![]() LISA mengaku akrab dengan Farid kerana berada di bawah pengurusan yang sama dan saling berkongsi idea serta pengalaman. |
Farid Kamil dan Lisa bersepakat menjadi Bintang Eksklusif Astro Megadrama
WALAUPUN sedang membina nama yang selesa di layar lebar, ada sesuatu cuba dicari Farid Kamil Zahari dan Lisa Surihani apabila memberikan kata persetujuan sebagai Bintang Eksklusif Astro Megadrama.
Akur kehadiran yang masih hijau dalam arena lakonan, Lisa yang merangkul trofi Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) mempunyai sebab untuk menggalas tanggungjawab itu.
“Saya melihat ia peluang yang baik untuk mengasah bakat. Ini membuatkan saya berasa dihargai apabila terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga besar Astro,” kata Lisa mengenai kesempatan berharga itu.
Gadis kelahiran Kuala Lumpur berusia 22 tahun itu berkata, dia positif dengan keputusan yang dibuat dan tidak menganggap ikatan yang dijalin itu membataskan bakatnya untuk berkembang.
“Saya menerimanya sebagai proses pembelajaran, sekali gus menjadi ruang untuk membentuk saya menjadi pelakon yang lebih baik. Saya cuma mampu mencuba yang terbaik untuk menjadi pelakon yang serba boleh,” katanya.
Finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 kategori Artis Baru Wanita Popular ini berkata, sukar untuk dirinya meramal akan implikasi sebagai Bintang Eksklusif Astro Megadrama.
Namun, akuinya, dia terharu kerana bakatnya diperhatikan dan diletakkan dalam kelompok mereka yang sudah diakui kehebatan di layar kaca dan perak seperti Farid Kamil, Aaron Aziz dan Erra Fazira.
Menyentuh mengenai tawaran yang bakal diterimanya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Undang-Undang dari Aberystwyth University, Wales, United Kingdom ini berkata, semuanya akan terlebih dulu dibincangkan dengan Astro.
“Mereka umpama ibu bapa baru kepada saya. Pastinya mereka lebih arif apa yang terbaik dan bersesuaian untuk saya. Jadi saya lebih selesa melakukan sesuatu yang memberi kepuasan kepada kedua-dua belah pihak,’ katanya.
Antara produksi pertama Lisa bersama Astro adalah telefilem, Ponti Anak Remaja arahan Ghaz yang akan disiarkan di Astro Ria serta drama bersiri komedi, 3 Janda menggandingkannya dengan Farid Kamil. Lisa juga terbabit dalam drama Mataku Nampak Hantu.
Semakin memahami asam garam kehidupan sebagai insan seni, Lisa berkata, dia tidak mampu menepis spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan Farid Kamil.
Perkara itu kata Lisa, bukan sesuatu yang diminta mereka berdua kerana sesiapa saja bebas membuat penilaian berdasarkan pandangan mata kasar mereka. Hakikatnya, hanya mereka yang mengerti apa yang bergelora di sudut hati masing-masing.
“Saya tidak melatah jika apa yang diperkatakan itu tidak benar. Sudah begitu kehendak industri, jadi saya tidak melihat gosip itu sebagai masalah besar.
“Sebaliknya, saya menerimanya sebagai permainan tanpa perlu mengambil hati. Kami akrab kerana berada di bawah pengurusan sama, selain berkongsi ideologi dan pengalaman kerana Farid lebih tahu mengenai industri hiburan,” katanya.
Dekat di hati
MULA menjadi sebutan sejak membintangi filem Mistik pada 2002, himpunan produksi lakonan aktor muda yang kini turut mengembangkan bakat sebagai pengarah mengangkat kewibawaan Farid Kamil di mata penggiat industri.
Pencapaian terbaik apabila menerima Anugerah Bakat Muda Filem (Pelakon) pada malam Anugerah Seni Negara Ke-8, baru-baru ini mengukuhkan kredibiliti pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah ini.
Berada dalam ruang selesa di layar lebar, namun masih ada kekosongan dalam diri pelakon berusia 27 tahun ini apabila menyentuh soal kepuasan diri.
“Saya mahu berada lebih dekat dengan kelompok penonton baru di televisyen,” kata Farid memberikan rasional mengapa dia menerima tawaran Astro itu.
Finalis Pelakon Filem Lelaki Popular, ABPBH 2008 itu akur, tindakannya itu bakal membangkitkan perdebatan apatah lagi selama ini wajahnya hanya menghiasi produksi layar lebar.
“Berlakon drama bermakna bakat saya dinilai lebih meluas kerana jumlah penontonnya lebih besar, berbanding mereka yang ke pawagam.
“Saya juga lebih tertarik untuk mengaplikasikan teknik lakonan yang dikutip daripada filem lalu dibawa ke dalam drama,” katanya.
Jelas Farid, pengalaman serta populariti sebagai pelakon juga dapat dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai khalayak menikmati lakonannya seperti mana yang diterima Erra Fazira apabila memilih beraksi dalam drama bersiri, Mertua Vs Menantu.
“Drama bersiri itu mencatat jumlah tontonan tertinggi untuk saluran Astro Prima. Sebagai pelakon, saya ingin menyumbang bakti dengan membintangi produk yang membantu menaikkan rating stesen televisyen yang saya naungi,” katanya.
Turut menyimpan impian untuk beraksi dengan Erra Fazira, Farid berkata, perjanjian awal hanya membabitkan kontrak lakonan.
“Ada juga kami mengatur perbincangan mengenai pengarahan namun semuanya masih belum ada kata putus. Saya akur akan kemampuan diri. Mungkin untuk mengarahkan telefilem tidak menjadi masalah kerana strukturnya sama, biarpun menggunakan medium berbeza.
“Tetapi saya belum bersedia mengarah drama bersiri kerana banyak aspek perlu dititikberatkan. Ia bukan mudah,” katanya.
Sama seperti Lisa, Farid juga positif dengan tindakan yang diambil kerana baginya, persetujuan diberikan selepas mengkaji segala baik dan buruk mengenai implikasi mengikat kontrak sebagai artis naungan Astro.
“Tidak perlu dipersoalkan kerana saya percaya, tawaran itu datang bersama pelbagai perancangan yang memberi manfaat kepada kami. Asalkan saya diberi kebebasan berkarya dan melahirkan idea kreatif, saya tak nampak apa sebab untuk menolak tawaran ini,” katanya.
INFO: Lisa Surihani
Nama Penuh: Lisa Surihani Mohamed
Nama Komersial: Lisa Surihani
Tarikh Lahir: 23 Mac 1986
Hobi: Membaca, mendengar muzik dan melayari internet
Pendidikan: Sarjana Muda Kepujian Undang-Undang, Aberystwyth University, Wales, United Kingdom
Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita FFM21
Iklan: Johnson & Johnson Pure Essentials, KFC, Celcom, Ovaltine, Ayamas, Cadbury, Hotlink, Pantene, Clearasil, Lip Ice Lip Balm, Bank Mandiri dan Laurier
Pengacaraan: X-Fresh (Astro), Down Memory Lane (RTM), Nestle Space Challenge (ntv7), Hello 2006 (RTM), Whoa! (ntv7), Ekspresi
Filem: I’m Not Single, Goodbye Boys, Cyber X: Ancaman Penggodam, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Rempit V3
Drama/Telefilem: Ayah Kami, Gergasi, Fobia, Anak Merdeka, Obsesi dan Mataku Nampak Hantu
PROFIL: Farid Kamil
Nama Penuh: Farid Kamil Zahari
Tarikh Lahir: 5 Mei 1981
Hobi: Menyanyi dan menunggang motosikal
Pendidikan: Fakulti Seni Persembahan (Pengkhususan Filem), Universiti Teknologi Mara
Drama: Fakulti, Langgam Juru, Faridah & Kawan-Kawan, 5:30 dan Begitulah Cinta
Iklan: Dunhill, Telekom, Pringles
Filem: Mistik, Jutawan Fakir, Cinta Kolestrol, Kuliah Cinta, Potret Mistik, Hingga Hujung Nyawa, 7 Perhentian, Potret Mistik, Lady Boss, Cinta Fotokopi, Anak Mami Kembali, Main-Main Cinta, Chermin, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Remp-it, Anak Halal, Evolusi KL Drift, Apa Kata Hati?, I’m Not Single dan Remp-it V3
Pencapaian: Anugerah Bakat Muda Filem (Pelakon), Anugerah Seni Negara Ke-8.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: