dapat menikmati gaya mewah menaiki bas yang baru beroperasi tidak sampai setahun ini. Terima kasih daun keladi kepada Sinarmas kerana sudi menjadi kenderaan rasmi ABPBH 2008.

“Sayang juga saya tak dapat sama menaiki bas kali ini sebab ada komitmen kerja yang memerlukan saya datang menaiki kenderaan sendiri. Saya harus melunaskan kerja memasukkan suara untuk filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly.

“Tak dapat naik bas, dapat pose di dalam bas pun kira memadailah. Lepaslah rindu sedikit. Tak apalah Mila dan Farah pun senasib dengan saya sebab datang sendiri ke Sungai Petani,” usik Nabil yang turut menjadi pengacara untuk malam amal ABPBH 2008 Untuk Gaza dan persembahan siri jelajah anjuran Berita Harian dipadatkan kerjasama dengan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia.

Ruang karaoke yang terletak di tingkat satu bas ini menjadi tumpuan artis yang menaiki bas. Apa lagi, inilah masanya masing-masing menguji kehebatan vokal masing-masing. Biarpun tanpa kehadiran Nabil yang mampu menceria suasana, kehadiran Ashraf sudah cukup membuatkan rakan artis dan media tersenyum simpul. Sikap selamba Kenchana Dewi dan Fazli Zainal turut menghidupkan suasana di dalam bas.

LAN Meet Uncle Hussain dan Nabil bersantai di ruang karaoke mini.

Siapa sangka di sebalik sikap ‘macho’ teman baik kepada pelakon Sherry Ibrahim ini, ada sisi humor yang tersembunyi dan jarang ditunjukkannya. Bukan saja kamera jurugambar Berita Harian yang menjadi ‘mangsa’ bahan uji kajinya, malah tatkala mikrofon berada di tangannya mulalah dia berubah watak. Sekejap jadi ketua pramugara dan sekejap berangan jadi deejay hinggakan gelagatnya dirindui salah seorang staf Sinarmas, Rusiah Ariffin atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ros.

“Layanan mesra empat orang staf Sinarmas yang sporting termasuk pemandu bas cukup membuatkan hati saya gembira. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka kerana sudi melayan kami semua,” kata Ashraf dalam nada ceria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: