![]() SHAHARUMI(kanan) dan Hisham menampal pelekat Berita Harian sebelum siri promosi jelajah aBPBH 2008 bermula. |
SIRI promosi jelajah acara berprestij, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bermula Sabtu lalu dengan destinasi pertama persinggahan di Village Mall, Sungai Petani, Kedah.
Lima lokasi lagi bakal disinggahi dan pastinya keselesaan barisan artis yang menyerikan acara promosi itu dititikberatkan penganjur terutama destinasi membabitkan perjalanan jauh.
Sekalung penghargaan diberikan kepada Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd yang beroperasi di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani kerana bermurah hati menjadi pengangkutan rasmi siri promosi ABPBH 2008.
Pengarah Urusan Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd, Shaharumi Mohamad Yusof berkata, bas dua tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan menjanjikan perjalanan selesa dan mendamaikan.
Malah, ruang rehat dan santai di tingkat bawah kenderaan dapat dimanfaatkan selebriti untuk merehatkan badan dan menenangkan fikiran selepas sering dihambat kesibukan tugasan.
“Sinarmas cuba mewujudkan persekitaran seperti di kediaman sendiri untuk keselesaan dan keseronokan pengguna. Ruang selesa dengan 42 tempat duduk di bahagian atas bas, dilengkapi set televisyen dengan pelbagai filem pilihan memberi hiburan, malah mengusir kebosanan pengguna yang terpaksa menempuh perjalanan jauh,” katanya.
![]() |
| KHIDMAT pemandu terlatih memberi jaminan keselamatan ketika di jalan raya. |
Shaharumi berkata, tingkat bawah kenderaan itu turut menyediakan bilik pantri dilengkapi ketuhar gelombang mikro dan cerek elektrik jika pengguna ingin menikmati minuman panas.
Bilik persalinan juga disediakan, selain perkhidmatan telefon dalaman yang membolehkan pengguna berkomunikasi secara langsung dengan pemandu tanpa perlu mengganggu pengguna lain.
“Sambungan soket untuk telefon bimbit atau komputer riba turut memberi keselesaan kepada pengguna yang sentiasa perlu berhubung atas urusan perniagaan,” katanya.
Pengurus Operasi Sinarmas, Muhammad Hisham Abdullah pula berkata, perkhidmatan mereka juga dilengkapi pembantu koc yang sedia membantu apabila diperlukan pengguna.
![]() |
| RUANG santai yang memberi keselesaan kepada penumpang. |
“Dengan pembantu koc, pemandu dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada pemanduan. Kami juga menekankan pemanduan berhemah kepada setiap pemandu untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin.
“Alhamdulillah, dengan sistem kerja yang tersusun dan mengikut kehendak pengguna, keselesaan yang dicari akan diperoleh kerana Sinarmas begitu mementingkan pengguna,” katanya.
Mempunyai lima pemandu tetap serta enam pembantu koc, kesemua pemandu Sinarmas mempunyai sijil daripada Scania dan diberi kursus pemanduan terlatih untuk mengendalikan perkhidmatan dengan baik.
Ditanya mengenai kerjasama dengan ABPBH 2008, Shaharumi berkata, ia secara tidak langsung memperkukuhkan nama Sinarmas dan memperluaskan lagi perkhidmatannya kepada pengguna di seluruh negara yang mementingkan servis terbaik.
“Semua pengguna berhak mendapatkan perkhidmatan terbaik dan kami menawarkannya pada harga berpatutan. Saya mahu semua pengguna merasai keseronokan itu.
“Kerjasama untuk ABPBH 2008 juga membuka ruang untuk kami mendekati golongan selebriti dan mendapat maklum balas mereka menerusi perkhidmatan yang disediakan,” katanya.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: